Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barat gesa Iran henti ancam serangan terhadap Israel

Presiden Palestin tiba di Moscow untuk lawatan rasmi, dijangka tukar pandangan mengenai situasi di Asia Barat
Aug 13, 2024 | 12:24 PM
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kanan), mengadakan perbincangan mengenai perang di Gaza dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas (kiri), yang sedang melawat Moscow, pada 13 Ogos.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin (kanan), mengadakan perbincangan mengenai perang di Gaza dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas (kiri), yang sedang melawat Moscow, pada 13 Ogos. - Foto AFP

WASHINGTON: Amerika Syarikat dan sekutu Eropah menggesa Iran supaya berfikir dua kali ketika kebimbangan memuncak berlakunya serangan negara itu ke atas Israel yang boleh mencetuskan perang besar-besaran di Timur Tengah.

Ketegangan tampak semakin memuncak di rantau itu, dengan Amerika menyerbu kapal selam peluru berpandu dan kumpulan pengangkut pesawat sebagai tanda sokongan kepada sekutu utamanya, Israel.

Iran dan sekutu Lebanonnya, Hezbollah, berikrar membalas dendam atas pembunuhan pemimpin politik Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran dan komander Hezbollah, Encik Fuad Shukr, di Beirut, baru-baru ini.

Dalam pada itu, usaha antarabangsa untuk menghalang serangan Iran semakin giat, dengan Presiden Amerika, Encik Joe Biden dan pemimpin Perancis, Jerman, Italy dan Britain memberi amaran kepada Teheran dalam satu kenyataan bersama pada 12 Ogos.

“Kami menyeru Iran supaya berhenti mengancam serangan ketenteraan terhadap Israel dan membincangkan akibat serius ke atas keselamatan serantau sekiranya serangan sedemikian berlaku,” kata mereka.

Rumah Putih memberi amaran bahawa “serangan yang ketara” oleh Iran dan proksinya mungkin berlaku minggu ini.

Ketika diplomasi terus bergelora, Canselor Jerman, Encik Olaf Scholz dan Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, turut menyeru Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, supaya mengelak ketegangan daripada memuncak.

Tetapi, Encik Pezeshkian berkata negaranya mempunyai “hak untuk bertindak balas terhadap penceroboh”.

Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berkata negaranya telah mengukuhkan pertahanan dan mengatur “pilihan serangan” kerana “ancaman dari Teheran dan Beirut mungkin menjadi kenyataan”.

Dalam pada itu, Washington dan empat negara Eropah menyokong seruan Encik Biden dan pemimpin Mesir dan Qatar bagi rundingan baru antara Israel dengan Hamas pada 15 Ogos.

Tekanan untuk menamatkan pertempuran di Gaza dan pembebasan tebusan Israel timbul apabila Hamas mendakwa telah membunuh seorang tawanan Israel dan mencederakan dua yang lain.

Hamas telah menggesa pengantara supaya melaksanakan rancangan gencatan senjata yang dibentangkan oleh Encik Biden dan bukannya mengadakan lebih banyak perbincangan.

Tekanan untuk gencatan senjata di Gaza juga meningkat selepas penyelamat pertahanan awam di wilayah kendalian Hamas berkata serangan udara Israel pada 10 Ogos telah membunuh 93 orang di sebuah sekolah yang menempatkan penduduk Palestin.

Sementara itu, Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, mengadakan rundingan pada 13 Ogos dengan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, yang sedang melawat Russia, lapor agensi berita negara TASS.

Duta Besar Palestin ke Russia, Encik Abdel Hafiz Nofal, berkata kedua-dua pemimpin itu dijadual membincangkan peristiwa di Gaza sejak serangan 7 Oktober ke atas Israel.

“Mereka akan membincangkan tentang peranan Russia, apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Beliau menambah: “Kami mempunyai situasi yang sangat sukar dan Russia adalah negara yang rapat dengan kami. Kami perlu berunding antara satu sama lain.”

“Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai situasi di Asia Barat dalam konteks kemerosotan terkini konflik Palestin-Israel dan bencana kemanusiaan yang belum pernah berlaku di Semenanjung Gaza,” ujar kenyataan dari Kremlin. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg