JAKARTA: Kementerian Tenaga Kerja Indonesia akan segera mengeluarkan peraturan mengenai pemberian elaun hari perayaan (THR) untuk pemandu teksi motosikal online (ojol), menurut Menteri Tenaga Kerja Yassierli.
Beliau menyatakan bahawa kementerian kini sedang memuktamadkan peraturan tersebut, selepas pemandu ojol mengadakan tunjuk perasaan di hadapan kementerian di Jalan Gatot Subroto, Jakarta Selatan, pada 17 Februari.
“Saya setuju bahawa THR adalah budaya kita. Saya boleh bayangkan apabila tiba di akhir Ramadan, anak-anak akan bertanya, ‘Mana THR Ayah?’,” ujar Encik Yassierli, seperti yang dipetik dari kompas.com.
Beliau juga menambah: “Ya, kita semua merasainya. Sebelum saya menjadi menteri, saya adalah pelanggan setia aplikasi online.”
Encik Yassierli menekankan bahawa semua pihak yang terlibat harus duduk bersama untuk berbincang mengenai perkara ini sebagai satu bentuk perhatian perniagaan terhadap pekerja mereka.
“Berikan kami masa untuk memuktamadkan peraturan ini dalam beberapa hari akan datang,” katanya lagi.
Protes yang diadakan oleh pemandu ojol dan pekerja pengangkutan itu bertujuan menuntut pembayaran THR daripada syarikat-syarikat perkhidmatan e-panggilan khidmat pengangkutan atau ride-hailing.
Namun, syarikat-syarikat berkenaan menolak untuk membayar THR, dengan alasan bahawa pemandu bukanlah pekerja syarikat secara formal, tetapi sekadar rakan kongsi.
Ketua Kesatuan Pekerja Pengangkutan Indonesia (SPAI), Cik Lili Pujiati, sebelum ini berkata bahawa demonstrasi tersebut berlangsung dari pukul 10 pagi hingga 2 petang.
“Hari ini (17 Februari), kami, Gabungan Tuntutan THR untuk Pengendali E-Hailing, menuntut pemberian elaun perayaan (THR) bagi pengendali motosikal e-hailing, pemandu teksi dalam talian, dan penghantar barang dengan mengadakan protes di Kementerian Tenaga Kerja serta beberapa bandar di Indonesia, termasuk aksi besar-besaran ‘menutup aplikasi’,” ujar Lili dalam kenyataannya pada Isnin, seperti yang dilaporkan oleh bisnis.com.
“Hari ini (17 Februari), kami, Gabungan Tuntutan THR untuk Pengendali E-Hailing, menuntut pemberian elaun perayaan (THR) bagi pengendali motosikal e-hailing, pemandu teksi dalam talian, dan penghantar barang dengan mengadakan protes di Kementerian Tenaga Kerja serta beberapa bandar di Indonesia, termasuk aksi besar-besaran ‘menutup aplikasi’,” ujar Cik Lili dalam kenyataannya pada 17 Februari, seperti yang dilaporkan oleh bisnis.com.
Demonstrasi tersebut melibatkan bukan sahaja pemandu ojol tetapi juga pemandu teksi online dan penghantar barangan, dengan jumlah peserta yang dianggarkan sekitar 500 hingga 700 orang.
Peserta demonstrasi terdiri daripada tiga gabungan buruh, lima kesatuan sekerja, dan 90 komuniti buruh. Tiga gabungan tersebut adalah Kongres Gabungan Syarikat Buruh Indonesia (KASBI), Konfederasi Syarikat Pekerja Seluruh Indonesia (KSPSI), dan Konfederasi Pekerja Bersatu Indonesia (KPBI).
Pemandu ojol menuntut pemberian THR yang setara dengan upah minimum wilayah untuk pekerja. Mereka juga mendesak agar sistem perjanjian kerja rakan kongsi dihapuskan, yang mereka percaya akan merugikan pekerja.
Menurut Cik Lili, tuntutan ini mencerminkan rasa tidak puas hati yang terkumpul selama ini di kalangan pekerja pengangkutan terhadap penyedia aplikasi atau syarikat perkhidmatan pengangkutan, yang dianggap mengabaikan hak pekerja yang telah bekerja bertahun-tahun.
“Masa sudah berlalu 10 tahun dan tiada siapa yang memberikan THR untuk mereka walaupun mereka bekerja setiap hari dan menjana ratusan juta,” kata Cik Lili, seperti yang dipetik oleh kompas.com.
Pemandu ojol turut mendesak pemerintah untuk campur tangan dan mencari penyelesaian terhadap tuntutan mereka. Mereka juga menyeru agar Kementerian Tenaga Kerja mengeluarkan dasar yang lebih berpihak kepada pemandu ojol dan pekerja dari platform lain.
Bagi memastikan keselamatan demonstrasi ojol, pihak Polis Jakarta telah mengerahkan seramai 356 anggota untuk mengawal keadaan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg