Polis Filipina siasat penutupan mendadak stesen minyak ketika harga bahan api melonjak
Polis Filipina siasat penutupan mendadak stesen minyak ketika harga bahan api melonjak
MANILA: Polis Filipina meningkatkan pemantauan terhadap stesen minyak yang tiba-tiba menghentikan operasi ketika harga bahan api terus melonjak, dalam usaha mengelakkan kegiatan menyorok bekalan dan mengaut keuntungan berlebihan.
Ketua Polis Negara Filipina, Jose Melencio Nartatez Jr, berkata pihaknya memahami cabaran yang dihadapi pengusaha stesen minyak susulan krisis di Asia Barat, namun memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil jika penutupan dilakukan bagi tujuan tidak sah.
“Kami di PNP memahami keadaan yang dihadapi pemilik stesen minyak akibat situasi di Asia Barat. Tetapi jika penutupan mengejut itu bertujuan menjalankan skim haram, maka tindakan polis akan diambil,” katanya pada 15 Mac.
Beliau turut mengarahkan ketua-ketua polis di seluruh negara supaya bekerjasama dengan pemerintah tempatan serta Jabatan Tenaga Filipina bagi menyiasat penutupan mendadak beberapa stesen minyak tanpa notis awal.
“Kami juga meminta kerjasama rakyat supaya segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui stesen minyak yang menghentikan operasi secara tiba-tiba. Kami akan terus turun ke lokasi untuk menjalankan siasatan,” katanya.
Encik Nartatez berkata meja bantuan turut dibuka di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai membuat aduan berkaitan stesen minyak, dengan setiap laporan akan disiasat secara teliti.
“Kami memberi jaminan bahawa PNP telah menyediakan pelan kontingensi bagi memastikan keamanan dan ketenteraman tidak terjejas akibat kesan konflik di Iran atau kenaikan harga bahan api,” katanya.
Sebelum ini, Istana Malacanang turut memberi amaran bahawa pihak yang mengambil kesempatan daripada konflik di Asia Barat untuk menaikkan harga secara tidak munasabah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ramalan industri menunjukkan harga bahan api di Filipina dijangka meningkat lagi minggu ini. Diesel dianggarkan naik antara 19 hingga 22 peso seliter, manakala petrol dijangka meningkat antara 12 hingga 16 peso seliter.
Bagi mengawal keadaan, Encik Nartatez berkata polis akan meningkatkan kehadiran di lokasi penting dalam rangkaian bekalan bahan api bagi memastikan peraturan dipatuhi dan gangguan perkhidmatan kepada pengguna dapat dielakkan.
Pasukan pemantauan khas juga ditugaskan untuk memeriksa pihak yang disyaki menyorok bekalan bahan api atau menaikkan harga secara tidak adil. “Matlamat kami adalah melindungi rakyat daripada amalan tidak adil ketika harga minyak meningkat,” katanya.
Sejak 6 Mac lalu, Jabatan Tenaga Filipina melalui Biro Pengurusan Industri Minyak bersama pihak polis dan pemerintah tempatan telah menjalankan pemeriksaan ke atas pelbagai premis berkaitan bahan api di seluruh negara.
Hasil pemeriksaan setakat ini mendapati 71 stesen minyak runcit menaikkan harga melebihi pelarasan yang diumumkan sebelum ini, sekali gus melanggar arahan jabatan tersebut. Sebanyak 55 notis tunjuk sebab telah dikeluarkan terhadap premis yang terlibat.
Selain lonjakan harga bahan api, kebimbangan terhadap kemungkinan kekurangan bekalan minyak juga semakin meningkat susulan konflik di Asia Barat yang mengganggu laluan kapal di Selat Hormuz.
Selat tersebut merupakan laluan penting bagi kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia.
Menurut anggaran Pentadbiran Maklumat Tenaga Amerika Syarikat, sekitar 20 juta tong minyak sehari melalui Selat Hormuz pada tahun 2025.
Data Jabatan Tenaga Filipina pula menunjukkan bahawa 98 peratus import minyak mentah negara itu datang dari Asia Barat, manakala baki dua peratus diperoleh dari negara-negara berhampiran.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, sebelum ini berkata pemerintah sedang berbincang dengan negara lain di luar pembekal biasa bagi memastikan bekalan bahan api negara kekal stabil. Beliau juga mengisytiharkan sebagai mendesak satu rang undang-undang yang memberi kuasa kecemasan kepada presiden untuk mengurangkan cukai eksais bahan api bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak terhadap rakyat. - Agensi berita

