SUKABUMI (Indonesia): Pemerintah Kabupaten Sukabumi (Pemkab) mengisytiharkan darurat selama tujuh hari, selepas banjir besar dan tanah runtuh melanda wilayah di Jawa Barat itu pada 3 dan 4 Disember.
Pihak berkuasa berkata bencana tersebut telah menyebabkan seorang penduduk terkorban dan 243 orang yang lain terjejas.
“Status darurat ini berlaku selama seminggu dan boleh diperpanjang setelah penilaian dijalankan,” kata Setiausaha Daerah Kabupaten Sukabumi, Encik Ade Suryaman, kepada media pada 5 Disember.
Dalam tindak balas pantas, Pemerintah Kabupaten Sukabumi telah menubuhkan pusat tindakan kecemasan di Balai Kota Sukabumi, Palabuhanratu.
Menurut Encik Ade, langkah itu diambil bagi mempercepat pengumpulan data kerosakan, pemindahan mangsa, dan pengagihan bantuan kecemasan kepada para penduduk yang terjejas.
Beliau menegaskan langkah itu juga bertujuan menggerakkan anggota secara tersusun bagi memastikan pengendalian tepat pada sasaran.
Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Kabupaten Sukabumi, Encik Deden Sumpena, menyatakan kejadian tanah runtuh terjadi di 13 tempat dan banjir di sembilan kawasan.
Pergerakan tanah juga dilaporkan berlaku di empat daerah yang tersebar di 22 mukim.
BPBD Kabupaten Sukabumi juga mendapati sebanyak 103 keluarga atau 243 orang terjejas, dengan 46 keluarga atau 93 orang telah dipindahkan dan seorang penduduk meninggal dunia.
Banjir dan tanah runtuh yang melanda juga telah menyebabkan 40 rumah rosak dan menjejas enam kemudahan awam.
Jumlah kerugian setakat ini mencecah 695 juta rupiah ($5.8 juta).
Encik Deden menambah data yang dikumpul itu bersifat sementara kerana para pegawai masih menjalankan penilaian dan pemeriksaan di lokasi terjejas.
Bencana yang berlaku dari 3 hingga 4 Disember itu menyebabkan banjir besar, tanah runtuh, pergerakan tanah, dan angin kencang yang melanda 22 mukim.
Antara mukim yang dilanda banjir besar termasuk Ciemas, Palabuhan Ratu, Cimanggu, Tegallega, Cidolog, Gegerbitung, Puncakpari, Desa Sirnamekar, Tegalbuleud, Cikadu, Desa Sirnamekar, Tegalbuleud dan Pabuaran.
Pemerintah Kabupaten Sukabumi berharap darurat yang telah diisytiharkan itu dapat mengurangkan kesan kerugian dan membantu memulihkan keadaan masyarakat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg