JAKARTA: Jakarta dilanda kesedihan dan kemarahan apabila keluarga Allahyarham Affan Kurniawan, seorang pekerja penghantaran berumur 21 tahun, meratapi kematiannya selepas dirempuh kenderaan taktikal polis dalam protes huru-hara di Jakarta Pusat.
Dikelilingi saudara-mara dan jiran, ibu Allahyarham Affan, Cik Erlina, berkata:
“Saya mahu orang yang membunuh anak saya dikenakan hukuman paling berat. Beliau baru sahaja selesai menghantar makanan dan sedang dalam perjalanan untuk mengambil penumpang seterusnya.
“Beliau tulang belakang keluarga dan bekerja sangat keras. Beliau telah menyimpan wang untuk membeli tanah dan membina rumah untuk kami.”
Kejadian itu berlaku semasa bantahan besar kedua dalam seminggu di Jakarta, yang dipicu oleh kemarahan orang ramai terhadap elaun besar yang diberikan kepada Anggota Parlimen (AP), lapor The Straits Times (ST).
Menurut Cik Erlina, pada malam 28 Ogos, Allahyarham Affan baru sahaja menghantar makanan apabila beliau terperangkap dalam kekecohan tunjuk perasaan di Pejompongan, Jakarta Pusat.
Sebuah kenderaan paramilitari Brimob meluru melalui kerumunan, melanggar Encik Affan, sebelum memecut pergi.
Tujuh anggota polis telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan untuk menentukan pemandu kenderaan tersebut.
Di Hospital Cipto Mangunkusumo pada 28 Ogos, anggota keluarga Allahyarham Affan menangis ketika Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, tiba dan memohon maaf secara terbuka dan berjanji polis akan bertanggungjawab.
“Saya mengucapkan takziah sedalam-dalamnya kepada Allahyarham Affan dan juga kepada seluruh keluarganya,” katanya.
Allahyarham Affan adalah anak kedua tiga beradik.
Bapanya bekerja sambilan dan keluarga amat bergantung pada pendapatannya untuk menyara hidup mereka.
Jiran-jiran menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang rajin dan bertanggungjawab.
Dalam mesej video pada 29 Ogos, Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, melahirkan ucapan takziah yang mendalam atas kematian Allahyarham Affan.
Beliau mengecam tindakan berlebihan anggota polis dan menggesa siasatan menyeluruh.
“Saya terkejut dan kecewa dengan tindakan berlebihan anggota polis.
“Saya telah mengarahkan agar kejadian malam tadi disiasat secara menyeluruh, dan anggota yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan.
“Sekiranya didapati mereka bertindak di luar peraturan yang berkuat kuasa, tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang,” katanya.
Video di media sosial menunjukkan kenderaan Brimob menderu ke arah penunjuk perasaan yang melarikan diri, tetapi Allahyarham Affan tidak sempat mengelak.
Kenderaan itu melanggarnya, perlahan sebentar, kemudian memecut di atas badannya sebelum melarikan diri.
Penunjuk perasaan marah mengejar dan menuntut keadilan.
Sepanjang minggu, satu siri bantahan berlaku di bandar-bandar Indonesia, mencerminkan rasa tidak puas hati yang semakin meningkat terhadap golongan elit politik.
Ribuan penunjuk perasaan bertembung dengan polis di luar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada 25 Ogos, melempar batu, mercun, dan batang buluh yang tajam.
Polis membalas dengan meriam air dan gas pemedih mata.
Punca kemarahan adalah pakej elaun baru untuk AP yang diumumkan pada 19 Ogos.
AP kini menerima 50 juta rupiah ($3,920) sebulan untuk perumahan; 12 juta rupiah untuk makanan; dan 7 juta rupiah untuk pengangkutan; selain gaji asas 6.5 juta rupiah.
Ia adalah 14 kali lebih tinggi berbanding gaji minimum di Jakarta.
Pada 28 Ogos, kumpulan pekerja mengadakan bantahan di Jakarta dan beberapa bandar lain menuntut penghapusan kenaikan gaji.
Bagi ramai rakyat Indonesia, pakej elaun besar itu adalah titik kemuncak kemarahan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg