DAMSYIK: Mahkamah Syria menjatuhkan hukuman mati terhadap bekas Presiden Bashar al-Assad selepas mensabitkannya atas pembunuhan, penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya dan jenayah terhadap kemanusiaan sepanjang konflik yang melanda negara itu selama hampir 14 tahun.

Keputusan yang diumumkan pada 11 Ogos itu merupakan sabitan pertama oleh mahkamah Syria terhadap Assad sejak dia digulingkan pada Disember 2024, sekali gus menjadi langkah kehakiman paling penting setakat ini dalam usaha pemerintah peralihan menangani jenayah yang didakwa dilakukan di bawah pemerintahannya.

Assad, yang kini berada di Russia, dibicarakan tanpa kehadirannya dan dijatuhi hukuman mati bersama adiknya, Maher al-Assad, yang pernah mengetuai Divisyen Berperisai Keempat tentera Syria.

Mahkamah Jenayah Keempat di Damsyik turut menjatuhkan hukuman mati terhadap sepupu Assad, Atef Najib, mantan ketua cawangan Keselamatan Politik di Deraa, serta enam lagi mantan pegawai yang masih diburu.

Najib, yang ditahan pihak berkuasa Syria pada awal 2025, merupakan satu-satunya tertuduh yang dibicarakan secara langsung di mahkamah.

Hakim Fakhr al-Din al-Aryan berkata Assad disabitkan atas pembunuhan terancang dan disengajakan terhadap beberapa mangsa termasuk kanak-kanak, selain penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Menurut hakim, Assad memainkan peranan sebagai “pembuat keputusan tertinggi” dan menggunakan institusi negara bagi memudahkan pelaksanaan jenayah tersebut.

Maher dan enam lagi tertuduh yang masih bebas pula disabitkan atas kesalahan termasuk pembunuhan terancang, penyeksaan sehingga menyebabkan kematian dan jenayah terhadap kemanusiaan.

Mahkamah turut meminta lapan individu yang berada di luar tahanan diburu di peringkat antarabangsa dan waran tangkap antarabangsa dikeluarkan terhadap mereka.

Keputusan itu dibuat selepas perbicaraan berlangsung hampir empat bulan dan diumumkan pada sesi kesembilan yang turut dihadiri Peguam Negara Syria, ketua Suruhanjaya Nasional Keadilan Peralihan, wakil pertubuhan perundangan dan hak asasi antarabangsa serta keluarga mangsa.

Berita mengenai hukuman itu disambut sekumpulan rakyat Syria yang berhimpun di luar Istana Kehakiman di Damsyik dengan bertepuk tangan, melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Syria.

Perhimpunan turut diadakan di Deraa, tempat tercetusnya bantahan terhadap pemerintahan Assad pada 2011.

Sebahagian peserta membawa gambar mereka yang ditahan atau terbunuh sepanjang konflik, termasuk Hamza al-Khatib, seorang kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun yang menurut aktivis ditahan, diseksa dan dibunuh pasukan keselamatan Syria pada 2011.

Seorang pendakwa raya yang hadir ketika keputusan dibacakan, Cik Noha al-Masri, yang kehilangan abangnya dalam tindakan terhadap penunjuk perasaan di Deraa pada 2011, menyifatkan keputusan itu sebagai setimpal dengan penderitaan rakyat Syria.

“Keputusan yang dibuat, seperti kami jangkakan, sebesar pengorbanan rakyat Syria selama 15 tahun dan sebesar penderitaan keluarga serta saudara-mara mereka yang terkorban,” katanya.

Ketua Suruhanjaya Nasional Keadilan Peralihan, Encik Abdul Basit Abdul Latif, pula menyifatkan keputusan itu sebagai pencapaian penting dalam usaha memberikan keadilan kepada mangsa.

“Ini bukan penghujung perjalanan, tetapi satu pencapaian penting dalam usaha mencapai keadilan, membela mangsa dan mengukuhkan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Bagaimanapun, keputusan menjatuhkan hukuman mati turut mendapat kritikan kerana dikhuatiri menyukarkan usaha membawa pulang Assad dan tertuduh lain yang berada di luar negara untuk dibicarakan di Syria.

Ketua Pusat Kajian dan Penyelidikan Undang-Undang Syria, Encik Anwar al-Bunni, berkata negara yang tidak mengamalkan hukuman mati mungkin keberatan menyerahkan suspek kepada Syria jika mereka berdepan kemungkinan dihukum mati.

“Masalah besarnya ialah tiada siapa akan menyerahkan seorang penjenayah kepada negara yang menjatuhkan hukuman mati.

“Ini akan menutup jalan untuk Assad dan ramai lagi tertuduh diserahkan kepada Syria,” katanya sambil menyifatkan keputusan itu sebagai “keadilan bersifat simbolik, bukan keadilan peralihan”.

Assad, 60 tahun, menjadi Presiden Syria pada 2000 selepas kematian bapanya, Hafez al-Assad, dan memerintah negara itu selama hampir 25 tahun.

Pemerintahannya berdepan kebangkitan rakyat pada 2011 apabila demonstrasi menuntut pembaharuan politik berkembang menjadi konflik bersenjata yang mengorbankan ratusan ribu orang dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa berulang kali menuduh pemerintah Encik Assad melakukan pelbagai pencabulan, termasuk pembunuhan beramai-ramai, penyeksaan, penahanan sewenang-wenangnya, kehilangan secara paksa serta serangan terhadap orang awam.

Assad menafikan beberapa tuduhan utama terhadap pemerintahannya, termasuk penggunaan senjata kimia.

Pemerintahannya akhirnya tumbang pada 8 Disember 2024 selepas kumpulan pemberontak yang dipimpin Encik Ahmed al-Sharaa melancarkan serangan pantas dan menawan beberapa bandar utama sebelum memasuki Damsyik.

Assad kemudian melarikan diri ke Russia bersama keluarganya dan diberikan suaka.

Pemerintahan peralihan pimpinan Presiden Sharaa mengambil alih pada Januari 2025 dan sejak itu mewujudkan mekanisme keadilan peralihan bagi menyiasat jenayah yang didakwa dilakukan semasa pemerintahan Assad.

Selain keputusan mahkamah Syria, Assad turut berdepan waran tangkap di Perancis berhubung pengeboman sebuah pusat media di Homs pada 2012. – Agensi berita.