Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banjir di 9 negeri di M’sia masih buruk, lebih 132,000 mangsa dipindah

Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk dilanda banjir dengan lebih 26,800 keluarga terjejas
Nov 30, 2024 | 5:35 PM
Sebuah kereta tenggelam di Kelantan pada 30 November susulan banjir dek hujan lebat selama beberapa hari berturut-turut.
Sebuah kereta tenggelam di Kelantan pada 30 November susulan banjir dek hujan lebat selama beberapa hari berturut-turut. - Foto AFP

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di sembilan negeri di Malaysia meningkat hingga mencapai lebih 132,000 orang daripada lebih 38,800 keluarga yang ditempatkan di sekitar 700 pusat pemindahan sementara (PPS) hingga 12 tengah hari, 30 November, menurut pegawai bencana tempatan.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sembilan negeri yang terjejas banjir adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.

Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk dilanda banjir kali ini dengan sekitar 280 PPS diaktifkan untuk menempatkan lebih 86,000 orang daripada lebih 26,800 keluarga yang terjejas di 10 daerah.

Mangsa banjir di Kedah juga naik mendadak apabila seramai lebih 5,500 orang di tujuh daerah di negeri itu ditempatkan di PPS.

Keadaan banjir di Johor pula merekodkan lebih 380 mangsa yang ditempatkan di pelbagai PPS di daerah terbabit.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memberi amaran hujan berterusan tahap buruk dijangkakan hingga 1 Disember membabitkan dua negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) akan memantau secara teliti jalan mendap, cerun berisiko runtuh serta jambatan di seluruh negara, khususnya di negeri yang terjejas teruk akibat banjir terutama di Pantai Timur.

Tambahnya, Pengarah JKR Negeri serta Jurutera Daerah (JD) juga diminta segera mengenal pasti laluan alternatif sekiranya jalan utama sama ada mendap, ditenggelami banjir mahupun cerun runtuh sehingga merbahaya serta tidak boleh dilalui kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke, juga berkata Kementerian Pengangkutan Malaysia (MoT) akan menubuhkan sebuah jawatankuasa petugas khas untuk menyelaras misi bantuan banjir, termasuk bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

Mengenai sistem pengangkutan awam yang terjejas susulan bencana itu pula, Encik Loke memaklumkan bahawa landasan Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kelantan antara yang terkesan.

Beliau berkata ia membabitkan laluan kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan, ke Pantai Timur di mana operasinya telah dihentikan sementara.

“Selain itu, laluan KTMB dari Gua Musang-Kuala Krai terkesan akibat ditenggelami banjir, manakala lapangan terbang di Alor Setar juga terjejas.

“Keadaan banjir kali ini adalah lebih buruk berbanding 2014, terutama di Kelantan,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (berkemeja putih), bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud (berjaket hijau), mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan sementara di Kota Bahru, Kelantan, pada 29 November.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (berkemeja putih), bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud (berjaket hijau), mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan sementara di Kota Bahru, Kelantan, pada 29 November. - Foto ihsan MOHD NASSURUDDIN DAUD

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, turut mengumumkan bahawa kerajaan telah mengagihkan dana banjir sebanyak RM1,000 ($301) kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas di seluruh negara sejak 29 November.

Beliau berkata demikian semasa melawat mangsa banjir di PPS di Terengganu pada 30 November.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkan semua menteri serta timbalan menteri turun padang ke kawasan bencana dan cuti menteri dibekukan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg