Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Dukun penarik wang dituduh bunuh 12 orang

Sep 27, 2023 | 3:19 PM
DUKUN: Slamet Tohari didakwa membunuh 12 mangsa yang cuba dapatkan khidmatnya bagi menggandakan wang mereka dengan memberi minuman beracun
DUKUN: Slamet Tohari didakwa membunuh 12 mangsa yang cuba dapatkan khidmatnya bagi menggandakan wang mereka dengan memberi minuman beracun - Foto TANGKAP LAYAR RADAR BANYUMAS

BANJARNEGARA: Pendakwa raya pada Selasa mendakwa seorang lelaki atas tuduhan membunuh sekurang-kurangnya 12 individu melalui minuman beracun di Kabupaten Banjarnegara, Jawa Tengah.

Tertuduh, Slamet Tohari, dikenali sebagai dukun pengganda atau penarik wang. Dia dihadapkan di mahkamah susulan siasatan yang bermula pada April. Slamet boleh berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan melibatkan pembunuhan terancang.

Selain tuduhan membunuh, dia juga dituduh menipu, terlibat dalam penipuan wang palsu dan penyelewengan wang daripada mangsanya.

“Dakwaan itu merujuk Perkara 340 Kanun Jenayah, yang berkaitan dengan pembunuhan terancang dan membawa hukuman maksimum mati.

“Tuntutan hukuman yang tepat akan ditentukan kemudian selepas pemeriksaan balas semasa perbicaraan mahkamah,” kata ketua pendakwa raya, Encik Nasruddin, kepada pemberita selepas sesi pembukaan pendengaran kes.

Slamet, 45 tahun, ditemani peguam yang dilantik pemerintah negeri yang memilih untuk tidak mengemukakan pembelaan awal bagi mempercepatkan prosiding.

Mengikut dakwaan, Slamet juga dikenali sebagai Mbah Slamet, didakwa menipu mangsanya dengan meyakinkan mereka bahawa dia memiliki kuasa ghaib untuk melipatgandakan wang.

Dia menggunakan wang kertas palsu untuk menyokong dakwaannya dan apabila berhadapan dengan mangsa yang menuntut wang mereka dikembalikan, dia dikatakan mencampurkan potasium sianida, bahan beracun ke dalam minuman mereka, mengakibatkan mereka meninggal dunia.

Mangsa terkini dikenali sebagai Encik Prasetyo yang berasa curiga dan menghantar mesej WhatsApp kepada anak-anaknya supaya mengunjungi rumah Slamet dengan ditemani polis jika beliau tidak pulang dalam tempoh dua hari.

Sebelum kematiannya, Encik Prasetyo turut berkongsi lokasi beliau berada menerusi aplikasi pesanan ringkas.

Prasetyo dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 27 Mac lalu.Polis yang telah dimaklumkan mengenai kehilangannya kemudian bergegas ke kediaman Slamet untuk mencarinya.

Polis sebaliknya menemui kubur baru – tempat Encik Prasetyo disemadikan berhampiran rumah Slamet.

Dalam dakwaannya, Encik Nasruddin menyatakan pembunuhan berencana tersebut dilakukan kerana mangsa mendesak hasil penggandaan wang yang dijanjikan Slamet tetapi mereka terpaksa berputih mata.

Slamet dikatakan memberi minuman beracun kepada mangsa ketika melakukan ritual menarik wang itu.

Siasatan lanjut menemui 11 lagi mayat yang ditanam di tapak seluas kira-kira 20 meter persegi berhampiran rumah Slamet dan di lokasi berasingan dalam kampung yang sama.

Kes ini merupakan kes kedua pembunuhan bersiri melibatkan minuman beracun yang dibongkar polis dalam tempoh dua bulan.

Pada awal Februari, pihak berkuasa menahan tiga individu yang dituduh membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang di bandar Cianjur dan Bekasi, Jawa Barat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg