Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bank Indonesia jadikan ulama rakan strategik bendung inflasi Ramadan

Mar 11, 2025 | 10:47 AM
Para ulama menghadiri ceramah yang dikendalikan pegawai Bank Pusat Indonesia mengenai kepentingan mengurus inflasi, bertempat di Pusat Islam Majalengka, wilayah Jawa Barat, Indonesia pada 6 Mac. 
Para ulama menghadiri ceramah yang dikendalikan pegawai Bank Pusat Indonesia mengenai kepentingan mengurus inflasi, bertempat di Pusat Islam Majalengka, wilayah Jawa Barat, Indonesia pada 6 Mac.  - Foto REUTERS

MAJALENGKA (Jawa Barat, Indonesia): Menjelang waktu berbuka puasa di bulan Ramadan, para ulama di bandar Majalengka berkumpul dalam sesi taklimat dan ceramah yang agak luar biasa – iaitu membincangkan isu inflasi bersama pegawai bank pusat Indonesia.

Sesi yang diadakan di pusat Islam bandar itu diketuai oleh seorang pegawai Bank Indonesia dan dua ulama tempatan.

Ia merupakan sebahagian daripada usaha bank pusat untuk melibatkan para pendakwah dalam menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang bahaya pemborosan dan peningkatan perbelanjaan sepanjang Ramadan, yang berpotensi mencetuskan tekanan harga dalam ekonomi negara.

Meskipun kadar inflasi telah dikawal dengan lebih baik sejak sedekad lalu, hasil pengukuhan sistem pengagihan makanan dalam rantaian bekalan, Bank Indonesia tetap berusaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menstabilkan harga barangan.

“Kami berharap para ulama dapat menjadi perantara dalam menyampaikan mesej bahawa pengurusan inflasi adalah tanggungjawab bersama,” kata pegawai kanan Bank Indonesia bagi wilayah Majalengka, Encik Agung Budilaksono.

Beliau menegaskan bahawa inflasi yang tidak terkawal boleh membawa kesan negatif kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Inflasi perlu dikawal, ibarat tekanan darah dalam tubuh manusia. Jika terlalu tinggi, ia akan merosakkan kesihatan dalam jangka panjang, tetapi jika terlalu rendah, badan akan menjadi lemah,” ujarnya.

Di Indonesia, Ramadan biasanya berakhir dengan perayaan Aidilfitri yang menyaksikan lonjakan permintaan dalam pasaran, seperti juga di kebanyakan negara Islam lain.

Dengan penduduk majoriti Muslim seramai 280 juta orang, peningkatan perbelanjaan pada musim perayaan boleh memberi kesan langsung terhadap kestabilan harga barangan.

Di kawasan luar bandar dan bandar kecil seperti Majalengka di Jawa Barat, terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari ibu kota Jakarta, para ulama memainkan peranan besar dalam membimbing masyarakat.

“Orang ramai cenderung berbelanja lebih ketika Ramadan, jadi mungkin kita perlu mengingatkan mereka bahawa tujuan sebenar berpuasa adalah untuk melatih diri mengawal hawa nafsu,” kata Encik Mohamad Padil, 53 tahun, salah seorang daripada ulama yang hadir dalam forum tersebut.

Pada masa lalu, Indonesia pernah mengalami kadar inflasi yang tinggi, namun menjelang 2024, ia berada pada paras 1.57 peratus, iaitu hampir ke had bawah sasaran bank pusat.

Sementara itu, kadar inflasi di Jawa Barat mencatat 1.64 peratus.

Sepanjang dua bulan pertama 2025, kadar tersebut semakin menurun berikutan peningkatan subsidi ke atas harga elektrik.

Pakar ekonomi menjangkakan inflasi kekal dalam lingkungan sasaran bank pusat, iaitu antara 1.5 peratus dengan 3.5 peratus sepanjang 2025.

Bank Indonesia turut melaksanakan pelbagai daya usaha lain bagi meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan masyarakat.

Ia termasuk penerbitan podcast mengenai pengurusan perbelanjaan, program keusahawanan, serta usaha meningkatkan bekalan makanan tempatan.

Di pesantren Santi Asromo, tidak jauh dari pusat bandar Majalengka, bank pusat telah membantu membina rumah hijau bagi membolehkan pelajar menanam sayur-sayuran seperti kubis Cina dan bayam air.

Selain itu, sebuah ladang ikan juga telah dibina untuk sekolah bersebelahan sebagai sebahagian daripada inisiatif tersebut.

“Kesederhanaan dalam berbelanja adalah kunci kestabilan ekonomi dan ketenangan hidup.

“Sebagai umat Islam, kita diajar untuk tidak berlebih-lebihan,” kata seorang ulama tempatan yang menyertai program itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg