Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua PBB kutuk ‘hukuman kolektif’ Israel terhadap penduduk Gaza

Sep 17, 2024 | 11:55 AM
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, mengecam tindakan Israel dalam menangani perangnya terhadap Hamas di wilayah Palestin yang kini hampir masuk tahun kedua.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, mengecam tindakan Israel dalam menangani perangnya terhadap Hamas di wilayah Palestin yang kini hampir masuk tahun kedua. - Foto AFP

NEW YORK: Tiada apa yang mewajarkan hukuman kolektif Israel terhadap penduduk Gaza kerana mereka menanggung penderitaan yang “tidak dapat dibayangkan”, kata Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, pada 16 September.

Encik Guterres mengecam tindakan Israel mengendalikan perangnya di wilayah Palestin yang musnah dan kini hampir masuk tahun kedua ketika PBB bersiap sedia untuk menjadi tuan rumah kepada pemimpin dunia mulai minggu depan.

“Tidak dapat dibayangkan betapa tahap penderitaan di Gaza, tahap kematian dan kemusnahan tidak ada persamaan dalam semua yang saya saksikan sejak menjadi setiausaha agung,” kata beliau yang telah mengetuai organisasi antarabangsa itu sejak 2017.

“Kami semua mengutuk serangan pengganas yang dibuat oleh Hamas, serta penahanan tebusan, itu adalah pelanggaran mutlak undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.

“Tetapi hakikatnya tiada apa yang membenarkan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin, dan itulah yang kita saksikan secara dramatik di Gaza,” tambah Encik Guterres sambil mengecam pembunuhan beramai-ramai dan kelaparan yang melanda rakyat Palestin di Gaza.

Perang meletus pada 7 Oktober apabila kumpulan Hamas menyerang selatan Israel, membunuh lebih 1,400 dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas, sebagai tindak balas, Israel berikrar untuk memusnahkan Hamas yang berkuasa di Gaza sejak 2007, dan serangan darat dan udaranya telah meragut 41,226 nyawa rakyat Palestin.

Lebih 200 pekerja kemanusiaan, kebanyakannya kakitangan PBB, juga telah terbunuh.

“Kebertanggungjawaban harus menjadi satu kemestian” untuk semua kematian orang awam, kata Encik Guterres, yang mengakui “pelanggaran serius” telah dilakukan oleh kedua-dua Israel dan Hamas.

Justeru, pemimpin PBB itu telah berulang kali menggesa gencatan senjata segera tetapi rundingan yang diperantarakan oleh Amerika Syarikat, Mesir dan Qatar masih menemui jalan buntu, dengan Israel dan Hamas menuduh satu sama lain atas kegagalan mencapai perjanjian.

Dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, enggan membalas panggilannya sejak Oktober, Encik Guterres tidak mengharapkan kejayaan semasa Perhimpunan Agung mulai 22 September.

“Apa yang penting bukanlah soal panggilan telefon atau tiada panggilan telefon, mesyuarat atau tiada mesyuarat – yang penting ialah apa yang berlaku di lapangan. Apa yang penting ialah penderitaan rakyat.

“Dengan merampas tanah, dengan pengusiran, dengan penempatan baru dibina... semuanya secara haram... dan menurut pendapat Mahkamah Keadilan Antarabangsa, ia adalah menyalahi undang-undang,” ujar beliau.

Menjawab tuduhan PBB tidak berdaya untuk mengekang konflik di Gaza, Ukraine dan tempat lain, beliau menyalahkan negara anggota – terutamanya Majlis Keselamatan dan 15 anggotanya – atas keputusan yang diambil atau tidak diambil.

“Kami telah cuba menyelesaikan peperangan, masalahnya ialah kami tidak mempunyai kuasa, kadang-kadang kami tidak mempunyai sumber untuk melakukannya,” kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg