BANGKOK: Sekurang-kurangnya lapan orang maut akibat banjir yang melanda Thailand sejak 16 September, manakala ibu kota Bangkok diisytiharkan sebagai kawasan bencana selepas hujan lebat selama hampir 48 jam menenggelamkan rumah, premis perniagaan dan jalan raya.

Kerajaan Thailand pada 28 September mengumumkan bahawa lebih 1.7 juta penduduk daripada lebih 500,000 keluarga di 27 wilayah terjejas akibat banjir, tidak termasuk Bangkok yang mencatatkan 52,000 keluarga terjejas.

Menurut Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM), lima kematian dilaporkan di wilayah Sa Kaeo, dua di Chanthaburi dan seorang di Saraburi, semuanya di timur Thailand.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan di Bangkok walaupun beberapa kawasan masih ditenggelami air sehingga paras paha dan pinggang.

Berikutan keadaan itu, kerajaan Thailand mengisytiharkan cuti khas selama dua hari, pada 28 dan 29 September, di Bangkok serta tiga wilayah berhampiran, iaitu Nonthaburi, Pathum Thani dan Samut Prakan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat khas Kabinet pada 27 September yang dipengerusikan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul.

Timbalan Jurucakap Kerajaan, Cik Lalida Persvivatana, berkata langkah tersebut bertujuan mengurangkan kesesakan perjalanan dan membantu penduduk yang terjejas akibat banjir.

Bagaimanapun, perkhidmatan awam penting dan operasi kritikal kerajaan akan diteruskan, termasuk melalui saluran dalam talian jika perlu.

Agensi kerajaan yang mengendalikan urusan kecemasan atau janji temu penting dibenarkan beroperasi mengikut pertimbangan ketua jabatan masing-masing.

Syarikat milik kerajaan, institusi kewangan dan sektor swasta pula diberi kelonggaran untuk menentukan aturan kerja masing-masing, manakala Bursa Saham Thailand akan beroperasi seperti biasa.

Di Bangkok, pihak berkuasa mengisytiharkan bencana banjir di seluruh 50 daerah pada 26 September selepas hujan lebat berterusan menyebabkan sistem saliran tidak mampu menampung jumlah air yang tinggi.

Menurut pegawai kerajaan, sesetengah kawasan menerima hujan melebihi 300 milimeter antara petang 24 September dengan pagi 26 September.

Keadaan itu menyebabkan Encik Anutin memendekkan lawatannya ke London dan segera pulang bagi menyelia operasi bantuan serta pengurusan banjir.

Gabenor Bangkok, Encik Chadchart Sittipunt, berkata keadaan banjir mula stabil, tetapi pemulihan sepenuhnya bergantung pada jumlah hujan yang turun dalam beberapa hari mendatang.

“Jika tiada lagi hujan di kawasan ini, masalah banjir dapat diselesaikan,” katanya.

Kira-kira 980 penduduk ditempatkan di pusat perlindungan sementara, manakala 36 pesakit terlantar dipindahkan ke hospital sebagai langkah keselamatan.

Pihak berkuasa Bangkok turut menyediakan sejuta beg pasir bagi menghalang air daripada memasuki kawasan yang berisiko.

Walaupun paras air dilaporkan semakin stabil, beberapa kawasan di timur Bangkok masih mengalami banjir serius, dengan penduduk terpaksa meredah air setinggi paha.

Sekolah diarahkan ditutup pada 28 September, manakala kakitangan kerajaan dan pekerja sektor swasta digalakkan bekerja dari rumah bagi mengurangkan pergerakan.

Jurucakap kerajaan, Encik Ekkapob Pianpises, berkata sistem saliran berjaya mengurangkan paras air di beberapa kawasan, sekali gus membolehkan lebih ramai penduduk kembali melakukan perjalanan.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) menasihati penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Don Mueang dan Suvarnabhumi supaya datang lebih awal bagi memperuntukkan lebih banyak masa untuk perjalanan.

Penumpang turut dinasihati menyemak status penerbangan kerana cuaca buruk boleh menyebabkan kelewatan atau pembatalan.

Syarikat penerbangan diarahkan menyediakan bantuan sewajarnya kepada penumpang yang terjejas, termasuk makanan, minuman, kemudahan komunikasi, penerbangan alternatif atau bayaran balik tiket, bergantung pada keadaan.

Banjir kali ini berlaku ketika Thailand memasuki kemuncak musim hujan pada September, dengan jumlah hujan di Bangkok jauh melebihi paras biasa.

Menurut Jabatan Saliran dan Pembetungan Bangkok, ibu kota itu menerima 487 milimeter hujan antara 1 dengan 25 September, berbanding purata hampir 269 milimeter bagi tempoh sama dari 1991 hingga 2020.

Saintis memberi amaran bahawa pemanasan global akibat pelepasan bahan api fosil boleh meningkatkan kekerapan dan keamatan kejadian cuaca ekstrem, termasuk hujan lebat serta banjir. - Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti