JALURAN GAZA: Bekalan makanan ke Gaza telah jatuh mendadak dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas pihak berkuasa Israel memperkenalkan peraturan kastam baru berkaitan bantuan kemanusiaan.
Ini sekali gus mengurangkan penghantaran bekalan oleh golongan peniaga dan mereka yang terlibat dalam mendapatkan barangan ke wilayah yang masih dilanda perang itu.
Peraturan baru itu terpakai kepada konvoi trak yang disewa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi mengambil bantuan dari Jordan ke Gaza melalui Israel.
Di bawah peraturan itu, individu daripada pertubuhan yang menghantar bantuan mesti melengkapkan borang dengan butiran pasport dan perlu memikul liabiliti bagi sebarang maklumat palsu yang diberikan mengenai penghantaran bantuan berkenaan.
Individu yang ditemu bual Reuters menyatakan agensi bantuan mempertikaikan keperluan itu, yang diumumkan pertengahan Ogos, kerana mereka bimbang menandatangani borang yang boleh mendedahkan mereka kepada masalah undang-undang jika bantuan jatuh ke tangan Hamas atau musuh Israel yang lain.
Akibatnya, penghantaran tidak lagi melalui laluan Jordan – saluran utama dalam bekalan Gaza – selama dua minggu.
Pertikaian itu tidak menjejas penghantaran melalui Cyprus dan Mesir, kata sumber itu.
Pihak berkuasa Israel juga telah mengehadkan penghantaran makanan komersial ke Gaza di tengah-tengah kebimbangan Hamas bakal mendapat manfaat daripada perdagangan itu.
Data PBB dan Israel menunjukkan bahawa pada September, penghantaran makanan dan bantuan merosot ke paras terendah dalam tempoh tujuh bulan.
Unit kemanusiaan tentera Israel, Cogat, yang menyelia penghantaran bantuan dan komersial ke Gaza, mengesahkan bahawa tiada konvoi PBB masuk dari Jordan ke Gaza sejak 19 September, tetapi seorang jurucakap berkata Israel tidak menyekat penghantaran. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg