Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Angka korban banjir kilat Texas cecah 24 orang, misi menyelamat budak hilang diteruskan

Jul 5, 2025 | 6:46 PM
Satu rakaman dron menunjukkan rumah-rumah berhampiran Sungai Guadalupe di San Angelo, Texas di Amerika yang terjejas teruk oleh banjir kilat.
Satu rakaman dron menunjukkan rumah-rumah berhampiran Sungai Guadalupe di San Angelo, Texas di Amerika yang terjejas teruk oleh banjir kilat. - Foto REUTERS

KERVILLE (Amerika Syarikat): Pasukan penyelamat berusaha gigih mencari sekurang-kurangnya 20 kanak-kanak perempuan yang hilang dari kem musim panas di tepian sungai pada 4 Julai, susulan hujan lebat yang menyebabkan banjir kilat berubah menjadi malapetaka yang mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang di bahagian selatan-tengah Texas.

“Pada ketika ini, kami mengenal pasti sekitar 24 kematian dalam kejadian ini,” jelas Sherif Daerah Kerr Larry Leitha, dalam satu sidang media, di tengah-tengah usaha menyelamatkan penduduk yang terkandas di wilayah barat laut bandar San Antonio itu.

Leftenan Gabenor Texas, Encik Dan Patrick, berkata pada sidang akhbar sebelum ini sebahagian daripada mereka yang maut adalah kanak-kanak.

Sheriff Daerah Leitha menambah terdapat “kanak-kanak yang masih hilang”, sambil menambah bahawa antara 23 dengan 25 mangsa tidak dapat dikesan.

Menurut perangkaan sebelum ini, dikatakan sekitar 23 kanak-kanak perempuan yang menyertai perkhemahan itu didapati hilang menyusuli banjir kilat itu.

“Mereka adalah sebahagian daripada sekumpulan 750 kanak-kanak yang menyertai sesi kem Camp Mystic untuk budak perempuan dan sempena musim panas. Ia berlangsung sepanjang tebing Sungai Guadalupe.

“Dengan sekejapan, paras air meningkat lapan meter dalam masa 45 minit selepas hujan lebat semalaman.

Namun, Leftenan Gabenor Patrick menambah: “Ini tidak bermakna mereka telah hilang sebab mereka mungkin berada di atas pokok dan tiada cara berkomunikasi.”

Gabenor Texas, Encik Greg Abbott, berkata beliau menandatangani “pengisytiharan bencana” untuk menambah sumber bantuan di daerah tersebut.

Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberitahu wartawan pada lewat malam 4 Julai: “Banjir ini amat mengerikan dan mengejutkan.”

Ditanya sama ada Texas akan menerima bantuan persekutuan, beliau berkata: “Oh ya, pasti, kami akan menguruskannya. Kami sedang bekerjasama dengan Gabenor.”

Usaha menyelamat secara besar-besaran sedang dijalankan di wilayah itu, dengan kira-kira 500 kakitangan dan 14 helikopter membantu dalam mencari mangsa yang terselamat.

Pegawai tentera Texas, Encik Thomas Suelzer, memberitahu wartawan sekurang-kurangnya 237 orang telah diselamatkan atau dipindahkan oleh kakitangan kecemasan, dengan 167 kes menyelamat dijalankan menggunakan helikopter.

Pengarah Jabatan Keselamatan Awam Texas, Encik Freeman Martin, pula menjelaskan dalam sidang media pada 4 Julai:

“Kami menghadapi kesukaran pagi ini dengan cuaca tidak menentu.

“Apabila hari demi hari berlalu, keadaan bertambah baik, dan kami dapat menyelamatkan lebih ramai mangsa. Kerja menyelamat akan diteruskan.” – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg