JAKARTA: Ekonomi Indonesia sedang bergelut dengan permintaan pengguna yang semakin lemah, apabila deflasi dua bulan berturut-turut menunjukkan kemerosotan kuasa membeli dan jumlah mereka yang kehilangan pekerjaan meningkat.
Deflasi adalah penurunan kegiatan ekonomi yang menyebabkan penurunan pengeluaran, guna tenaga, pelaburan, perdagangan, keuntungan dan harga lebih rendah.
Perbelanjaan biasanya meningkat pada Ramadan, tetapi kali ini ia dijangka kekal malap kerana ramai rakyat Indonesia mengutamakan menyimpan wang daripada membeli barang bukan keperluan.
Data Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia menunjukkan deflasi 0.76 peratus dari bulan ke bulan pada Januari, diikuti penurunan 0.48 peratus pada Februari.
Pakar dasar awam dari UPN Veteran Jakarta, Encik Achmad Nur Hidayat, berkata trend itu mencerminkan permintaan lembap, diburukkan oleh pemberhentian kerja yang sedang berjalan.
“Awal tahun ini (2025) ditandai dengan deflasi dua bulan berturut-turut, yang menunjukkan kelemahan dalam perbelanjaan isi rumah.
Selain itu, pada 2024 terdapat 77,965 kes pemberhentian pekerja, dengan tambahan 4,050 kes dicatat hanya pada Januari 2025,” katanya.
Walaupun beliau menjangkakan peningkatan kegiatan ekonomi sepanjang Ramadan, pertumbuhannya dijangka lebih perlahan berbanding tahun-tahun lalu.
Perniagaan makanan dan minuman masih kukuh, tetapi sektor pakaian berdepan saingan hebat daripada produk import murah.
Menjelang Aidilfitri, perbelanjaan dijangka meningkat didorong pembayaran tunjangan Hari Raya (THR) kepada penjawat awam, yang dianggar berjumlah 50 trilion rupiah ($4.09 bilion) pada 2025, sedikit lebih tinggi daripada 48.7 trilion rupiah pada 2024.
Pemerintah turut mempercepat pembayaran THR bagi memastikan peredaran wang yang lebih luas dalam pasaran.
Namun, Encik Achmad melihat pola perbelanjaan rakyat akan lebih berhati-hati pada 2025.
“Terdapat petunjuk orang ramai akan lebih memilih dalam berbelanja tahun ini (2025),” katanya.
Laporan tinjauan 2024 menunjukkan 67 peratus rakyat Indonesia memperuntuk sekurang-kurangnya 25 peratus daripada bonus mereka untuk membeli-belah sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Namun, ketidaktentuan ekonomi pada 2025 menyebabkan lebih ramai memilih menyimpan wang atau melunaskan hutang berbanding perbelanjaan bukan keperluan.
Walaupun sektor runcit masih optimis, pertumbuhan jualan dijangka lebih perlahan.
Persatuan Pusat Beli-belah Indonesia (APPBI) menjangka transaksi runcit meningkat 15 hingga 20 peratus sepanjang Ramadan, jauh lebih rendah daripada kenaikan 30 peratus pada 2024.
Walaupun landskap politik Indonesia kekal stabil, ketidaktentuan dalam pasaran kewangan semakin meningkat.
Nilai rupiah semakin lemah, sementara Indeks Komposit Jakarta (JCI) turut mengalami penurunan, menandakan kebimbangan pelabur terhadap asas ekonomi negara.
Pemerintah cuba menangani isu ini dengan operasi pasaran bagi menstabilkan harga barang keperluan asas dan memastikan kestabilan ekonomi domestik.
Strategi ini, diikuti dengan promosi agresif oleh peruncit, dijangka dapat mengekalkan perbelanjaan pengguna, walaupun pada tahap lebih rendah berbanding 2024.
Namun, Encik Achmad menegaskan bahawa kebergantungan pada THR sebagai suntikan ekonomi tahunan tidak mencukupi untuk merangsang pertumbuhan jangka panjang.
“Bergantung pada THR sebagai rangsangan tahunan tidak mencukupi.
“Pemerintah perlu melaksana dasar jangka panjang bagi memastikan perbelanjaan isi rumah kekal stabil dan ekonomi terus berkembang di luar musim perayaan,” katanya.
Bagi menggalak perbelanjaan dalam negara, pemerintah bersama sektor swasta melancarkan beberapa inisiatif, termasuk program belanja nasional ‘Jumaat Mubarak’, anjuran Persatuan Pengusaha Runcit Indonesia (Aprindo).
Program itu bertujuan meningkatkan kegiatan ekonomi sepanjang Ramadan dengan tawaran promosi dan diskaun menarik setiap Jumaat.
“Jumaat Mubarak yang diselenggarakan Aprindo kali ini akan berlangsung hingga 30 Mac 2025 dengan sasaran jualan Rp75 trilion.
“Setiap Jumaat akan ada lebih banyak promosi dan diskaun,” kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Dr Airlangga Hartarto, semasa pelancaran program itu pada 28 Februari.
Pelbagai program lain turut dianjurkan bagi merancakkan perbelanjaan dalam negara sepanjang Ramadan.
Antara daya usaha itu ialah BINA Lebaran, yang dikendalikan oleh Himpunan Penyewa Pusat Belanja Indonesia (Hippindo); Pasar Kreatif Ramadan, anjuran Pemprov DKI Jakarta; serta Bazar Ramadan dan Jualan Ramadan oleh Persatuan E-dagang Indonesia (IdEA).
Bagi memastikan rentak ekonomi terus stabil sepanjang musim perayaan 2025, pemerintah turut memperkenalkan beberapa insentif untuk menggalak perbelanjaan rakyat.
Antara langkah yang diumum ialah diskaun lebih 10 peratus bagi tiket penerbangan domestik selama dua minggu serta diskaun 20 peratus bagi tol, untuk mengurangkan kos perjalanan bagi mereka yang pulang ke kampung.
Selain itu, pemerintah menyediakan program mudik percuma bersama 74 syarikat Badan Usaha Milik Negara (BUMN), serta tiket percuma untuk pengangkutan laut semasa Lebaran bagi memudahkan pergerakan rakyat.
Di samping itu, pemerintah menjalankan Operasi Pasar (OP) bagi memastikan harga barang keperluan asas kekal stabil, sekali gus membantu rakyat menghadapi kenaikan harga yang biasanya berlaku menjelang dan pada musim perayaan.
Menurut Dr Airlangga, dengan jarak lebih dekat antara Tahun Baru dengan Aidilfitri 2025, satu lagi musim belanja nasional akan dicadangkan selepas April hingga Disember bagi memastikan pertumbuhan jualan mampan.
“Saya sarankan agar ada satu musim belanja tambahan selepas April hingga hujung tahun (2025) bagi merangsang jualan.
“Kami telah menyemak dengan beberapa daerah dan mendapati bekalan makanan stabil, dengan potongan harga purata antara 30 peratus dengan 50 peratus. Ini pastinya akan membantu masyarakat,” katanya.
Pakar ekonomi dari Universiti Indonesia, Encik Teuku Riefky, menyuarakan kebimbangan mengenai trend perbelanjaan pengguna yang perlahan menjelang Ramadan, berbeza dari tahun-tahun lalu yang menyaksikan lonjakan permintaan.
“Pada tahun-tahun sebelum ini, kadar inflasi menurun pada Januari selepas musim perayaan tetapi meningkat semula menjelang Februari apabila permintaan bagi makanan dan pengangkutan meningkat menjelang Ramadan.
“Namun tahun ini (2025), pemulihan itu belum berlaku,” katanya dalam satu perbincangan dalam talian pada 3 Mac.
Beliau mengaitkan kelemahan itu dengan penurunan pendapatan isi rumah, yang memaksa rakyat memberi keutamaan pada keperluan asas sahaja.
Kadar pengangguran yang meningkat, pelaburan merosot, dan penutupan perniagaan mengehadkan lagi perbelanjaan rakyat.
“Penurunan perbelanjaan pengguna bukan sekadar isu sementara – ia mencerminkan masalah struktur lebih besar berkaitan kemerosotan pendapatan isi rumah.
“Tanpa menangani faktor asas ini, sebarang langkah rangsangan hanya akan memberikan kesan jangka pendek,” tambahnya.
Dalam keadaan keyakinan pengguna masih rapuh dan kuasa membeli semakin lemah, pakar ekonomi berasa pemerintah perlu mengambil langkah lebih berani bagi menangani isu ketidakseimbangan ekonomi, terutama dalam meningkatkan peluang pekerjaan dan pelaburan domestik.
“Ekonomi kukuh tidak bergantung pada perbelanjaan semasa musim perayaan sahaha, malah kestabilan pendapatan rakyat sepanjang tahun,” kata Encik Riefky. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg