KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di seluruh Malaysia yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) hingga 3.30 petang 1 Disember mencapai lebih 148,000 orang daripada sekitar 44,500 keluarga.
Selain Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor, Pahang muncul sebagai negeri ke-10 yang dilanda banjir.
Berdasarkan maklumat portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga daerah di negeri itu dilanda bencana berkenaan membabitkan Raub, Jerantut dan Lipis.
Kelantan kekal negeri paling teruk terjejas dengan lebih 95,000 mangsa ditempatkan di PPS.
Sementara itu, sekitar 40,000 mangsa banjir di Terengganu turut ditempatkan di PPS.
Dalam lawatannya ke Terengganu untuk meninjau situasi banjir di negeri itu pada 1 Disember, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan peruntukan tambahan segera untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu, masing-masing RM25 juta ($7.5 juta), susulan keadaan banjir yang serius di kedua-dua negeri tersebut, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).
Beliau, yang juga Menteri Kewangan, berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu akan digunakan antara lain untuk membaiki infrastruktur asas.
Datuk Anwar berkata kedua-dua negeri itu sebelum ini masing-masing menerima RM50 juta, namun peruntukan tambahan diberikan susulan keadaan banjir yang lebih buruk.
Tambahnya, pihaknya menjangkakan sejumlah RM1 bilion diperlukan bagi bantuan banjir di seluruh negara.
“Untuk negeri lain, kita sedang pantau, saya tidak mahu jadi salah faham dan akan memenuhi keperluan yang saya jangka jumlah keseluruhan bantuan banjir kali ini hampir mencecah RM1 bilion,” katanya.
Beliau juga berkata tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keadaan banjir di seluruh Malaysia ketika ini, khususnya di Kelantan dan Terengganu, adalah membimbangkan, bahkan lebih buruk berbanding keadaan banjir pada 2014.
Malah lebih merisaukan lagi, keadaan dijangka semakin buruk dengan fenomena air pasang besar di Laut China Selatan dan di Selat Melaka yang berada di puncaknya, tambahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya berharap ramalan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) bahawa luruan hujan akan berkurangan minggu depan akan menjadi kenyataan.
“Kami yakin dengan pengurangan luruan hujan itu, ia akan mengurangkan pemindahan (mangsa banjir) ke PPS,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Selangor di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 1 Disember.
Datuk Ahmad Zahid juga berharap penduduk di negeri yang terkesan dengan banjir dapat mengikut arahan jawatankuasa bencana negeri, dengan lebih 82,000 pegawai dan anggota keselamatan telah dikerah untuk membantu mangsa di kawasan terlibat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg