Barisan panjang di stesen minyak Thailand susulan bakal mula kenaikan harga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Barisan panjang di stesen minyak Thailand susulan bakal mula kenaikan harga

Mar 18, 2026 | 1:13 PM

Barisan panjang di stesen minyak Thailand susulan bakal mula kenaikan harga

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
stesen minyak, thailand
Penunggang motosikal beratur panjang untuk mengisi minyak di sebuah stesen petrol Caltex di Bangkok pada 17 Mac, sedang kekurangan bekalan semakin meruncing dan kenaikan harga dijangka berlaku. - Foto AFP

BANGKOK: Kekurangan bekalan bahan api semakin meruncing di Thailand apabila pemandu dan penunggang motosikal beratur panjang di stesen minyak di seluruh negara, dari Bangkok hingga ke Chiang Rai, susulan gangguan bekalan sejagat akibat perang di Asia Barat.

Keadaan itu berlaku ketika had harga diesel pada 33 baht ($1.30) seliter berakhir pada 17 Mac, dengan kenaikan harga dijangka bermula pada 18 Mac.

Walaupun pemerintah memberi jaminan kenaikan hanya kecil, ramai pengguna bimbang harga akan terus melonjak dalam tempoh terdekat.

Di Chiang Rai, puluhan kenderaan dilihat beratur panjang untuk mengisi minyak, manakala beberapa stesen terpaksa menolak pelanggan selepas kehabisan bekalan.

Seorang pekerja stesen minyak, Encik Kanokwan Kantip, berkata bekalan diesel yang diterima pada hari itu jauh lebih rendah daripada biasa.

“Kami hanya menerima sekitar 8,000 liter diesel, kira-kira satu pertiga daripada jumlah biasa. Ia tidak mencukupi untuk pelanggan,” katanya.

Beberapa stesen turut mengenakan had pembelian, termasuk maksimum 100 liter atau sekitar 1,000 baht bagi setiap pelanggan.

Golongan pekerja penghantaran dilihat antara yang paling terkesan dengan krisis itu.

Seorang penghantar makanan Grab, Oracha, 48 tahun, berkata kekurangan bahan api menjejas pendapatannya secara langsung.

“Saya bimbang kerana kenderaan saya bergantung sepenuhnya kepada minyak. Bila saya perlu tutup aplikasi dan mencari stesen minyak, saya kehilangan pendapatan untuk tempoh itu,” katanya.

Menurutnya, pendapatan sejam sekitar 30 hingga 50 baht memaksanya bekerja lebih lama untuk menampung kerugian.

“Kalau tiada minyak, rasanya seperti saya tidak ada kerja langsung,” tambahnya.

Pihak berkuasa Thailand menegaskan bahawa kekurangan yang berlaku berpunca daripada gangguan pengagihan dan peningkatan permintaan mendadak, bukannya kekurangan bekalan secara keseluruhan.

Pegawai Kementerian Tenaga, Encik Sarawut Kaewtathip, berkata negara masih mempunyai simpanan bahan api mencukupi untuk kira-kira 100 hari.

“Kami telah mengarahkan semua kilang penapisan beroperasi pada kapasiti penuh dan mendapatkan bekalan tambahan dari Angola serta Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya menggunakan tenaga secara berhemah dan mengelakkan pembelian panik.

Namun, keadaan di lapangan menunjukkan keresahan masih tinggi.

Di Bangkok, barisan panjang masih kelihatan di banyak stesen minyak, dengan sesetengahnya mengehadkan pembelian kepada 600 baht.

Seorang penghantar makanan Line Man, Encik Kanokpon Sawaengkij, meluahkan kekecewaan terhadap jaminan pemerintah.

“Memang tidak cukup minyak. Saya tahu kerana saya bekerja setiap hari. Stesen minyak tutup atau kehabisan bekalan dan kami disuruh tunggu lori tangki,” katanya.

“Jadi macam mana saya hendak bekerja?” tambahnya.

Beliau berkata jika harga petrol mencecah 35 baht seliter, bayaran penghantaran yang diterima tidak lagi berbaloi.

Kekurangan bekalan turut dilaporkan di beberapa wilayah lain termasuk Phangnga, Yala dan Phitsanulok.

Di daerah Takua Pa, Phangnga, stesen minyak kehabisan diesel seawal pagi selepas permintaan meningkat mendadak.

Walaupun bekalan dihantar semula pada waktu petang, barisan panjang kembali terbentuk.

Pemimpin perniagaan tempatan berkata bekalan yang diterima kini sekitar 30 hingga 40 peratus lebih rendah daripada biasa, memaksa pengusaha mengawal pengagihan dengan ketat.

Di Betong, Yala, beberapa stesen mengehadkan waktu operasi dan pembelian, manakala petani mengadu sukar mendapatkan bahan api mencukupi untuk pam air dan jentera ladang.

Di wilayah Tak, barisan kenderaan sepanjang tiga kilometer dilaporkan di jalan Mae Sot-Tha Song Yang seawal 4 pagi.

Bagi memastikan bekalan mencukupi untuk penduduk tempatan, pihak berkuasa telah mengharamkan sementara penjualan bahan api kepada kenderaan dari Myanmar.

Krisis bahan api itu turut menjejas perkhidmatan keagamaan.

Sebuah kuil Buddha di Nakhon Phanom terpaksa menghentikan operasi pembakaran mayat kerana kekurangan minyak.

Setiap upacara pembakaran memerlukan sekitar 90 liter bahan api, ujar pihak kuil.

Bagi menangani keadaan, Menteri Tenaga Thailand mengadakan mesyuarat tergempar bersama pengusaha minyak dan wakil kilang penapisan.

Langkah yang dipersetujui termasuk meningkatkan kekerapan penghantaran, menambah lori tangki dan mempercepatkan pengagihan dari depoh simpanan ke kawasan terjejas.

Kementerian turut menegaskan bahawa kerjasama semua pihak diperlukan bagi memulihkan keadaan secepat mungkin.

Dalam masa sama, Kementerian Perdagangan sedang merangka langkah membantu pengguna menghadapi kenaikan kos bahan api dan dijangka membentangkannya kepada Kabinet dalam masa terdekat.

Walaupun jaminan diberikan bahawa bekalan negara masih mencukupi, keadaan di lapangan menunjukkan kebimbangan pengguna telah mencetuskan pembelian panik, sekali gus memburukkan lagi gangguan bekalan di seluruh Thailand. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg