HANOI: Banjir besar akibat hujan lebat luar biasa di Vietnam tengah telah meragut sekurang-kurangnya sembilan nyawa dan menyebabkan lima lagi hilang, menurut kenyataan pemerintah pada 28 Oktober.
Enam kematian dilaporkan di Danang dan Hoi An, dua destinasi pelancongan popular, kata pemerintah dalam satu kenyataan. Lebih 103,000 rumah turut terjejas, kebanyakannya di kawasan pelancongan terkenal Hue dan Hoi An, menurut laporan agensi bencana negara.
Gambar yang dikongsi media pemerintah menunjukkan banyak kawasan Hoi An tenggelam sepenuhnya, dengan rumah- rumah ditenggelami sehingga paras bumbung.
“Banjir meluas masih berlaku di kawasan rendah berhampiran sungai dan kawasan bandar,” kata agensi bencana. “Risiko banjir kilat dan tanah runtuh kekal tinggi di kawasan pergunungan di Danang.”
Vietnam sering berdepan ribut taufan dan banjir yang mengakibatkan kerosakan harta benda secara besar-besaran, khususnya pada musim ribut dari Jun hingga Oktober.
Menurut agensi berkenaan, hujan masih berterusan di bandar Hue, bekas ibu kota empayar yang diiktiraf Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) serta Hoi An. Jumlah hujan dalam tempoh 24 jam sehingga lewat 27 Oktober mencecah lebih 1,000 milimeter iaitu rekod tertinggi yang pernah dicatat di kawasan tersebut.
Di Hue, 32 daripada 40 daerah kecil menghadapi banjir sedalam 1 hingga 2 meter, manakala di Danang kebanyakan empangan air mencapai paras maksimum dan paras sungai terus meningkat.
Beberapa kawasan turut mengalami tanah runtuh, menutup laluan trafik dan memutuskan bekalan elektrik. Syarikat kereta api milik kerajaan masih belum dapat menyambung semula perkhidmatan antara Hanoi dan Ho Chi Minh City selepas operasi digantung pada 28 Oktober.
Agensi ramalan cuaca pemerintah memberi amaran bahawa hujan lebat akan berterusan selama dua hari lagi dengan beberapa kawasan dijangka menerima curahan melebihi 400 mm sehingga 30 Oktober.
Seorang pegawai tempatan yang enggan dinamakan berkata, “Kami bimbang angka korban akan terus meningkat sekiranya hujan berlarutan.” Dengan cuaca buruk yang masih belum menunjukkan tanda reda, pihak berkuasa kini menggesa penduduk di kawasan berisiko tinggi supaya berpindah ke tempat lebih selamat. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg