Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel rancang serangan darat di Lebanon

Konflik kian meruncing dikhuatiri cetus perang lebih meluas di Asia Barat
Sep 26, 2024 | 1:52 PM
Asap tebal menyelubungi selatan Lebanon ekoran serangan udara Israel sejak 23 September yang telah membunuh sekitar 600 orang.
Asap tebal menyelubungi selatan Lebanon ekoran serangan udara Israel sejak 23 September yang telah membunuh sekitar 600 orang. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Ketua tentera Israel mendedahkan bahawa angkatan tenteranya telah bersiap sedia bagi kemungkinan melakukan serangan darat di Lebanon selepas melancarkan bedilan bertubi-tubi dari udara.

Ketua tentera Israel memberitahu angkatannya bahawa serangan udara yang meluas di Lebanon bagi menyasarkan kumpulan Hezbollah, mungkin akan membuka laluan bagi mereka “memasuki kawasan musuh”.

“Anda mendengar deruan jet pejuang di ruang udara, kami telah melancarkan bedilan sepanjang hari.

“Ia adalah langkah untuk menyiapkan bahagian darat untuk kemungkinan anda memasukinya dan untuk terus menjatuhkan martabat Hezbollah,” kata Leftenan Jeneral (Lt-Jen) Herzi Halevi, kepada tentera Israel di kawasan bersempadan Lebanon.

Kenyataan Lt-Jen Halevi adalah petunjuk paling jelas daripada tokoh kanan bahawa pencerobohan darat ke atas Lebanon mungkin akan berlaku.

“Kami terus menyerang dan menghentam mereka di mana-mana,” katanya kepada tentera dari Briged ketujuh yang mengambil bahagian dalam latihan di sempadan utara Israel pada 25 September.

“Matlamatnya sangat jelas – untuk memulangkan penduduk di utara dengan selamat,” tegasnya.

Tidak terdapat sebarang tanda Israel siap memasuki Lebanon dan Pentagon berkata ia tidak kelihatan “sudah hampir nyata”.

Namun kenyataan ketua staf Angkatan Tentera Israel (IDF) telah diterbitkan sejurus selepas IDF memanggil dua briged simpanan untuk “misi operasi di arena utara”.

Sekutu Israel, termasuk Amerika, berkata mereka sedang berusaha mengelak perang habis-habisan di rantau itu.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, telah bertemu Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York untuk membincangkan usaha mencapai gencatan senjata.

Menyusuli pertemuan tersebut, Perancis berkata kedua-dua negara mengusulkan “gencatan senjata sementara” selama 21 hari “bagi membolehkan rundingan dijalankan”.

“Tidak boleh ada perang di Lebanon. Inilah sebabnya kami menggesa Israel supaya menghentikan peningkatan (serangan) di Lebanon dan bagi Hezbollah untuk menghentikan pelancaran peluru berpandu ke Israel,” kata Encik Macron kepada PBB.

Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, berkata negaranya “menghadapi pencabulan terang-terangan ke atas kedaulatan dan hak asasi manusia kita melalui amalan kejam Israel”.

Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araqchi, ketika ditemui pemberita sebelum mesyuarat  Majlis Keselamatan PBB menegaskan Teheran menyokong Hezbollah dan akan kekal dengan pendirian terbabit sekiranya keadaan konflik di Lebanon semakin buruk.

Duta Israel ke PBB, Encik Danny Danon, berkata pihaknya berterima kasih di atas usaha diplomatik untuk mengelak peningkatan tetapi akan mengikut undang-undang antarabangsa bagi mencapai matlamatnya.

Pertempuran rentas sempadan diteruskan pada 25 September dengan Hezbollah berkata ia telah menyasarkan ibu pejabat agensi perisik Mossad Israel dengan peluru berpandu yang dilepaskan ke arah Tel Aviv.

Ia telah dipintas oleh pertahanan udara Israel dan tiada laporan kerosakan atau kemalangan jiwa.

Lebih 600 orang telah dilaporkan terbunuh di seluruh Lebanon apabila Israel mula menyerang Lebanon pada 23 September. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg