Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di Libya: Lebih 43,000 hilang tempat tinggal

Sep 22, 2023 | 2:33 PM
ANGKARA BANJIR: Masjid Al Sahaba masih berdiri meskipun bangunan di sekeliling runtuh akibat banjir besar melanda Libya baru-baru ini.
ANGKARA BANJIR: Masjid Al Sahaba masih berdiri meskipun bangunan di sekeliling runtuh akibat banjir besar melanda Libya baru-baru ini. - Foto REUTERS

DERNA (Libya): Bencana banjir di Libya, yang mengorbankan ribuan nyawa di bandar Derna, turut menyebabkan lebih 43,000 orang kehilangan tempat tinggal, kata Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) pada Khamis.

Banjir kilat sebesar tsunami menembusi dua empangan usang di hulu bandar pantai selepas Ribut Daniel melanda kawasan itu pada malam 10 September.

Ia memusnahkan seluruh kawasan kejiranan, menghanyutkan beribu-ribu orang yang sedang nyenyak tidur ke dalam laut.

Angka kematian rasmi berjumlah lebih 3,300 tetapi jumlah akhirnya dijangka jauh lebih tinggi, dengan kumpulan bantuan antarabangsa memberikan anggaran sehingga 11,000 orang hilang dengan nasib kira-kira 20,000 orang lagi belum diketahui, .

“Dianggarkan 43,059 individu telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di timur laut Libya,” kata IOM, sambil menambah bahawa “kekurangan bekalan air menyebabkan ramai mangsa berpindah ke kawasan lain.

“Keperluan mendesak termasuk makanan, air minuman dan kesihatan mental dan sokongan psikososial,” kata IOM.

Sementara itu, perkhidmatan mudah alih dan Internet telah pulih seperti sediakala selepas gangguan selama dua hari, berikutan bantahan pada Isnin yang menyaksikan penduduk menyalahkan pihak berkuasa atas jumlah kematian yang tinggi.

Pihak berkuasa telah menyalahkan gangguan komunikasi atas kerosakan pada pautan gentian optik di Derna, tetapi beberapa pengguna Internet dan penganalisis mendakwa terdapat “pemadaman” yang disengajakan.

Perdana Menteri yang berpangkalan di Tripoli, Encik Abdelhamid Dbeibah, mengumumkan pada Khamis bahawa komunikasi telah dipulihkan.

Libya yang dilanda perang, kekal berpecah antara pemerintah sementara Dbeibah yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di barat Libya dengan satu lagi di timur yang dilanda bencana yang disokong oleh orang kuat tentera Khalifa Haftar. Tentera Haftar merampas Derna pada 2018, ketika itu kubu kuat dikuasai kumpulan Islam radikal.

Pihak berkuasa timur “mesti segera menarik balik semua sekatan yang tidak wajar dan memudahkan pengagihan bantuan kemanusiaan kepada semua masyarakat yang terjejas”, kata badan kemanusiaan Amnesty International dalam satu kenyataan pada Khamis.

Empangan yang pecah telah mengalami keretakan sejak 1990-an, kata pendakwa raya tertinggi Libya, ketika penduduk menuduh pihak berkuasa cuai.

Kebanyakan prasarana Libya telah rosak dan diabaikan sejak pemberontakan yang disokong Pertubuhan Perjanjian Antlantik Utara (Nato), menggulingkan dan membunuh diktator Muammar Gadaffi pada 2011. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg