Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel halang, tahan bot flotila bawa bantuan kemanusiaan ke Gaza

Global Sumud Flotilla bawa ubat-ubatan, makanan untuk warga Gaza yang kebuluran
Oct 2, 2025 | 10:35 AM
Rakaman skrin daripada siaran langsung menunjukkan kru kapal Florida mengangkat tangan selepas tentera laut Israel menaiki kapal itu. Kapal Florida merupakan sebahagian daripada Global Sumud Flotilla.
Rakaman skrin daripada siaran langsung menunjukkan kru kapal Florida mengangkat tangan selepas tentera laut Israel menaiki kapal itu. Kapal Florida merupakan sebahagian daripada Global Sumud Flotilla. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Tentera laut Israel memintas dan menahan bot flotila antarabangsa yang cuba membawa bantuan ke Gaza, sekali gus menamatkan percubaan terbaru aktivis untuk memecahkan sekatan laut ke atas wilayah Palestin yang dilanda perang.

Flotila yang dinamakan Global Sumud Flotilla (GSF) itu terdiri daripada kira-kira 45 kapal dan bot yang membawa kira-kira 500 ahli parlimen, peguam dan aktivis dari pelbagai negara, termasuk aktivis iklim terkenal dari Sweden, Cik Greta Thunberg.

Global Sumud Flotilla (GSF), membawa ubat-ubatan dan makanan ke Gaza.

Bot-bot berkenaan berada kira-kira 70 batu nautika dari Gaza apabila mereka dipintas pada lewat malam 1 Oktober, dalam zon yang dikawal oleh Israel untuk menghalang sebarang bot mendekati wilayah itu.

Rombongan ini berlayar dari Sepanyol pada Ogos lalu dengan matlamat menghantar bekalan makanan dan perubatan ke Gaza, kawasan yang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sahkan sedang mengalami kebuluran.

Perjalanan mereka merentasi Laut Mediterranean telah menarik perhatian antarabangsa, dengan negara seperti Turkey, Sepanyol dan Italy menghantar bot atau dron sebagai persediaan sekiranya warganegara mereka memerlukan bantuan walaupun menerima amaran berulang kali dari Israel supaya berpatah balik.

“Kira-kira jam 8.30 malam waktu Gaza (1.30 pagi waktu Singapura), beberapa kapal flotila Global Sumud, termasuk Alma, Sirius dan Adara, telah dipintas dan dinaiki tentera Israel di perairan antarabangsa,” kata flotila itu dalam kenyataan.

“Selepas serbuan itu, siaran langsung dan komunikasi dengan beberapa kapal lain turut terputus,” tambah kenyataan tersebut.

Kementerian Luar Israel mengesahkan operasi itu dan menyatakan semua kapal “telah berjaya dihentikan dengan selamat” dan penumpang dibawa ke pelabuhan Israel.

“Greta dan rakan-rakannya selamat dan berada dalam keadaan baik,” kata kenyataan kementerian itu di platform X.

Sebanyak 10 kapal yang membawa 23 rakyat Malaysia menyertai misi kemanusiaan GSF (GSF) menuju ke Gaza bagi menghantar bantuan ke wilayah yang dikepung itu.

Sehingga jam 7.50 pagi 2 Oktober waktu Malaysia, seramai 12 rakyat Malaysia disahkan telah ditahan tentera Israel selepas kapal mereka memasuki zon merah R3, kira-kira 100 batu nautika dari Gaza, pada malam 1 Oktober.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedang mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan semua sukarelawan dan aktivis terjamin.

Cik Rima Hassan, ahli Parlimen Eropah berketurunan Perancis-Palestin yang turut berada dalam flotila, menuduh Israel melakukan “penahanan secara haram dan sewenang-wenangnya terhadap ratusan aktivis.”

Hamas mengecam tindakan Israel itu sebagai “lanun dan pengganas maritim”. “Memintas kapal di perairan antarabangsa adalah jenayah lanun yang tidak boleh diterima,” kata Hamas dalam kenyataan rasmi.

Sebelum ini, Israel telah memberi amaran kepada flotila agar tidak memasuki zon sekatan laut yang diisytiharkan di sekitar Gaza. Kementerian Luar Israel mendakwa flotila “melanggar sekatan laut yang sah” dan tindakan itu adalah untuk “menghalang sokongan kepada Hamas.”

Rakaman video yang dimuat naik oleh pihak berkuasa Israel menunjukkan Cik Thunberg duduk di atas dek kapal, menerima air minuman dan jaket keselamatan daripada tentera Israel selepas ditahan.

Flotila itu pula menuduh tentera Israel “merosakkan komunikasi kapal secara sengaja untuk menghalang isyarat kecemasan” dan mendakwa salah sebuah kapal mereka “dihentam dengan sengaja di laut”.

“Kejayaan misi kemanusiaan adalah kegagalan kepada pengepungan mereka. Sebab itu mereka sanggup menyerang misi awam yang aman,” tulis kumpulan itu di media sosial.

Insiden ini mencetuskan kecaman meluas di peringkat antarabangsa. Presiden Colombia, Encik Gustavo Petro, mengumumkan pengusiran semua diplomat Israel dari negaranya. “Ini adalah jenayah antarabangsa oleh pemerintah Netanyahu (Perdana Menteri Israel Encik Benjamin Netanyahu),” kata Encik Petro sambil mengumumkan pembatalan perjanjian perdagangan bebas dengan Israel.

Menteri Luar Turkey turut mengecam tindakan itu sebagai “satu bentuk keganasan yang melanggar undang-undang antarabangsa dan mengancam nyawa orang awam tidak bersenjata.”

Di Eropah, pemimpin Sepanyol dan Italy yang pada awalnya memberi nasihat keselamatan kepada flotila, turut menyatakan kebimbangan. Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, menegaskan bahawa “aktivis flotila tidak membawa ancaman kepada Israel dan kami berharap pemerintah etanyahu juga tidak menjadi ancaman kepada mereka.”

Di Italy, ratusan penunjuk perasaan di Rome dan Naples keluar ke jalanan bagi menyokong flotila dan mengutuk tindakan Israel. “Kami menuntut pemerintah Italy mengambil pendirian lebih tegas terhadap serangan Israel ke atas misi kemanusiaan,” laung seorang penunjuk perasaan.

Ireland pula menyuarakan kebimbangan tentang nasib tujuh rakyatnya yang berada dalam flotila, termasuk senator Encik Chris Andrews. “Kami mengharapkan undang-undang antarabangsa dihormati dan semua mereka dilayan secara berperikemanusiaan,” kata Timbalan Perdana Menteri Ireland, Encik Simon Harris.

Israel sebelum ini menolak dakwaan bahawa sekatan lautnya menyumbang kepada krisis kebuluran di Gaza. Encik Netanyahu menyifatkan tuduhan PBB bahawa kebuluran berpunca daripada “sekatan sistematik” Israel sebagai “pembohongan terang-terangan”.

Israel berpendapat kawalan ketat terhadap penghantaran bantuan adalah perlu untuk menghalang Hamas mendapatkan bekalan bagi tujuan ketenteraan. Sebaliknya, organisasi bantuan antarabangsa menyatakan sekatan itu telah menghalang kemasukan makanan dan ubat-ubatan, menyebabkan krisis kemanusiaan semakin meruncing.

GSF memulakan pelayaran dari Sepanyol Ogos lalu, dengan hentian di Tunisia di mana mereka mendakwa menjadi sasaran serangan dron. Kapal utama mereka termasuk Alma dan Sirius, membawa ratusan sukarelawan serta beberapa ahli politik antarabangsa. Encik Mandla Mandela, cucu kepada Nelson Mandela, turut menyertai misi itu.

“Kami berlayar tanpa gentar walaupun berdepan ancaman Israel,” kata wakil flotila sebelum berangkat semula menuju Gaza. Namun, usaha itu sekali lagi dipatahkan seperti dua cubaan lain pada Jun dan Julai lalu.

Insiden ini berlaku ketika serangan Israel di Gaza, khususnya di Bandar Gaza semakin sengit. Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, mengeluarkan amaran terakhir kepada penduduk untuk berpindah ke selatan atau dianggap “penyokong pengganas”.

Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa mengingatkan bahawa “di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, orang awam mesti dilindungi sama ada mereka berpindah atau kekal di Gaza.”

Walaupun dikritik hebat, Israel menegaskan tindakan mereka sah dan perlu bagi keselamatan negara. Namun, aktivis dan komuniti antarabangsa menyifatkan insiden ini sebagai gambaran betapa sukarnya misi kemanusiaan menembusi kepungan Gaza.

Seorang aktivis flotila yang tidak mahu dikenali menulis di media sosial: “Kami tidak membawa senjata, hanya makanan dan ubat. Tetapi mereka lebih takut kepada harapan rakyat Gaza daripada peluru.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg