TEL AVIV: Penunjuk perasaan di Israel mendesak pada 17 Ogos agar perang Gaza dihentikan dan tebusan dibebaskan, desakan yang dikecam oleh Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu dan sekutunya.
Bantahan itu berlaku selepas Kabinet Keselamatan Israel meluluskan rancangan menakluki Bandar Gaza, susulan 22 bulan peperangan yang mencetuskan keadaan kemanusiaan teruk di Palestin.
Perang itu bermula pada Oktober 2023, yang mengakibatkan 251 orang Israel ditawan sebagai tebusan.
Seramai 49 tawanan masih berada di Gaza, termasuk 27 orang yang menurut tentera Israel telah mati.
“Ini mungkin detik terakhir kita untuk menyelamatkan tebusan-tebusan ini,” kata seorang penunjuk perasaan, Encik Ofir Penso, ketika ribuan orang berkumpul di pusat bandar Tel Aviv menjelang malam bantahan diadakan.
Menurut rakaman media tempatan, penunjuk perasaan menyekat jalan raya di bandar itu, termasuk lebuh raya yang menghubungkan Tel Aviv dan Baitulmakdis serta membakar tayar.
Polis Israel mengatakan lebih 30 penunjuk perasaan ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam.
Penganjur bantahan dan kumpulan utama yang mewakili keluarga tebusan menyeru agar mengadakan mogok umum pada 17 Ogos.
“Saya rasa sudah tiba masanya untuk menghentikan perang dan membebaskan semua tebusan,” kata seorang pemandu pelancong, Encik Doron Wilfand, di sebuah perhimpunan di Baitulmakdis.
Encik Netanyahu mengkritik penunjuk perasaan, mengatakan bahawa tindakan mereka “bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Hamas dan melambatkan pembebasan tebusan, malah memastikan bahawa kekejaman 7 Oktober akan berulang”.
Kumpulan Forum Tebusan dan Keluarga Yang Hilang berkata dalam kenyataan bahawa para penunjuk perasaan akan “menutup negara hari ini dengan seruan tegas: Bawa pulang 50 tebusan, hentikan perang”.
Jumlah tersebut termasuk seorang tentera yang terbunuh dalam perang 2014, yang mayatnya masih bersama Hamas.
Video-video terkini yang dikeluarkan oleh Hamas dan sekutunya, Jihad Islam, menunjukkan dua tebusan yang lemah dan kurus, sekali gus meningkatkan kebimbangan terhadap nasib para tebusan.
“Jika kita tidak membawa mereka pulang sekarang – kita akan kehilangan mereka untuk selamanya,” kata forum tersebut.
Mesir baru-baru ini menyatakan bahawa pihak perantara sedang memimpin usaha gencatan senjata 60 hari yang termasuk pembebasan tebusan, selepas perbincangan di Qatar berakhir tanpa hasil.
Beberapa anggota pemerintah Israel yang menentang sebarang perjanjian dengan Hamas mengecam bantahan tersebut.
Menteri Kewangan dari sayap kanan, Encik Bezalel Smotrich, mengecam “kempen yang merugikan dan menguntungkan Hamas”.
Pemimpin pembangkang, Encik Benny Gantz, mengecam pemerintah “yang menyerang keluarga-keluarga tebusan” sambil “memikul tanggungjawab atas penahanan anak-anak mereka oleh Hamas selama hampir dua tahun”.
Rancangan Israel untuk mengembangkan perang ke Bandar Gaza dan kem pelarian yang berdekatan telah mencetuskan kecaman antarabangsa dan bantahan dalam negeri.
Pakar yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran mengenai kemungkinan kebuluran meluas berlaku di Gaza, apabila Israel “mengurangkan jumlah bantuan kemanusiaan yang dibenarkan masuk secara drastik”.
Ejen pertahanan awam Gaza berkata tembakan Israel pada 17 Ogos telah meragut nyawa sekurang-kurangnya tujuh rakyat Palestin yang sedang menunggu untuk mengambil bantuan makanan.
Serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023 mengorbankan 1,219 nyawa, sementara serangan balas Israel telah meragut lebih 61,897 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya orang awam, berdasar angka rasmi dari Gaza. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg