JAKARTA: Kejadian mengerikan berlaku di sebuah rumah di Jakarta Selatan pada 6 Disember di mana mayat empat kanak-kanak berusia antara satu dengan enam tahun, ditemui di atas katil bujang.
Polis telah menahan bapa kanak-kanak itu sebagai suspek utama, dalam kes pembunuhan yang mengerikan itu.
Penemuan menyedihkan itu berlaku di sebuah rumah yang terletak di Jalan Kebagusan Raya di daerah Jagakarsa.
Pihak berkuasa menemui mayat kanak-kanak itu di atas katil dan sekeping nota, kononnya ditulis dalam darah di lantai seramik yang berbunyi, “Puas Bunda, terima kasih untuk semua”, tukil Jakarta Globe.
Suspek, yang dikenal pasti dengan huruf awal ‘P’, ditemui di dalam bilik air dengan kesan tikaman sendiri.
Polis mendakwa bahawa beliau telah cuba membunuh diri dengan pisau berikutan perbuatan mengerikan membunuh anak-anaknya sendiri.
“Suspek yang merupakan bapa kepada mangsa, telah melakukan cubaan membunuh diri dan kini menerima rawatan perubatan di hospital,” kata Ketua Pesuruhjaya Polis, Encik Bintoro, ketua unit siasatan jenayah di Polis Jakarta Selatan.
Masa kejadian tragis itu masih tidak dipastikan, kerana siasatan sedang dijalankan.
Pihak berkuasa dimaklumkan mengenai kejadian tersebut berikutan aduan jiran mengenai bau busuk dari rumah itu.
Ketua Polis Jakarta Selatan, Encik Ade Ary Syam Indradi, mendedahkan bahawa ibu kepada anak-anak itu dimasukkan ke hospital sejak 2 Disember lalu akibat kecederaan yang dialami gara-gara diserang suaminya.
“Beliau adalah mangsa keganasan rumah tangga. Bagaimanapun, apabila suaminya dipanggil untuk disoal siasat, dia mendakwa dia perlu berada di rumah untuk menjaga anak-anak,” kata Encik Ade.
Beberapa saksi menceritakan siri peristiwa yang membimbangkan, menunjukkan bahawa lelaki itu telah menyerang isterinya dengan ganas.
Ia mengakibatkan isterinya muntah darah dan mengalami lebam teruk di muka, ekoran pertengkaran rumah tangga pada 2 Disember. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg