NEW YORK: Bank Dunia menyatakan sokongan terhadap cadangan Amerika Syarikat mewujudkan satu badan tadbir urus peralihan di Gaza melalui ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sedang dirundingkan.
Badan itu, dikenali sebagai Lembaga Keamanan, akan diberi mandat selama dua tahun untuk mengurus proses pemulihan Gaza, termasuk pembinaan semula dan pembangunan ekonomi wilayah yang hancur akibat perang dua tahun antara Israel dengan Hamas.
Dalam sepucuk surat kepada Duta Amerika Syarikat ke PBB, Encik Mike Waltz, yang dilihat oleh agensi berita, Reuters, Presiden Bank Dunia, Encik Ajay Banga, menyatakan sokongan penuh terhadap bahasa dalam draf ketetapan tersebut.
“Penglibatan kami di Gaza memerlukan keupayaan untuk bekerjasama dengan rakan antarabangsa yang mendapat sokongan penuh masyarakat sejagat serta diberi kuasa sepenuhnya untuk melaksanakan usaha mereka,” tulis Encik Banga dalam surat bertarikh 8 November.
Menurutnya, langkah menubuhkan Lembaga Keamanan di bawah mandat Majlis Keselamatan PBB akan menyediakan kerangka kerja yang diperlukan bagi Bank Dunia untuk berperanan secara berkesan dalam membantu pemulihan Gaza.
“Cadangan untuk menubuhkan pihak berkuasa seperti Lembaga Keamanan melalui ketetapan Majlis Keselamatan akan menyediakan asas undang-undang dan pentadbiran jelas untuk penglibatan Bank Dunia,” tulisnya.
Surat itu merupakan maklum balas kepada Wncik Waltz yang menghantar draf ketetapan berkenaan kepada Bank Dunia untuk semakan.
Bank Dunia, bersama PBB dan Kesatuan Eropah, pada Februari lalu menganggarkan kos membina semula Gaza melebihi AS$50 bilion ($65.1 bilion).
Namun, angka terkini yang sedang dimuktamadkan menunjukkan jumlah itu meningkat kepada AS$70 bilion, mengambil kira kerosakan baru akibat serangan udara dan kehancuran prasarana awam.
Dalam draf ketetapan, PBB menyeru Bank Dunia dan institusi kewangan lain menyalurkan bantuan serta menubuhkan tabung amanah khas bagi menyokong pemulihan Gaza.
“Kami menghargai komitmen ini dan sedang bergerak pantas supaya dapat bersedia dari hari pertama apabila diminta untuk melaksanakan peranan kami,” kata Encik Banga.
Draf ketetapan yang digubal oleh Amerika itu turut mendapat sokongan Mesir, Qatar, Arab Saudi, Turkey, dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketetapan tersebut, yang diedarkan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan pada 5 November, mengusulkan penubuhan Lembaga Keamanan dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza.
Mandat dua tahun bagi ISF akan memberi kuasa kepada pasukan itu untuk menggunakan “segala langkah perlu” bagi melaksanakan tugasnya – istilah diplomatik yang membenarkan penggunaan kekuatan ketenteraan.
“Secara keseluruhan, perkembangan ini sangat positif.
“Kami sedang meneliti semula teks ketetapan bagi menjawab kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa pihak,” kata seorang pegawai Amerika yang enggan dinamakan kepada Reuters pada 9 November.
Langkah ini merupakan fasa kedua daripada pelan 20 perkara Presiden Donald Trump yang diumumkan pada September lalu untuk menamatkan perang dua tahun di Gaza.
Fasa pertama gencatan senjata dan pembebasan tebusan oleh Hamas telah dilaksanakan pada 10 Oktober.
Sejak itu, Hamas telah membebaskan 20 tebusan yang masih hidup serta menyerahkan mayat 24 orang lagi.
Fasa kedua, yang akan disokong oleh ketetapan baru PBB termasuk penubuhan Lembaga Keamanan dan pasukan pelbagai negara sementara bagi mengambil alih tanggungjawab keselamatan daripada tentera Israel secara berperingkat.
Sumber diplomatik turut mendedahkan menantu Presiden Trump, Encik Jared Kushner, tiba di Israel pada 9 November untuk membincangkan pelaksanaan fasa itu bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
“Kushner dijadual bertemu Netanyahu pada Isnin (10 November) untuk memperhalusi butiran pelaksanaan pelan damai,” kata sumber berkenaan yang enggan dikenali.
Walaupun Turkey disenaraikan sebagai salah satu negara penyokong, pemerintah Israel menolak kemungkinan penyertaan tenteranya dalam pasukan penstabilan.
Jurucakap pemerintah Israel menegaskan pada 9 November bahawa “tiada tentera Turkey akan menjejak kaki di Gaza”.
Namun, Duta Amerika ke Turkey, Encik Tom Barrack, sebelum ini berkata di sebuah persidangan keselamatan di Manama bahawa Turkey akan memainkan peranan dalam pasukan berkenaan.
Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, juga menyatakan Oktober lalu bahawa Ankara mempunyai “peranan membina” dalam pelan itu, namun Washington tidak akan memaksa Israel menerima pasukan asing di wilayahnya.
“Kami percaya Turkey boleh memainkan peranan positif, tetapi keputusan akhir tetap milik Israel,” katanya.
Ketetapan yang dicadangkan itu memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undian menyokong dan tiada veto daripada lima anggota tetap Majlis Keselamatan iaitu Russia, China, Perancis, Britain dan Amerika.
Washington menyasarkan agar draf itu dapat dibawa untuk undian dalam tempoh beberapa minggu, bukan bulan.
Jika diluluskan, penubuhan Lembaga Keamanan dan ISF akan menjadi langkah paling konkrit setakat ini ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan Gaza selepas dua tahun perang yang telah mengorbankan puluhan ribu nyawa.
“Kami percaya ini masa yang tepat untuk membina semula Gaza dengan sokongan sejagat yang jelas,” kata seorang diplomat Amerika di New York.
“Langkah ini bukan sahaja tentang prasarana, tetapi tentang masa depan keamanan dan harapan rakyat Palestin,” tambah beliau.
Dengan mandat dua tahun yang dirancang, Lembaga Keamanan bakal menjadi ujian besar bagi masyarakat antarabangsa sejauh mana dunia mampu berganding bahu untuk mengembalikan kehidupan dan harapan kepada Gaza selepas perang yang paling memusnahkan dalam sejarah moden wilayah itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg