TUNIS: Bantuan, Global Sumud Flotila, yang membawa bekalan kemanusiaan penting untuk rakyat Gaza tiba di Tunisia selepas hampir seminggu belayar, dalam persinggahan terakhir sebelum meneruskan perjalanan ke Palestin bagi mencabar kepungan Israel.
Konvoi laut terbesar seumpamanya itu terdiri daripada lebih 50 kapal dari sekurang-kurangnya 44 negara, masing-masing membawa kira-kira setengah tan bantuan.
Flotilla Sumud Global adalah armada tanpa kekerasan yang diselaras dengan kebanyakan kapal kecil yang belayar dari pelabuhan merentasi Mediterranean untuk menghentikan pengepungan haram pendudukan Israel di Gaza.
Beberapa kapal lain dijadual bergabung dalam beberapa hari mendatang.
Wartawan Columbia, Encik Mauricio Morales, yang turut berada di atas salah sebuah kapal, berkata semangat sukarelawan kekal tinggi sebaik sahaja menghampiri ibu negara Tunis.
“Kami sempat singgah di Menorca (salah sebuah pulau Balearic milik Sepanyol di Laut Mediterranean) untuk kerja pembaikan selepas dilanda ribut. Walaupun terpaksa berpatah balik kerana cuaca buruk, semangat pasukan tidak luntur,” katanya.
Ketibaan flotila – kumpulan kapal kecil – itu disambut meriah dengan bot-bot kecil Tunisia mengibarkan bendera Palestin sambil melaungkan “Viva Palestina”.
Flotila akan berlabuh selama dua hari untuk mengisi semula bekalan makanan dan air sebelum berlepas ke Gaza pada 10 September.
Perjalanan dijangka mengambil masa lebih seminggu.
Aktivis dari Eropah dan dunia Arab membanjiri pelabuhan Sidi Bou Said pada 7 September, termasuk aktivis iklim Sweden, Cik Greta Thunberg, dan cucu ikon antiaparteid, Encik Nelson Mandela, iaitu Encik Mandla Mandela, yang turut serta dalam misi tersebut.
“Kita semua tahu mengapa kita berada di sini. Di seberang lautan ini sedang berlaku genosid, kebuluran besar-besaran oleh jentera pembunuh Israel,” kata Cik Thunberg, ketika berucap di hadapan ratusan penyokong.
Ahli Parlimen Eropah berketurunan Perancis-Palestin, Cik Rima Hassan, turut hadir dan menegaskan: “Hari ini perjuangan Palestin bukan di tangan pemerintah, tetapi di hati rakyat di seluruh dunia.”
Namun, ancaman daripada pihak berkuasa Israel semakin jelas.
Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, dilapor berhasrat menahan semua krew flotila dan memenjarakan mereka di penjara Ketziot dan Damon sebaik sahaja kapal berkenaan menghampiri Gaza.
Misi ini mengambil inspirasi daripada konvoi bantuan terdahulu yang sering disekat, termasuk Handala, Marmara Blue dan Madleen, yang pernah dipintas secara haram oleh tentera laut Israel.
Penganjur flotila berkata tujuan utama ialah “menghentikan kepungan haram Israel ke atas Gaza” yang telah menyebabkan krisis kemanusiaan paling buruk dalam sejarah moden Palestin.
Menurut badan antarabangsa, sekatan Israel ke atas bantuan kemanusiaan telah mengakibatkan kebuluran meluas di Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Ogos mengesahkan berlakunya kebuluran, menyifatkannya sebagai hasil “halangan sistematik Israel” terhadap kemasukan bantuan.
Sekurang-kurangnya 387 rakyat Palestin terkorban akibat kebuluran, termasuk 138 kanak-kanak.
Perangkaan menunjukkan kira-kira 900,000 kanak-kanak kini menderita kelaparan, manakala 700,000 berada pada tahap kekurangan zat makanan klinikal.
Global Sumud Flotila memulakan pelayaran dari Barcelona pada 1 September sebelum bergabung dengan kapal lain di Tunisia.
Walaupun Israel menafikan berlakunya kebuluran di Gaza, tekanan antarabangsa kian meningkat.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan badan hak asasi manusia menegaskan bahawa sekatan berterusan adalah punca utama penderitaan rakyat Palestin. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg