Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengawal Revolusi Iran: Pasukan perkasa dengan jangkauan luas

Aug 26, 2024 | 5:30 AM
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengadakan latihan di perairan Pulau Abu Musa pada Ogos 2023.
Tentera Laut Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) mengadakan latihan di perairan Pulau Abu Musa pada Ogos 2023. - Foto REUTERS

DUBAI: Anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) berkemungkinan memainkan peranan penting jika negara itu membalas dendam atas pembunuhan sekutu rapatnya iaitu pemimpin Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Teheran, yang maut pada 31 Julai.

Berikut adalah beberapa soalan dan jawapan mengenai IRGC, pasukan dominan Iran, yang mempunyai tentera, tentera laut, tentera udara dan sayap perisikan sendiri.

Apakah itu IRGC?

Ia ditubuhkan sejurus selepas Revolusi Islam 1979 untuk melindungi sistem pemerintahan ulama Syiah dan bertindak selaku pengimbang kepada angkatan bersenjata biasa.

IRGC yang terletak di bawah kuasa Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, mempunyai sekitar 125,000 tentera yang kuat dengan unit tentera, tentera laut dan udara.

Tentera Laut IRGC kini merupakan pasukan utama Iran yang menjalankan kawalan operasi ke atas Teluk Parsi.

Ia juga memerintah militia agama Basij, pasukan relawan separuh tentera yang setia kepada pertubuhan ulama yang sering dikerah untuk membanteras protes antipemerintah.

Basij melancarkan serangan “gelombang manusia” terhadap tentera Iraq semasa perang pada 1980-an.

Pada masa aman, mereka menguatkuasakan kod sosial Islam Syiah Iran.

Penganalisis berkata sukarelawan Basij mungkin berjumlah berjuta-juta, dengan lebih satu juta anggota aktif.

Pasukan Quds adalah cabang luar negara IRGC, yang sangat mempengaruhi militia sekutunya di seluruh Timur Tengah, dari Lebanon ke Iraq, Yaman dan Syria.

Anggotanya telah berjuang untuk menyokong Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, dalam perang saudara Syria dan telah menyokong pasukan keselamatan Iraq dalam pertempuran menentang kumpulan ISIS sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pasukan Quds mengendalikan hubungan Iran dengan kumpulan paksi penentang yang terdiri daripada proksi Timur Tengah – Hezbollah di Lebanon; Hamas di Gaza; Houthi Yaman; dan kumpulan bersenjata di Iraq.

Sumber memberitahu Reuters pada Januari bahawa pengawal revolusi Iran dan kumpulan Hezbollah Lebanon dikatakan berada di Yaman.

Mereka membantu mengarahkan dan mengawasi serangan Houthi ke atas perkapalan di Laut Merah sejak serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel, yang mencetuskan perang di Gaza.

Komander tertinggi IRGC, Mejar Jeneral Qassem Soleimani, telah dibunuh oleh Amerika Syarikat dalam serangan dron di Iraq pada 2020 yang menimbulkan kebimbangan konflik besar.

IRGC, yang dicap sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika, berusaha selama bertahun-tahun untuk membentuk Timur Tengah, mengikut kepentingan Iran.

Pada 1982, ia mengasaskan gerakan politik Syiah yang lengkap bersenjata, Hezbollah di Lebanon sebagai wahana untuk mengeksport Revolusi Islam Iran dan memerangi tentera Israel yang telah menyerang Lebanon pada 1982.

Apakah keupayaan ketenteraan IRGC?

IRGC menyelia program peluru berpandu balistik Iran, yang dianggap pakar sebagai yang terbesar di Timur Tengah.

Mereka pernah menggunakan peluru berpandu untuk menyerang militan Islam ahli sunah waljamaah di Syria dan kumpulan penentang Kurdish Iran di utara Iraq.

Amerika, kuasa Eropah dan Arab Saudi menyalahkan Iran atas serangan peluru berpandu dan dron pada 2019 yang melumpuhkan kemudahan pemprosesan minyak terbesar dunia di Arab Saudi, walaupun Iran menafikan sebarang penglibatan.

Mantan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, pernah disebut sebagai berkata bahawa program peluru berpandu Iran sebagai salah satu perkara yang tidak disertakan dalam perjanjian nuklear 2015 dengan kuasa dunia dan menyebutnya sebagai alasan untuk menarik diri daripada perjanjian itu pada 2018.

IRGC mempunyai kelengkapan dan keupayaan tempur konvensional yang luas, seperti yang ditunjukkan dalam penglibatan mereka dalam konflik di Syria dan Iraq.

Apakah kedudukan IRGC dalam sistem politik Iran?

Bekas pegawai Pengawal Revolusi menduduki jawatan penting dalam pemerintahan Iran, daripada pemerintah hinggalah di peringkat Parlimen.

Kebanyakan Kabinet mantan Presiden Ebrahim Raisi adalah mantan pegawai IRGC.

IRGC diberi mandat melindungi nilai revolusioner, justeru mendorongnya untuk bersuara apabila berasa sistem itu terancam.

Bagaimana penglibatan mereka dalam bidang niaga?

Selepas perang 1980-an dengan Iraq, IRGC terlibat dalam pembinaan semula Iran.

Sejak itu, ia mengembangkan kepentingan ekonominya dengan membangunkan rangkaian perniagaan yang luas bernilai berbilion dolar – daripada pembinaan dan telekomunikasi kepada projek minyak dan gas.

Dalam 2010, BBC News menyifatkan IRGC sebagai sebuah empayar dan Reuters pula menyamakan badan pengawal itu sebagai empayar perindustrian yang mempunyai pengaruh politik yang kuat. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg