Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Banyak makanan masuk Gaza untuk dijual, bukan bantuan percuma

Oct 29, 2025 | 11:31 AM
Palestine, jaluran gaza, khan younis, gencatan senjata, bantuan makanan
Penduduk Palestin membeli-belah di sebuah pasar tempatan di pusat Kem Pelarian Khan Younis, selatan Jaluran Gaza, pada 24 Oktober 2025, selepas pasar dan kedai mula dibuka semula susulan gencatan senjata bermula pada 10 Oktober. - Foto EPA

BANDAR GAZA: Ratusan trak kini memasuki Jaluran Gaza setiap hari sejak gencatan senjata bermula dua minggu lalu pada 10 Oktober, membawa bantuan kemanusiaan daripada pertubuhan antarabangsa serta sumbangan kerajaan luar ke wilayah yang masih bergelut dengan krisis.

Namun pekerja bantuan memberi amaran sebahagian besar muatan adalah barangan komersial untuk dijual di pasaran, bukan bantuan percuma kepada penduduk yang masih berdepan krisis kelaparan.

Jurucakap Jawatankuasa Bantuan Pertanian Palestin, Encik Bahaa Zaqout, menegaskan majoriti rakyat Gaza tidak mampu membeli makanan yang berada di pasaran kerana harga yang terlalu tinggi.

“Kebanyakan trak membawa barangan komersial dan selepas dua tahun perang, majoriti penduduk Gaza tidak mampu membeli barangan tersebut.

“Barangan yang masuk dijual pada harga yang sangat mahal,” katanya.

Bagi ramai penduduk, makanan asas seperti ayam masih dianggap barangan mewah.

Encik Rami Abu Moleg, 45 tahun, bekas pemandu teksi, berkata keluarganya hanya dapat merasai ayam untuk kali pertama dalam tempoh lapan bulan, dan itu pun hasil bantuan abang iparnya.

“Ini masih mahal bagi saya, tetapi sekurang-kurangnya ada sedikit penurunan,” katanya sambil mengeluh harga pasaran di Gaza sebenarnya lebih menguntungkan peniaga daripada rakyat biasa.

“Semuanya untuk peniaga. Itu bukan bantuan,” ujarnya lagi.

Beliau menjelaskan harga ayam sebelum ini mencecah sekitar AS$33 ($42.70) sekilogram namun kini turun kepada AS$12, satu perubahan yang sukar ditanggung terutama bagi keluarga yang hilang punca pendapatan, lapor The New York Times.

Konflik di Gaza bermula selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 mengorbankan sekitar 1,200 orang di Israel dan menculik 250 orang.

Tindak balas ketenteraan Israel kemudiannya meragut lebih 68,000 nyawa rakyat Palestin menurut pihak kesihatan tempatan, memusnahkan seluruh prasarana asas kehidupan.

Ekonomi terhenti, sekolah ditutup, grid elektrik ranap sepenuhnya dan hospital beroperasi dalam keadaan yang amat kritikal.

Penduduk kini hidup dalam keadaan kekurangan air bersih, makanan dan keperluan asas lain.

Walaupun gencatan senjata membawa sedikit kelegaan, banyak keluarga masih tidak mampu menyediakan makanan seimbang setiap hari.

Kadar kekurangan zat makanan meningkat, terutama dalam kalangan kanak-kanak.

Encik Zaqout melahirkan rasa kecewa apabila Israel lebih banyak meluluskan kemasukan makanan ringan berbanding keperluan nutrisi asas, yang dapat menyelamatkan nyawa.

“Mereka membenarkan biskut, coklat dan soda masuk ketika ramai rakyat lapar.

“Apa yang kami perlukan ialah barang yang menyelamatkan nyawa,” ujarnya.

Perkara itu turut disuarakan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa.

Mereka berpandangan kebangkitan semula kegiatan komersial memang penting untuk memulihkan ekonomi, tetapi bukan sehingga menjejas jumlah bantuan yang sepatutnya menjadi keutamaan ketika ini.

“Cabaran utama sekarang ialah barangan yang masuk tidak memenuhi keperluan penduduk dan apa yang diperlukan pula tidak mampu dibeli,” kata seorang jurucakap Majlis Pelarian Norway.

Perjanjian gencatan senjata menetapkan sehingga 600 trak dibenarkan masuk setiap hari untuk membawa barangan bantuan serta muatan komersial.

Namun data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan trak yang benar-benar membawa bantuan tidak pernah melepasi 200 trak sehari, sejak gencatan senjata bermula.

Walaupun terdapat hari-hari tertentu jumlah keseluruhan trak yang masuk melebihi 600, ketiadaan pecahan data yang terperinci menjadikan rakyat sukar memahami gambaran sebenar tentang jumlah bantuan yang benar-benar sampai kepada mereka.

Unit Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan Tentera Israel (Cogat), yang mengawal pintu masuk bantuan, hanya mengeluarkan kenyataan bahawa ratusan trak makanan, ubat-ubatan, bahan api dan keperluan perlindungan masuk setiap hari, tanpa perincian penuh.

Kekurangan air minuman selamat kekal sebagai antara isu kemanusiaan paling mendesak di Gaza.

Bantuan jangka pendek seperti tangki air, baldi dan bekas penyimpanan air telah dibawa masuk, namun keperluan tersebut hanya mampu menyelamat keadaan buat sementara waktu.

Sistem bekalan air dan kumbahan yang rosak teruk memerlukan alat ganti khusus, paip baru, penjana elektrik serta bahan kimia rawatan air bagi memastikan akses bekalan air bersih dapat dipulihkan sepenuhnya.

Namun Israel masih enggan membenarkan peralatan berkenaan masuk dengan alasan keselamatan.

Menurut pekerja bantuan, selagi sistem air tidak diperbaik, risiko penyakit bawaan air akan meningkat dan usaha pemulihan kesihatan tidak akan dapat dilaksanakan.

Organisasi bantuan antarabangsa juga berdepan peraturan pendaftaran baru Israel yang menghendaki mereka menyerahkan maklumat pekerja Gaza.

Mereka bimbang langkah itu boleh membahayakan keselamatan kakitangan tempatan.

Dalam satu kenyataan bersama, 41 pertubuhan termasuk Doctors Without Borders dan Oxfam mendakwa permohonan mereka membawa masuk bantuan telah ditolak 99 kali sejak gencatan senjata bermula, menyebabkan bantuan bernilai kira-kira AS$50 juta tertahan di luar Gaza.

Walaupun trak memasuki Gaza kian bertambah, hakikatnya ramai penduduk masih pulang ke rumah yang runtuh dalam keadaan perut kosong.

Pemandangan pasar yang kembali aktif belum mencerminkan pemulihan sebenar kerana rakyat tidak mampu untuk membeli apa yang dijual.

Seperti yang diluahkan Encik Abu Moleg, dengan penuh kecewa:

“Jika barang itu hanya untuk dijual, bagaimana kami mahu hidup? Apa gunanya gencatan senjata jika kami masih lapar?” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg