BATAM (Indonesia): Pemerintah Kota Batam akan membangunkan sebuah pusat perikanan dalam usaha memberi kemudahan kepada para nelayannya untuk pengurusan hasil tangkapan dan penjualan ikan.
"Kami sedang membangunkan sebuah pusat perikanan di kawasan tengah dan ia sedang dalam perbincangan," kata Ketua Pejabat bagi Ehwal Kelautan, Perikanan, Pertanian dan Perhutanan,Cik Suhartini, yang ditukil agensi berita Antara semalam.
Pemerintah kota kini sedang berbincang tentang kawasan yang sesuai untuk pembangunan pusat perikanan itu, termasuk penyediaan kemudahan yang diperlukan.
Tambah Cik Suhartini, sebuah pelabuhan perikanan akan juga dibina di lokasi tersebut.
Menurut beliau lagi, dengan adanya pusat perikanan itu, ia akan turut memanfaatkan penduduk Batam untuk membeli ikan, kerana ramai nelayan tempatan sejauh ini menjual langsung hasil tangkapan mereka kepada Singapura.
Menurutnya, akibat ketiadaan pelabuhan perikanan juga turut menyebabkan nelayan di Batam menjual hasil tangkapan ke Singapura.
Bagaimanapun, penjualan ikan secara langsung kepada Singapura tidak melanggar sebarang undang-undang Indonesia. - Antara