JAKARTA: Anggota penyelamat Indonesia pada 29 November mencari mangsa yang tertimbus dalam tiga kereta dan bas di dasar tebing selepas banjir kilat dan tanah runtuh di wilayah Sumatera Utara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 29 orang.
Hujan lebat selama seminggu di wilayah itu telah menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di empat daerah berbeza, kata agensi bencana Indonesia.
Jumlah kematian daripada satu kejadian tanah runtuh pada 27 November di sebuah jalan raya berbukit meningkat kepada sembilan daripada tujuh, kata jurucakap polis Sumatera Utara, Encik Hadi Wahyudi, pada 29 November.
Sekurang-kurangnya lima kereta, sebuah bas dan sebuah lori terperangkap di dasar tebing akibat tanah runtuh.
Polis dan pasukan penyelamat memberi tumpuan kepada usaha mencari mangsa dalam tiga kereta dan sebuah bas yang tertimbus dalam lumpur pada 29 November.
“Kami tidak tahu berapa ramai yang terperangkap,” kata Encik Hadi.
Di daerah lain, tanah runtuh pada hujung minggu mengorbankan 20 orang dan penyelamat akan terus mencari dua orang yang hilang hingga 30 November.
Banjir kilat melanda bandar wilayah Medan pada 29 November walaupun air telah surut di beberapa kawasan, kata jurucakap agensi pencarian tempatan, Encik Sariman Sitorus.
Banjir kilat itu menyebabkan pilihan raya daerah terpaksa ditangguh di beberapa kawasan di Medan pada 27 November.
Agensi cuaca Indonesia memberi amaran bahawa cuaca ekstrem dijangka melanda negara itu menjelang penghujung 2024, sedang fenomena La Nina dijangka menambah jumlah hujan di serata negara itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg