Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Liga Arab desak Hamas letak senjata, serah kawalan Gaza

Tuntutan dikata mampu buka jalan kepada penubuhan negara Palestin yang merdeka
Aug 1, 2025 | 10:29 AM
bantahan sokong palestin, paris, gaza
Para penunjuk perasaan berhimpun di ibu negara Perancis, Paris, pada 31 Julai sebagai tanda perpaduan terhadap rakyat Gaza dan perjuangan Palestin. Perhimpunan itu dianjurkan oleh kumpulan, Urgence Palestine bagi menyatakan sokongan kepada armada kebebasan (Freedom Flotilla) dan mengecam operasi ketenteraan Israel di Jaluran Gaza. - Foto EPA-EFE

NEW YORK: Buat kali pertama, kesemua 22 negara anggota Liga Arab secara sebulat suara bersetuju menyeru Hamas supaya meletakkan senjata, membebaskan semua tebusan, dan menamatkan pemerintahan mereka di Gaza – syarat yang dikatakan mampu membuka jalan kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

Deklarasi mengejut itu diumumkan pada 26 Julai dalam satu persidangan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York mengenai penyelesaian dua negara bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan selama puluhan tahun antara Israel dengan Palestin.

Dalam kenyataan bersama itu, Liga Arab turut mengecam serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel yang telah mencetuskan perang besar-besaran di Gaza.

“Dalam konteks menamatkan perang di Gaza, Hamas mesti mengakhiri pemerintahan mereka di wilayah itu dan menyerahkan senjata kepada Penguasa Palestin (PA), dengan penglibatan dan sokongan antarabangsa, sejajar dengan matlamat penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan merdeka,” kata deklarasi itu.

Kenyataan bersama itu turut ditandatangani oleh 27 negara anggota Kesatuan Eropah serta 17 negara lain, menjadikan jumlah keseluruhan penandatangan kepada lebih 60 negara.

Antara cadangan utama dalam deklarasi berkenaan ialah penempatan “misi penstabilan antarabangsa sementara” di Gaza selepas tamatnya perang, yang akan dijemput oleh PA dan diletakkan di bawah naungan PBB.

Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha menyokong peralihan kuasa di Gaza serta memperkukuh keupayaan PA untuk mentadbir wilayah tersebut.

Dalam satu kenyataan pada 31 Julai, kumpulan Hamas menyatakan penghargaan terhadap “segala usaha antarabangsa yang menyokong hak rakyat Palestin,” namun menegaskan bahawa isu dalaman Palestin “adalah urusan rakyatnya sendiri”.

“Kami menyambut baik sokongan antarabangsa terhadap hak sah rakyat Palestin, termasuk penubuhan negara merdeka,” kata Hamas, namun tidak menyentuh secara langsung tentang seruan untuk meletakkan senjata atau menyerahkan kuasa di Gaza.

Sebaliknya, Hamas mengulangi gesaan agar Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) menjalankan reformasi dan menyeru pilihan raya Presiden dan Parlimen diadakan tanpa sebarang prasyarat.

Persidangan yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan bersama oleh Perancis dan Arab Saudi, dan mendapat sokongan daripada 125 negara anggota PBB.

Pelbagai ucapan disampaikan yang menyokong penyelesaian dua negara dan menggesa Israel agar komited terhadapnya.

Presiden Perancis Emmanuel Macron turut mengumumkan pada 24 Julai bahawa negaranya akan mengiktiraf kenegaraan Palestin pada September.

Britain kemudiannya menyatakan hasrat sama sekiranya tiada persetujuan gencatan senjata dicapai menjelang bulan tersebut.

Australia, Canada, Malta, Portugal, Finland dan New Zealand turut memberi isyarat untuk mengikut langkah tersebut.

“Sebarang usaha mengembalikan tumpuan antarabangsa terhadap penyelesaian dua negara adalah wajar dipuji,” kata Pengarah Israel-Palestin di Crisis Group, Encik Max Rodenbeck.

“Namun, sokongan secara lisan mesti disusuli langkah praktikal, kerana peluang sebenar untuk mewujudkan negara Palestin semakin mengecil setiap tahun,” tambah beliau.

Di Gaza, imej menyayat hati kanak-kanak dan bayi yang kebuluran terus mencetuskan kemarahan antarabangsa terhadap Israel yang didakwa menyekat bantuan kemanusiaan dalam skala besar.

Israel dan Amerika Syarikat menolak persidangan itu dan tidak menandatangani deklarasi.

Menurut Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, persidangan itu dianggap sebagai langkah yang “terlalu awal” dan tidak mengambil kira realiti semasa, termasuk tebusan Israel yang masih ditahan serta kewujudan kumpulan militan di Gaza dan Tebing Barat.

“Tiada pengiktirafan simbolik atau resolusi PBB yang dapat mengubah fakta asas, ada pihak yang melawan keganasan dan ekstremisme, dan ada pula yang menutup mata terhadapnya,” tegas Encik Danon.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mendakwa seruan mengiktiraf negara Palestin hanya memberi ganjaran kepada Hamas atas serangan mereka dan menyukarkan usaha ke arah gencatan senjata serta membahayakan keselamatan Israel.

Hamas dalam kenyataan balas menyifatkan seruan menjalin hubungan dengan Israel sebagai satu bentuk pengkhianatan.

“Cakap-cakap tentang menyatukan entiti Zionis ke dalam rantau ini adalah satu ganjaran kepada musuh atas jenayah yang mereka lakukan,” kata kenyataan itu.

Menurut beberapa penganalisis, salah satu matlamat serangan 7 Oktober dipercayai adalah untuk menggagalkan rundingan pemulihan diplomatik antara Arab Saudi dengan Israel.

Iran, saingan serantau utama Arab Saudi dan penyokong utama Hamas, kekal menentang sebarang usaha untuk menjalinkan hubungan dengan Israel.

Walaupun tekanan antarabangsa semakin memuncak, Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, mengakui bahawa perjalanan ke arah penubuhan negara Palestin masih panjang.

“Walaupun dunia telah lama menyokong penyelesaian dua negara, laluan ke arah itu kini lebih mencabar berbanding sebelum ini,” katanya dalam ucapan penutup persidangan.

Dokumen yang dikenali sebagai, Deklarasi New York, kini diedarkan kepada negara anggota PBB.

Ia mengandungi pelan berperingkat ke arah penamatan konflik selama hampir 80 tahun dan penubuhan negara Palestin.

Negara anggota diberi masa sehingga September untuk menyokong deklarasi itu sebelum Perhimpunan Agung PBB berlangsung. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg