Indonesia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia potong elaun perumahan AP mulai Nov

Aug 28, 2025 | 2:39 PM
Kesemua 580 Anggota Parlimen di Indonesia telah menerima elaun perumahan 50 juta rupiah ($3,940) sebulan sejak Oktober 2024 tetapi elaun itu akan dihentikan pada November 2025.
Kesemua 580 Anggota Parlimen di Indonesia telah menerima elaun perumahan 50 juta rupiah ($3,940) sebulan sejak Oktober 2024 tetapi elaun itu akan dihentikan pada November 2025. - Foto AFP

JAKARTA: Di bawah tekanan orang ramai, Dewan Rakyat Indonesia menjelaskan bahawa penggubal undang-undang negara itu hanya akan menerima elaun perumahan bulanan 50 juta rupiah ($3,940) hanya sehingga Oktober ini.

Namun golongan pengkritik menggesa ketelusan berhubung dasar itu sambil menegaskan bahawa peruntukan itu masih membazir wang rakyat.

Kemarahan orang ramai semakin memuncak selepas satu laporan mendedahkan bahawa kesemua 580 Anggota Parlimen (AP) telah menerima elaun perumahan 50 juta rupiah sebulan sejak Oktober 2024 – sekitar 10 kali gaji minimum di Jakarta, dan 20 kali ganda gaji minimum di wilayah yang lebih miskin.

Elaun itu di samping gaji pokok dan faedah lain yang boleh mencecah 230 juta rupiah sebulan.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat, Encik Sufmi Dasco Ahmad, berkata pada 26 Ogos bahawa elaun perumahan yang baru diperkenal itu bukanlah faedah bulanan tetap dan setiap AP menerimanya hanya pada tahun pertama mereka memegang jawatan.

Elaun tersebut adalah untuk menampung kos menyewa rumah bagi tempoh lima tahun penuh perkhidmatan mereka.

“Elaun itu diberikan setiap bulan dari Oktober 2024 hingga Oktober tahun ini (2025), berjumlah 600 juta rupiah. Ini buat mereka menyewa rumah selama lima tahun.

“Mulai November ini, tiada lagi elaun perumahan bulanan,” kata Encik Dasco, seorang ahli politik daripada Parti Gerindra pimpinan Presiden Prabowo Subianto.

Elaun perumahan itu, yang diperkenalkan pada September 2024 melalui surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung Parlimen.

Ia menggantikan akses kepada kediaman rasmi di kompleks perumahan Kalibata di Jakarta Selatan, yang telah diserahkan semula kepada pemerintah kerana banyak rumah tidak lagi layak didiami.

“Tidak ada dana yang mencukupi untuk dibelanjakan sekali gus bagi elaun perumahan.

“Itulah sebabnya bayaran itu diagihkan dalam tempoh 12 bulan, tetapi tujuannya adalah untuk membayar perumahan untuk keseluruhan lima tahun,” jelas Encik Dasco.

Penjelasan Encik Dasco itu dibuat sehari selepas ratusan orang mengadakan bantahan di luar kompleks bangunan Parlimen di Jakarta Pusat pada 25 Ogos.

Mereka mengecam elaun itu sebagai “berlebihan” dan “tidak sensitif”, sedang ramai rakyat Indonesia terus bergelut dengan kos sara hidup yang melambung tinggi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg