Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah runtuh di Jawa Tengah: 17 terkorban, 9 masih hilang

Jan 22, 2025 | 10:53 AM
Pasukan penyelamat membawa mangsa tanah runtuh yang melanda Pekalongan, Jawa Tengah pada 21 Januari.
Pasukan penyelamat membawa mangsa tanah runtuh yang melanda Pekalongan, Jawa Tengah pada 21 Januari. - Foto FACEBOOK INFOBENCANABNPB

PEKALONGAN (Indonesia): Hujan lebat yang melanda sebuah perkampungan di Jawa tengah sejak malam 20 Januari sehingga 21 Januari telah menyebabkan tragedi tanah runtuh yang meragut 17 nyawa.

Selain itu, sembilan individu dilaporkan masih hilang manakala 10 lagi mengalami kecederaan.

Kejadian berlaku di kawasan perkampungan Kasimpar, yang terletak di kawasan berbukit berhampiran Pekalongan, Jawa Tengah.

Tanah runtuh tersebut turut memusnahkan dua rumah, meruntuhkan sebuah kafe dan menghanyutkan beberapa kenderaan yang melalui kawasan itu.

Ketua Polis Pekalongan, Encik Doni Prakoso Widamanto, berkata: “Pasukan penyelamat masih meneruskan usaha mencari mangsa hilang walaupun keadaan cuaca yang mencabar.”

Menurut Ketua Jabatan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) Semarang, Encik Budiono, sebelum kejadian tanah runtuh beberapa orang dilaporkan berteduh di sebuah kafe di kawasan tersebut.

“Ada kemungkinan jumlah korban meningkat kerana ada yang tertimbus di dalam kafe yang runtuh sepenuhnya,” jelas Encik Budiono.

Usaha menyelamat turut menghadapi cabaran akibat lokasi kejadian yang terpencil dan diliputi lumpur tebal.

Encik Abdul Muhari, jurucakap Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), memaklumkan: “Sehingga kini, pasukan penyelamat telah menemui 17 mayat. Sembilan individu lagi masih hilang.”

Encik Abdul Muhari juga memberi amaran tentang potensi hujan lebat dalam tempoh tiga hari akan datang yang boleh meningkatkan risiko banjir, banjir kilat dan tanah runtuh di kawasan tersebut.

“Kawasan ini sangat terdedah kepada bencana ini kerana lokasinya yang berbukit,” tambahnya.

Penduduk setempat turut memberikan bantuan kepada pasukan penyelamat.

Rakaman televisyen menunjukkan sukarelawan membawa mayat menggunakan pengusung dan jalan raya dipenuhi lumpur.

Encik Doni turut mengesahkan bahawa 10 mangsa yang cedera telah dirujuk ke hospital dan pusat kesihatan masyarakat terdekat.

“Kami akan terus berusaha sehingga semua mangsa yang hilang ditemui,” tegasnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg