Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Benarkan pertubuhan kemanusiaan jalankan tugas di Gaza

Bantuan mesti disalur oleh badan yang komited laksana agihan secara adil dan selamat, bukan oleh pihak yang terlibat dalam perang
Jun 8, 2025 | 1:59 PM
nuseirat, palestin, hunger, food distribution
Penduduk Palestin berkumpul di pusat agihan makanan di Nuseirat, tengah Jaluran Gaza, pada 4 Jun – selepas Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), mengumumkan penutupan sementara operasi mereka susulan insiden pengagihan bantuan maut yang dikecam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). - Foto AFP

Dihalang daripada mendapat akses kepada makanan, air dan perubatan, rakyat Palestin yang terdesak terkurung di sebalik pagar, menunggu bekalan asas yang telah dinafikan oleh Israel selama hampir 90 hari, untuk meneruskan kehidupan.

Kemudian, keadaan huru-hara tercetus.

Tembakan dilepaskan dan pertumpahan darah berlaku.

Kecederaan dan kehilangan nyawa orang tersayang menambah derita para penduduk selepas berminggu kelaparan dan 19 bulan diserang tanpa sebarang perikemanusiaan.

Agihan baru-baru ini oleh sebuah badan yang disokong Amerika Syarikat, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), mengesahkan bahawa rancangan Amerika-Israel untuk memanipulasi bantuan sebagai alat politik bukan sahaja tidak berkesan, malah membawa maut.

Pada 27 Mei, ketika agihan pertama dilakukan di Rafah, selatan Gaza, puluhan penduduk ditembak sehingga cedera ketika bantuan asas yang sangat tidak mencukupi diagihkan dalam suasana kacau-bilau.

Insiden berdarah itu berulang kembali pada 1 dan 3 Jun, apabila lebih ramai orang terbunuh akibat tembakan di kawasan agihan bantuan GHF di Rafah atau di kawasan berdekatan.

Pada 2 Jun, pasukan perubatan Medecins Sans Frontieres (MSF) – turut dikenali sebagai Doktor Tanpa Sempadan – telah merawat beberapa mangsa yang cedera di Hospital Nasser yang sesak.

Hospital itu telah tiga kali menjadi sasaran serangan dalam minggu-minggu sebelum ini, ketika serangan darat oleh tentera Israel masih berlanjutan. 

Melalui pendekatan yang berbahaya dan tidak teratur ini, bantuan makanan tidak lagi disalurkan ke kawasan yang paling memerlukan, sebaliknya hanya diagihkan di lokasi yang dipilih oleh tentera Israel untuk menghimpunkan orang awam.

Ini bermaksud golongan paling rentan – khususnya warga emas dan individu kurang upaya – hampir tidak berpeluang untuk mendapatkan makanan yang amat mereka perlukan.

Ini sebahagian taktik besar untuk menguatkan naratif sebelah pihak – bahawa bantuan hanya boleh disalurkan jika ada campur tangan ketenteraan.

Justeru, bantuan dijadikan alat untuk memenuhi matlamat pendudukan ketenteraan, bukan untuk kelangsungan hidup para penduduk.

Inisiatif GHF kelihatan sebagai satu helah oleh tentera Israel untuk menunjukkan mereka mematuhi Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa. 

Hakikatnya, bantuan digunakan sebagai alat untuk memaksa pemindahan penduduk, yang dilihat sebagai sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mendorong pembersihan etnik di Jaluran Gaza, serta meneruskan peperangan tanpa had mereka.

Sistem bantuan kemanusiaan biasa masih gagal berfungsi akibat sekatan yang dikenakan penguasa Israel.

Penguasa Israel sebelum ini telah membenarkan sejumlah kecil lori bantuan masuk ke Gaza, tetapi segera menyekatnya selepas lori tersebut melepasi sempadan. 

Langkah itu menambah keperitan lebih dua juta penduduk yang telah dinafikan akses kepada barangan asas seperti makanan, air dan ubat-ubatan selama tiga bulan.

Sejak perang bermula, pasukan perubatan MSF telah merawat pesakit apabila mereka berjaya membawa masuk bekalan ke Gaza.

Pada separuh pertama Mei, pasukan MSF di Bandar Gaza merekodkan peningkatan sebanyak 32 peratus dalam jumlah pesakit yang mengalami masalah kekurangan zat makanan, dan pada ketika ini, seluruh Gaza berisiko dilanda kebuluran, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Jumlah bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza masih tidak mencukupi, dan hanya digunakan sebagai helah untuk menampakkan seolah-olah pengepungan telah berakhir.

Sejak 19 Mei, hanya beberapa ratus lori makanan dibenarkan masuk, dan jumlah itu terlalu kecil berbanding keperluan sebenar. 

Sekatan keseluruhan atau sebahagian terhadap bantuan kemanusiaan telah memburukkan keadaan penduduk Gaza.

Bantuan yang tidak mencukupi akibat kepungan Israel menambah tekanan dan mendorong lebih banyak kejadian rampasan di kalangan penduduk yang terdesak.

Ini akibatnya apabila sebuah masyarakat terus ditolak ke ambang kehancuran dengan serangan berterusan dan penafian hak asasi.

Ini membawa kepada lebih banyak kematian dan kecederaan yang sepatutnya boleh dielakkan, serta kegagalan menyalurkan bantuan dengan cara yang menghormati maruah manusia.

Ditambah dengan arahan pemindahan dan serangan bom yang membunuh orang awam, langkah memanipulasikan bantuan seperti ini mungkin boleh dianggap sebagai satu jenayah kemanusiaan.

Hanya gencatan senjata berkekalan serta pembukaan sempadan Gaza yang mampu meredakan bencana buatan manusia ini.

Bantuan kemanusiaan mesti disalurkan oleh pertubuhan kemanusiaan yang mempunyai kelayakan dan komitmen untuk melaksanakan agihan secara adil, selamat dan berkesan – bukan oleh pihak yang terlibat dalam peperangan.

Penulis ialah Setiausaha Agung pertubuhan bantuan perubatan kemanusiaan Medecins Sans Frontieres (MSF) / Doctors Without Borders. Artikel ini pertama kali diterbitkan di The Straits Times.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg