Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Kabinet Ismail Sabri demi kesinambungan: Penganalisis

Sep 06, 2021 | 05:30 AM



PENAMAAN Kabinet baru Malaysia amat dinanti-nantikan banyak pihak setelah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan negara itu pada 21 Ogos lalu.



Namun setelah penamaan itu dibuat hampir seminggu kemudian, didapati senarai nama menteri tidak banyak berubah berbanding Kabinet pimpinan perdana menteri sebelumnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.



Boleh dikatakan tiada kejutan atau perubahan mengujakan yang dirasakan khususnya oleh rakyat Malaysia, kata penganalisis.



Namun, langkah Datuk Seri Ismail itu dipercayai demi mengelakkan perebutan kuasa - dalam kalangan parti yang menyokong beliau.



Ia juga disebabkan keperluan mewujudkan kesinambungan dalam respons kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.



Namun ada penganalisis yang menyatakan terlepasnya satu peluang keemasan bagi beliau melakukan pembaharuan penting demi membantu Malaysia mengatasi dua cabaran besar itu, antaranya dengan melantik pemimpin lebih berkeupayaan dan berwibawa.



Ini termasuk dalam kalangan Anggota Parlimen (AP) yang bukan dalam kem beliau dalam Umno mahupun dalam kalangan pembangkang. Hasilnya, hampir 80 peratus menteri lama dalam kerajaan terdahulu dikekalkan.



Saiz Kabinet baru juga hampir sama dengan Kabinet lama dengan tiada sesiapa dinamakan sebagai timbalan perdana menteri (TPM).



Profesor Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah, berkata buat masa ini tiada keperluan adanya TPM memandangkan Datuk Ismail Sabri sendiri tidak memegang sebarang portfolio lain selain Perdana Menteri.



Langkah itu juga mengikut jejak langkah Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak melantik TPM semasa mengumumkan barisan Kabinet beliau. Namun ini tidak bermakna beliau tidak akan melantik TPM nanti.



"Kita sedia maklum ada desakan daripada parti Sabah Sarawak dan juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk melantik TPM daripada nama cadangan mereka.



"Oleh itu, langkah ini dapat mengelakkan sebarang konflik yang mungkin timbul ekoran ketidakpuasan hati terhadap pemilihan TPM.



"Ini boleh dilihat sebagai 'cooling period' bagi pemilihan TPM yang sesuai kelak," katanya kepada Berita Harian (BH).



Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata Datuk Ismail Sabri memilih jalan selamat tanpa mahu merisikokan sokongan kepartian yang akan memastikan posisi perdana menterinya tidak tergugat.



"Namun bagi saya, ini merupakan tragedi kepada Malaysia, ketika negara memerlukan bakat kepemimpinan terbaik merentasi jaluran politik dalam mengemudi rakyat mengharungi cabaran pandemik Covid-19.



"Beliau melebihkan kepentingan politik mengatasi kepentingan nasional tatkala angka jangkitan dan kematian akibat Covid-19 terus mencatat angka tinggi," ujarnya kepada BH.



Selain itu, Profesor Ahmad Fauzi berkata beliau hairan kerana Kabinet baru itu tidak menyertakan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang diakui ramai sebagai berkewibawaan tinggi - mungkin kerana beliau dalam kem berlainan, kem Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Semasa menamakan barisan Kabinetnya baru-baru ini, Datuk Ismail Sabri memberi semacam bayangan akan 'kemampuannya membuat perubahan'.



"Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya," katanya.



Dalam hal ini, Profesor Lee berkata Datuk Ismail Sabri mungkin perlu memilih jemaah menteri itu demi mencapai kompromi yang dicapai dalam kalangan pemimpin dan parti yang terlibat.



Namun lebih mustahak kini adalah tindakan kerajaan menangani Covid-19 dan meningkatkan kesejahteraan ekonomi rakyat.



"Tumpuan mesti diberikan kepada dua cabaran ini yang saling berhubungkait.



"Melihat perincian kes Covid-19 kini, ia menunjukkan kebanyakan kes adalah daripada kontak rapat, dan ini menyatakan dengan jelas bahawa rakyat sebenarnya harus bertanggungjawab dalam melandaikan lekuk Covid-19 ini.



"Kita kecewa tempat kerja merupakan antara penyumbang peningkatan kes, tetapi kes yang disebabkan oleh majlis kenduri kahwin mahupun pengebumian sepatutnya dapat dielakkan," katanya lagi.



Bagi Profesor Ahmad Fauzi, penamaan Kabinet baru benar-benar satu antiklimaks.



"Apakah berbaloi seorang perdana menteri (terdahulu) dijatuhkan hanya untuk melihat 80 peratus ahli Kabinetnya dilantik semula?



"Dalam kes (Datuk Seri) Azmin Ali, Datuk Ismail Sabri tentu sedar kemarahan rakyat jika Azmin dilantik TPM, maka beliau dijadikan menteri kanan walaupun prestasinya di MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) adalah menyedihkan, dengan kegagalannya menangani jangkitan di kilang sehingga menyumbang kepada kenaikan kes Covid-19 secara drastik.



"Justeru, pelantikan Azmin hanya untuk memuaskan permintaan rakan komponen gabungan pemerintah daripada Bersatu," ujarnya kepada BH.



Kini perhatian tertumpu pada menteri baru dalam melaksanakan tanggungjawab mereka sedang ramai rakyat Malaysia terjejas oleh pandemik Covid-19 dan kelembapan ekonomi.



Selain itu, mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen Ke-14 dijadual pada 13 September ini - ditunda dari 6 September - dan berlangsung hingga 12 Oktober.



Sekali lagi, ramai akan ternanti-nanti apakah akan ada usul undi percaya kepada perdana menteri baru semasa tempoh sidang itu.



Ini memandangkan Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya perdana menteri baru perlu melalui undi percaya di Dewan Rakyat bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan majoriti.



Sama-sama kita nantikan.




BARISAN KABINET 



JAWATAN KANAN



- Tiada penjawat Timbalan Perdana Menteri



Empat Menteri Kanan dinamakan semula merangkumi:



- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri;



- Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kerja Raya;



- Datuk Dr Radzi Jidin sebagai Menteri Pendidikan; dan



- Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai Menteri Kanan Pertahanan.



ANTARA PERTUKARAN PORTFOLIO



- Encik Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan, bertukar portfolio dengan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba.



ANTARA MUKA BARU



- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad;



- Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu; dan



- Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >