JAKARTA: Kementerian Luar Negara (KLN) Indonesia memastikan pelan kerjasama antara Indonesia dengan China akan dilaksanakan mengikut peraturan yang telah ditetapkan.
Ia turut menegaskan kerjasama itu tidak bermaksud pengiktirafan terhadap tuntutan ‘9-Dash Line’ atau Sembilan Garis Putus China.
Dalam kenyataan media pada 11 November, KLN menyatakan kerjasama itu selaras dengan semangat Deklarasi Tatalaku (DoC) di Laut China Selatan, yang dipersetujui oleh negara Asean dan China pada 2022.
“Kerjasama ini diharapkan menjadi contoh usaha untuk mengekalkan keamanan dan persahabatan di rantau ini,” ujar KLN dalam kenyataan tersebut.
Menurutnya, hubungan baik antara kedua-dua negara dapat menjadi pemangkin kepada kestabilan rantau itu.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden Prabowo Subianto, mengadakan lawatan kerja ke China dari 8 hingga 10 November.
Dalam lawatan tersebut, Encik Prabowo bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping, serta mencapai beberapa persetujuan penting dalam memperkukuh kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, khususnya sektor maritim.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan di Beijing pada 9 November, Indonesia dan China bersetuju mengembangkan kerjasama dalam bidang maritim, terutama dalam ekonomi perikanan dan pemuliharaan laut yang berasaskan prinsip saling menghormati dan kesetaraan.
KLN menekankan segala bentuk kerjasama itu akan dijalankan berdasarkan perundangan domestik dan perjanjian antarabangsa yang telah dimuktamadkan.
“Kerjasama ini, tentunya, mesti berlandaskan undang-undang yang berkaitan, termasuk Konvensyen PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) bagi Undang-Undang Laut 1982 (Unclos), serta perjanjian dua hala yang menentukan status undang-undang sempadan maritim. Ini termasuk peraturan perancangan maritim, pemuliharaan perikanan, dan pelbagai ketetapan lain,” jelas KLN.
Terdahulu pada lewat Oktober, Indonesia menegaskan akan mempertahankan kedaulatannya dalam isu Laut China Selatan, susulan sebuah kapal pengawal pantai China mengganggu tinjauan firma tenaga negara itu.
Indonesia berkata mereka sudah mengusir kapal pengawal pantai China sebanyak tiga kali dalam tempoh beberapa hari setelah kehadiran kapal itu dikesan di perairan sekitar lebih 1,500 kilometer dari China, yang mengganggu sebuah kapal syarikat Pertamina.
Selain itu, KLN turut mengulangi bahawa kerjasama itu tidak memberi kesan terhadap tuntutan China yang melibatkan “Sembilan Garis Putus” kerana Indonesia kekal dengan pendirian bahawa tuntutan tersebut tidak mempunyai asas undang-undang antarabangsa dan tidak sesuai dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Undang-Undang Laut (Unclos) 1982.
“Kerjasama ini sama sekali tidak menjejaskan kedaulatan, hak kedaulatan, atau bidang kuasa Indonesia di Laut Natuna Utara,” tambah KLN.
Encik Prabowo yang mengakhiri lawatan rasminya ke China pada 10 Oktober turut menyeru agar negara dunia mengutamakan kerjasama berbanding konfrontasi.
Seruan itu dilontarkan dalam satu forum perniagaan di Beijing, yang menyaksikan Indonesia dan China menandatangani beberapa perjanjian bernilai AS10 bilion ($13.29 bilion).
“Kita perlu memberi contoh bahawa di era moden ini, kerjasama, bukan konfrontasi adalah jalan menuju perdamaian dan kemakmuran,” kata Encik Prabowo dalam forum tersebut.
Beliau mencerminkan pendirian diplomatik Indonesia yang terus berusaha mengekalkan keseimbangan dalam hubungan dengan negara besar seperti China dan Amerika Syarikat, di tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
Encik Prabowo dan Presiden Xi sepakat mempererat hubungan dua hala dengan menambah keselamatan sebagai tonggak kelima kerjasama, selain politik, ekonomi, maritim, dan pertukaran rakyat.
Mereka juga bersetuju mengadakan pertemuan pertama antara menteri luar negeri dan pertahanan kedua-dua negara pada 2025.
“Indonesia amat jelas dalam hal ini. Kami sentiasa bersikap tidak berpihak dan sentiasa menghormati semua kuasa besar di dunia,” ujar Encik Prabowo.
Ini menggambarkan dasar luar negeri Indonesia yang tetap berpegang kepada prinsip ‘bukan-blok’ dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar, meskipun dalam situasi ketegangan antarabangsa yang kian memuncak.
Menyentuh bidang ekonomi, Encik Prabowo berkata:
“Hubungan kami semakin kukuh. China adalah rakan ekonomi strategik Indonesia, pelabur utama, dan kami sangat berterima kasih atas sokongan mereka.”
China turut memainkan peranan penting dalam pelaburan di Indonesia, termasuk pembinaan laluan kereta api berkelajuan tinggi pertama yang menghubungkan Jakarta dan Bandung.
Encik Prabowo, yang kini sedang dalam perjalanan ke Amerika Syarikat, Peru, Brazil dan beberapa negara lain, dijangka akan terus mengutamakan kerjasama multilateral yang membina, terutama dalam rangka kerja kumpulan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) dan Kumpulan 20 (G20).
Pakar dasar luar, Encik Teuku Rezasyah, berkata:
“Prabowo tahu bagaimana untuk meletakkan Indonesia di antara Xi dengan Trump, berharap agar Indonesia dapat menjadi jambatan yang baik bagi kedua-dua negara besar ini.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg