Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di Sumatera: Hujan lebat boleh burukkan masalah mangsa yang kebuluran

Angka kematian boleh naik melebihi 883 orang akibat kebuluran
Dec 6, 2025 | 4:00 PM
banjir, kebuluran, Sumatera
Rumah-rumah rosak teruk, sesetengahnya hanya tinggal rangka akibat banjir yang melanda kampung Kuala Simpang di Temiang, Aceh, tetapi telah surut kini. - Foto AFP

BANDA ACEH (Indonesia): Hujan lebat selanjutnya boleh mengancam Sumatra yang dilanda banjir dengan gabenor sebuah wilayah yang teruk terjejas, memberi amaran bahawa jumlah kematian boleh meningkat melebihi 883 orang akibat kebuluran.

Rangkaian ribut tropika dan hujan monsun telah melanda Asia Tenggara dan Selatan, mencetuskan tanah runtuh dan banjir kilat dari hutan hujan Sumatra ke ladang tanah tinggi Sri Lanka.

Kira-kira 1,770 orang terkorban dalam bencana alam yang berlaku di seluruh Indonesia, Sri Lanka, Malaysia, Thailand dan Vietnam sejak minggu lalu.

Agensi cuaca kebangsaan Indonesia berkata hujan boleh kembali melanda pada 6 Disember di wilayah Aceh dan Sumatra Utara yang telah menyaksikan banjir menghanyutkan jalan raya, menenggelamkan rumah-rumah dan memutuskan bekalan.

Gabenor Aceh, Encik Muzakir Manaf, berkata pasukan tindak balas kecemasan masih mencari mayat dalam lumpur “sedalam pinggang”.

Namun, kebuluran merupakan salah satu ancaman paling serius yang kini melanda kampung-kampung terpencil dan tidak boleh diakses.

“Ramai orang memerlukan keperluan asas. Banyak kawasan terpencil di Aceh masih belum disentuh.

“Orang ramai bukan mati akibat banjir, tetapi akibat kebuluran. Begitulah keadaannya,” tambahnya.

Seluruh kampung di wilayah Aceh Tamiang yang diselubungi hutan hujan telah dihanyutkan oleh arus air bah yang kuat, kata Encik Muzakir.

“Wilayah Aceh Tamiang telah musnah sepenuhnya, dari atas hingga ke bawah, hingga ke jalan raya dan hingga ke laut.

“Banyak kampung dan daerah kecil kini hanya tinggal nama,” tambahnya.

Penduduk Aceh, Encik Munawar Liza Zainal berkata beliau rasa “dikhianati” oleh pemerintah Indonesia, yang sehingga kini telah mengabaikan tekanan untuk mengisytiharkan bencana kebangsaan.

“Ini adalah bencana luar biasa yang mesti dihadapi dengan langkah-langkah luar biasa. Jika status bencana kebangsaan hanya diisytiharkan kemudian, apa gunanya?” tanya beliau sambil menyuarakan kekecewaan yang dirasakan oleh mangsa banjir.

Mengisytiharkan bencana kebangsaan akan membebaskan sumber dan membantu agensi pemerintah menyelaraskan tindak balas mereka.

Penganalisis berpandangan pemerintah enggan mengisytiharkan bencana dan mendapatkan bantuan asing kerana mahu menunjukkan ia mampu mengendalikan kesan buruk bencana alam tersebut.

Skala kemusnahan tampak semakin jelas apabila sungai yang melimpah menyusut dan banjir surut.

Penduduk kampung dilihat menyelamatkan perabot bersalut lumpur daripada rumah-rumah yang dilanda banjir di Aek Ngadol, Sumatra Utara.

Kumpulan kemanusiaan bimbang skala bencana sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.

Sehingga pagi 6 Disember, jumlah korban banjir telah meningkat kepada 883 orang dan 520 yang lain dilaporkan hilang, menurut agensi pengurusan bencana Indonesia.

Di Sri Lanka, angka korban melonjak lebih daripada 100 kepada 607 orang pada 5 Disember.

Thailand telah melaporkan 276 kematian, manakala Malaysia dan Vietnam masing-masing mencatatkan dua kematian. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg