NEW YORK: Negara-negara Barat sedang menimbangkan cara terbaik dan selamat membawa keluar warga masing-masing dari Lebanon sekiranya perang berskala besar meletus.
Menurut beberapa diplomat, Cyprus dan mungkin Turkey dilihat menawarkan tempat perlindungan kepada puluhan ribu orang.
Cyprus ialah negara anggota Kesatuan Eropah yang paling dekat, kira-kira 164 batu atau 264 kilometer dari Lebanon.
Negara tersebut berada di barisan hadapan dalam usaha bantuan maritim untuk Gaza dan pada masa lalu digunakan bagi menyelaraskan pemindahan dari Lebanon.
“Kami mempunyai permintaan daripada beberapa negara, bukan sahaja dari Kesatuan Eropah malah juga dari negara ketiga yang lain.
“Kami bersedia memainkan peranan ini sekiranya ada keperluan,” kata Presiden Cyprus, Encik Nikos Christodoulides, kepada media di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Cyprus memproses kira-kira 60,000 orang yang melarikan diri daripada perang Hezbollah-Israel pada 2006.
Namun, kemungkinan pencerobohan darat Israel ke selatan Lebanon dan serangan peluru berpandu balistik dan dron balistik Hezbollah boleh menyebabkan pemindahan besar-besaran dari Lebanon dan Israel.
“Kami telah melakukannya pada 2006 dan kami bersedia untuk melakukannya sekali lagi. Ia sukar tetapi menjadi tanggungjawab moral kami untuk membantu,” tambah Encik Christodoulides.
Beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Britain dan Jerman, mempunyai beribu-ribu warga negara yang tinggal atau melancong melalui Lebanon.
Semua negara terlibat telah giat berusaha dalam beberapa bulan kebelakangan ini bagi menyediakan rancangan dengan kerjasama Cyprus sekiranya berlaku perang besar-besaran.
Diplomat berkata negara tanpa prasarana ketenteraan yang diperlukan di rantau itu juga akan memerlukan bantuan bagi memindahkan warga mereka.
Perjalanan mengambil masa sekitar 10 jam dari Beirut ke Cyprus melalui laut dan 40 minit dengan kapal terbang.
Sehingga kini, syarikat penerbangan komersial masih beroperasi dari Beirut, walaupun beberapa syarikat seperti Air France telah menggantung penerbangannya.
Diplomat menyatakan bahawa bukan sahaja warga Lebanon ingkar dan tidak mahu mengendahkan nasihat perjalanan untuk keluar, malah ramai warga Lebanon dan yang mempunyai dwikewarganegaraan, menaiki pesawat ke Beirut.
Rundingan gencatan senjata sementara sedang dijalankan di PBB tetapi Israel mahupun Hezbollah tidak menyatakan kesediaan untuk menghentikan permusuhan.
Britain, yang mempunyai kira-kira 10,000 rakyatnya di Lebanon, berkata ia telah menghantar tenteranya ke Cyprus dan mempunyai kapal tentera laut untuk membantu pemindahan.
Tiada arahan pemindahan diberikan sejauh ini. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg