Indonesia minta rakyat elak pembelian panik, bekalan bahan api mencukupi
Indonesia minta rakyat elak pembelian panik, bekalan bahan api mencukupi
JAKARTA: Pemerintah Indonesia meminta orang ramai supaya bertenang dan tidak melakukan pembelian panik bahan api walaupun harga minyak mentah dunia meningkat susulan konflik yang semakin memuncak di rantau Teluk.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral (ESDM), Encik Bahlil Lahadalia, berkata bekalan bahan api dalam negara masih mencukupi dan mampu menampung keperluan rakyat.
Menurut beliau, peningkatan harga minyak dunia ketika ini tidak sepatutnya menimbulkan kebimbangan terhadap bekalan domestik.
“Tidak perlu melakukan pembelian panik. Stok bahan api kita mencukupi,” kata Encik Bahlil ketika ditemui di Istana Presiden pada 10 Mac.
Beliau menjelaskan bahawa anggaran bekalan selama 21 hingga 25 hari yang sering disebut sebelum ini merujuk kepada kapasiti simpanan negara, bukannya keseluruhan bekalan sebenar.
“Apa yang dimaksudkan dengan 21 hingga 25 hari itu ialah kapasiti simpanan. Bekalan baharu akan terus masuk. Industri berjalan seperti biasa dan import kita masih mengikut jadual,” katanya.
Ketegangan di Asia Barat, khususnya konflik yang melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat, telah menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan tenaga global.
Situasi menjadi lebih sensitif apabila Tentera Laut Iran dilaporkan menghadkan akses ke Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi laluan utama penghantaran minyak dunia.
Kira-kira satu perlima bekalan minyak global biasanya melalui laluan tersebut.
Namun Encik Bahlil menegaskan bahawa Indonesia tidak terlalu bergantung kepada import bahan api siap dari Asia Barat.
Sebaliknya, negara itu hanya mengimport minyak mentah dari rantau tersebut, manakala sebahagian besar bahan api siap diperoleh dari negara Asia Tenggara dan juga dihasilkan di dalam negara.
“Di Timur Tengah, kita hanya mengimport minyak mentah. Bahan api siap kita import dari negara Asia Tenggara dan juga diproses di dalam negara. Jadi tidak perlu panik,” jelas beliau.
Dalam perkembangan sama, Encik Bahlil turut memberi jaminan bahawa harga bahan api bersubsidi tidak akan dinaikkan sekurang-kurangnya sehingga Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Walaupun harga minyak mentah global dilaporkan melonjak melebihi AS$100 ($127) setong dalam beberapa hari kebelakangan ini, pemerintah akan mengekalkan kadar subsidi semasa.
“Mengenai subsidi bahan api, tidak akan ada kenaikan sehingga Aidilfitri. Kami memastikan bahawa walaupun harga minyak mentah dunia meningkat, subsidi tetap kekal,” katanya.
Keputusan tersebut dibuat selepas perbincangan antara Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral dengan Kementerian Kewangan.
Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, turut memberi jaminan bahawa peruntukan belanjawan untuk subsidi bahan api masih berada pada tahap yang selamat, khususnya sepanjang bulan Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri.
Menurut beliau, lonjakan harga minyak global ketika ini hanya berlaku dalam tempoh yang singkat dan tidak memberi kesan besar kepada belanjawan tahunan negara.
“Kita masih selamat, masih kukuh. Kenaikan ini baru berlaku beberapa hari sahaja, sedangkan kita menyediakan subsidi sepanjang tahun,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa anggaran belanjawan negara disusun berdasarkan purata harga minyak mentah sekitar AS$70 setong bagi tempoh setahun.
“Kita menggunakan andaian purata tahunan sekitar AS$70 setong. Kenaikan beberapa hari ini belum memberi kesan kepada belanjawan,” tambahnya.
Encik Bahlil turut memaklumkan bahawa harga minyak mentah global kini menunjukkan turun naik yang ketara.
Menurut beliau, harga yang sebelum ini melepasi paras AS$100 setong kini kembali turun dan berada dalam lingkungan sekitar AS$80 hingga AS$90 setong.
Encik Purbaya berkata situasi tersebut menunjukkan bahawa harga minyak dunia boleh berubah dengan cepat bergantung kepada perkembangan geopolitik.
“Harga boleh naik, tetapi juga boleh turun dengan cepat. Jadi kita perlu memerhatikan keadaan terlebih dahulu,” katanya.
Beliau menambah bahawa pemerintah akan menilai trend harga minyak global untuk tempoh tertentu sebelum membuat sebarang keputusan dasar.
Menurut beliau, pemerintah perlu berhati-hati sebelum menyesuaikan dasar fiskal kerana perubahan dalam belanjawan negara memerlukan analisis yang lebih teliti berbanding turun naik pasaran.
“Saya fikir memerhatikan trend harga selama sebulan sudah memadai. Harga sentiasa berubah. Semalam mungkin AS$120 setong, hari ini AS$90. Bagaimana jika ia turun lagi?” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pemerintah akan terus memantau perkembangan harga minyak global bagi meramalkan trend sebenar sebelum mengambil sebarang langkah dasar. – Agensi berita.

