Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir kilat Texas: 11 peserta kem hilang, 80 maut

Jul 7, 2025 | 1:46 PM
 Kem Mystic, banjir kilat, texas
Sekurang-kurangnya 10 kanak-kanak perempuan dan seorang kaunselor yang menyertai acara perkhemahan di Kem Mystic, dilaporkan hilang dalam banjir kilat di Texas pada 5 Julai. - Foto AFP

TEXAS: Pasukan penyelamat mengejar masa pada 6 Julai untuk mencari berpuluh-puluh orang hilang, termasuk kanak-kanak, dalam banjir kilat yang telah mengorbankan hampir 80 nyawa.

Sekurang-kurangnya 40 orang dewasa dan 28 kanak-kanak terkorban di Daerah Kerr yang paling teruk dilanda banjir, kata Syerif Larry Leitha kepada pemberita.

Pegawai negeri berkata sekurang-kurangnya 10 lagi orang terbunuh akibat hujan lebat dan banjir kilat di kawasan berhampiran.

“Anda akan melihat angka kematian meningkat hari ini,” kata ketua keselamatan awam Texas Encik Freeman Martin pada sidang akhbar.

“Di semua kawasan yang terjejas akibat banjir, terdapat 41 dilaporkan hilang,” kata Gabenor Texas Encik Greg Abbott.

Penduduk Texas menyingsing lengan dengan pegawai bencana di darat dan dalam helikopter untuk mencari mereka yang hilang, termasuk 11 kanak-kanak perempuan dan seorang kaunselor dari perkhemahan musim panas di tepi sungai.

Seramai 750 orang menyertai perkhemahan itu ketika banjir kilat melanda.

Dalam mala petaka alam itu, air Sungai Guadalupe mencecah atas pokok dan bumbung kabin di Kem Mystic ketika kanak-kanak perempuan itu bermalam, menghanyutkan sebahagian daripada mereka dan meninggalkan adegan kemusnahan yang teruk.

Selimut, patung ‘teddy bear’ dan barang-barang lain berlumuran dengan lumpur dan tingkap dalam kabin telah pecah akibat deruan air yang kuat.

Leftenan Gabenor Encik Dan Patrick berkata hujan lebat berkemungkinan menyebabkan lebih banyak banjir berlaku pada 6 Julai.

Dalam kejadian itu, kaunselor perkhemahan telah memecahkan tingkap supaya kanak-kanak perempuan itu boleh berenang keluar dan meredah banjir setinggi leher.

“Bayangkan kanak-kanak perempuan ini berenang selama kira-kira 10 atau 15 minit dalam kegelapan, air deras dan pokok-pokok tumbang serta batu-batu menimpa mereka? Namun, mereka akhirnya sampai ke satu tempat yang selamat,” kata Encik Patrick.

Pegawai sebelum ini berkata 27 kanak-kanak perempuan dilaporkan hilang tetapi Syerif Leitha memberitahu kemudiannya bahawa hanya 10 daripada mereka dan seorang kaunselor masih dilaporkan hilang.

Banjir bermula pada 4 Julai – permulaan cuti hujung minggu – apabila hujan lebat turun beberapa jam, ketika orang ramai dibuai mimpi.

Paras air sungai Guadalupe naik meluap lapan meter atau setinggi bangunan dua tingkat dalam masa 45 minit.

Presiden Donald Trump, yang berada di kelab golfnya di Bedminster, New Jersey, menandatangani deklarasi bencana besar yang membolehkan sumber negeri segera dikerah untuk menangani banjir itu. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg