Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir besar, tanah runtuh di beberapa wilayah Indonesia; ribuan dipindah

Mar 5, 2025 | 10:56 AM
Pasukan penyelamat dalam usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir menggunakan bot getah di kawasan perumahan di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia, pada 4 Mac.
Pasukan penyelamat dalam usaha membantu penduduk yang terjejas akibat banjir menggunakan bot getah di kawasan perumahan di Bekasi, Jawa Barat, Indonesia, pada 4 Mac. - Foto EPA-EFE

JAKARTA: Beberapa wilayah di Indonesia dilanda banjir besar dan tanah runtuh selepas hujan lebat yang berterusan selama beberapa hari, menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Antara kawasan yang paling terjejas termasuk Bogor, Tangerang, Bekasi dan sebahagian besar Jakarta.

Menurut pihak berkuasa, bencana kali ini adalah antara yang paling buruk dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan paras air mencecah sehingga tiga meter di beberapa tempat.

Keadaan itu telah melumpuhkan kegiatan harian dan menyukarkan operasi menyelamat.

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) melaporkan bahawa di Tangerang Selatan sahaja, lebih 1,870 rumah terjejas akibat banjir.

Lima kawasan paling teruk terjejas ialah Ciputat Timur, Pondok Aren, Pamulang, Ciputat dan Serpong Utara.

Sementara itu, di daerah Panongan, sekitar 20 rumah turut dinaiki air pada awal pagi 4 Mac.

Di Bekasi, keadaan bertambah buruk apabila air banjir mencapai tiga meter di beberapa kawasan perumahan seperti Pondok Gede Permai (PGP) di Jatiasih dan Villa Nusa Indah.

Kejadian itu mengingatkan kembali kepada bencana besar yang berlaku pada 2020.

Jalan-jalan utama seperti Jalan Raya Pisangan di Tambun Utara juga terputus hubungan akibat limpahan air dari Sungai Bekasi, menyebabkan banyak kenderaan terpaksa berpatah balik.

Sehingga kini, lebih 16,000 keluarga di Bekasi sahaja telah terkesan, dengan kira-kira 5,000 daripadanya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

Di Jakarta, hampir 4,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka apabila lebih 117 kawasan kejiranan dinaiki air, dengan paras air mencecah sehingga lima meter di beberapa tempat.

Di Bogor, lebih 300 orang dipindahkan, manakala beberapa rumah mengalami kerosakan teruk akibat tanah runtuh.

Sebuah jambatan utama di bandar itu turut runtuh akibat arus deras.

Sementara itu, di Tangerang, limpahan Sungai Cimanceuri menyebabkan 350 buah rumah tenggelam.

Pihak berkuasa telah menggerakkan pasukan penyelamat untuk memindahkan mangsa yang terperangkap.

Timbalan Datuk Bandar Bekasi, Encik Abdul Harris Bobihoe, mengesahkan usaha menyelamat masih diteruskan.

“Sebahagian telah berjaya dipindahkan, tetapi masih ada yang terkandas, termasuk peniaga di pusat beli-belah Mega Bekasi Hypermall yang ditenggelami air selepas tebing sungai berdekatan runtuh.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mereka,” katanya.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) turut melaksanakan operasi modifikasi cuaca dengan menyebarkan garam ke atmosfera untuk mengurangkan intensiti hujan.

Ketua BNPB, Encik Suharyanto, berkata operasi itu akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya 8 Mac dan boleh dilanjutkan jika keadaan bertambah buruk.

“Ramalan cuaca menunjukkan hujan lebat dijangka berterusan sehingga pertengahan Mac.

“Jika ini berlaku, kami akan terus menyokong usaha mitigasi melalui operasi modifikasi cuaca,” katanya.

Menteri Penyelaras Pembangunan Manusia dan Kebudayaan, Encik Pratikno, menegaskan bahawa penyelesaian pantas dan menyeluruh diperlukan bagi menangani bencana tersebut.

“Banjir ini melumpuhkan ibu negara dan boleh mencetuskan isu sosial serta politik jika tidak dikendalikan dengan baik.

“Semua pihak harus bekerjasama untuk memberikan bantuan dan membina semula prasarana yang rosak,” katanya dalam mesyuarat kecemasan pemerintah pada 4 Mac.

Sementara itu, Gabenor Jakarta, Encik Pramono Anung, mengarahkan agensi sumber air Jakarta agar membuka pintu air bagi mengurangkan tekanan di kawasan yang terjejas.

Beliau turut mengarahkan penggunaan lebih 500 pam air di 200 lokasi bagi mempercepat proses surutnya air banjir.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk memastikan keadaan kembali normal secepat mungkin,” katanya.

Timbalan Gabenor Jakarta, Encik Rano Karno, turut turun padang untuk meninjau beberapa kawasan yang terjejas, termasuk di Lebak Bulus dan tempat perlindungan sementara di Jakarta Timur.

Beliau menegaskan bahawa projek mengorek sungai yang dijalankan oleh pentadbiran baharu telah membantu mengurangkan kesan banjir, walaupun masih belum mencukupi.

Pakar dasar awam, Encik Trubus Rahardiansyah, berpandangan bahawa masalah utama banjir di Jakarta bukan sekadar curahan hujan yang tinggi, bahkan juga pembangunan yang tidak terkawal di sepanjang tebing sungai.

“Kawasan setinggan ini perlu dipindahkan dan sungai harus diperbesarkan bagi mengurangkan risiko banjir berulang,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa penggunaan air bawah tanah secara berlebihan telah menyebabkan tanah di Jakarta semakin mendap, menjadikannya lebih terdedah kepada banjir.

“Jika perkara ini tidak ditangani, Jakarta akan terus menghadapi masalah yang sama setiap tahun,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg