Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis Indonesia tempur dengan ratusan bantah gaji anggota Parlimen

Aug 26, 2025 | 2:14 PM
rusuhan, Indonesia, gaji anggota Parlimen
Penunjuk perasaan membantah apa yang mereka sifatkan sebagai “elit rasuah” dalam tampuk pemerintahan dan dasar yang menguntungkan konglomerat dan tentera. - Foto AFP

JAKARTA: Polis Indonesia melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan meriam air untuk menyuraikan ratusan penunjuk perasaan yang cuba menceroboh masuk ke dalam bangunan Parlimen pada 25 Ogos untuk membantah apa yang mereka sifatkan sebagai gaji dan faedah berlebihan buat penggubal undang-undang.

Beberapa penunjuk perasaan yang berpakaian gelap membaling batu dan menyalakan bunga api ke arah polis pencegah rusuhan di ibu kota Jakarta itu.

Sekurang-kurangnya sebuah motosikal dibakar oleh penunjuk perasaan, tetapi pegawai tidak memberikan butiran kerosakan atau maklumat mengenai sebarang kemalangan jiwa atau tangkapan.

Penunjuk perasaan berarak melalui jalan di sekitar bangunan Parlimen, menggesa agar gaji anggota parlimen (AP) dipotong, menurut kenyataan akhbar oleh pertubuhan Gejayan Memanggil, salah sebuah kumpulan yang dibentuk oleh pelajar di wilayah Yogyakarta untuk menganjurkan bantahan tersebut.

Pada Ogos, media tempatan melaporkan AP dibayar gaji sehingga 100 juta rupiah ($7,895) sebulan, termasuk elaun perumahan yang tinggi.

Walaupun Indonesia adalah ekonomi terbesar di Asia Tenggara, namun imbuhan itu jauh melebihi pendapatan purata 3.1 juta rupiah di negara itu.

Penunjuk perasaan juga membantah apa yang mereka sifatkan sebagai “elit rasuah” dalam pemerintah dan dasar yang lebih menguntungkan konglomerat dan tentera, kata kenyataan akhbar itu.

Kenyataan itu jelas merujuk kepada peranan tentera yang semakin meningkat dalam kehidupan awam di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, seorang bekas jeneral.

Ada yang dilihat dalam rakaman televisyen membawa bendera daripada siri anime Jepun ‘One Piece’, yang telah menjadi simbol bantahan terhadap dasar pemerintah di negara itu.

Jurucakap polis Jakarta, Encik Ade Ary Syam Indradi, memberitahu pemberita bahawa 1,250 anggota polis telah dikerah untuk menjaga keselamatan di sekitar bangunan Parlimen.

Speaker dan Timbalan Speaker Parlimen, serta jurucakap Encik Prabowo, tidak segera menjawab pertanyaan bagi mendapatkan komen mereka.

Mengulas mengenai bantahan tersebut, Speaker Parlimen Puan Maharani memberitahu media tempatan bahawa beliau akan cuba menampung semua aspirasi daripada orang ramai. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg