CATIA LA MAR, Venezuela: Bau mayat reput mula menyelubungi jalan-jalan di kawasan runtuhan bangunan di Venezuela ketika operasi menyelamat mangsa gempa bumi semakin bertukar menjadi usaha mencari dan mengeluarkan mayat.

Walaupun pasukan penyelamat berjaya menemukan seorang lelaki hidup selepas hampir lapan hari tertimbus di bawah runtuhan, suasana putus harapan semakin dirasai di wilayah La Guaira yang paling teruk terjejas akibat dua gempa bumi besar minggu lalu.

Rakaman operasi menyelamat Encik Hernan Alberto Gil Flores, 43 tahun, terus diulang siar stesen televisyen tempatan selepas beliau berjaya dikeluarkan hidup-hidup dari runtuhan sebuah pusat beli-belah yang runtuh akibat gempa.

Mangsa ditemui dalam keadaan lemah tetapi masih hidup selepas terperangkap hampir lapan hari di bawah konkrit bangunan, jauh melepasi tempoh kritikal 72 jam yang lazimnya dianggap peluang terbaik untuk menemui mangsa hidup.

Pasukan penyelamat antarabangsa dari 10 negara dilihat saling berpelukan dan bersorak kegembiraan ketika Encik Hernan diangkat menggunakan pengusung selepas berjaya dikeluarkan dari runtuhan.

Mangsa dipercayai terselamat kerana terperangkap di ruang udara kecil di bawah konkrit runtuh, selain menerima bekalan makanan dan air yang disalurkan penyelamat melalui celahan runtuhan.

Namun di kawasan lain di La Guaira, ribuan lagi mangsa masih hilang dan harapan untuk menemui mereka hidup semakin tipis.

Di bandar pelabuhan Catia La Mar, petugas dilihat membawa beg mayat dan menyusun keranda sepanjang hari, manakala orang ramai terus berkumpul berhampiran pasukan penyelamat antarabangsa yang memeriksa bangunan runtuh berdasarkan maklumat kemungkinan terdapat mangsa terselamat.

Namun kebanyakan usaha pencarian berakhir dengan kekecewaan apabila sensor seismik dan alat pengesan tidak menunjukkan sebarang tanda kehidupan.

Pemangku Presiden Venezuela, Cik Delcy Rodríguez, mengesahkan sekurang-kurangnya 2,295 orang maut manakala lebih 11,000 lagi cedera dalam bencana tersebut.

Pemerintahnya turut menerima kritikan hebat kerana didakwa lambat dan tidak tersusun dalam mengendalikan krisis kemanusiaan itu.

Beribu-ribu mangsa kini terpaksa tidur di pusat perlindungan sesak atau di kawasan terbuka, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan doktor mengenai kemungkinan tercetusnya krisis kesihatan lebih besar.

Mereka memberi amaran kecederaan yang tidak dirawat dan penularan penyakit berjangkit boleh memburukkan lagi keadaan sistem kesihatan Venezuela yang sedia tenat akibat krisis ekonomi berpanjangan.

Cik Rodríguez bagaimanapun menolak dakwaan pemerintah gagal bertindak pantas selepas gempa berlaku.

“Kami tidak menunggu satu hari, dua hari atau tiga hari. Kami bertindak serta-merta,” katanya kepada wartawan asing sambil memakai reben hitam tanda berkabung.

Beliau mengakui individu pertama yang tiba di lokasi runtuhan ialah mangsa terselamat, ahli keluarga dan jiran tetangga sendiri.

Ketika diasak mengenai laporan bahawa penduduk La Guaira terpaksa mencari mangsa menggunakan tangan kosong dalam tempoh 48 jam pertama selepas gempa, Cik Rodríguez menyifatkan dakwaan itu sebagai “naratif propaganda”.

“Mempolitikkan tragedi kemanusiaan seperti ini ketika pemerintah Venezuela sudah mengerah segala usaha adalah sesuatu yang memalukan,” katanya dengan nada marah.

Kenyataan Cik Rodríguez dibuat sehari sebelum tempoh mandat interimnya selama 180 hari dijangka tamat pada 3 Julai.

Cik Rodríguez sebelum ini menjadi timbalan kepada bekas presiden, Encik Nicolas Maduro, sebelum Encik Maduro digulingkan oleh Amerika pada Januari lalu.

Beliau kemudian dilantik sebagai pemimpin interim dengan sokongan pemerintah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Namun kedudukan politik Cik Rodríguez selepas tamat tempoh mandatnya masih tidak jelas berikutan kurangnya ketelusan dalam pemerintah Venezuela.

Menurut perlembagaan Venezuela, jawatan pemimpin interim boleh disandang naib presiden selama 90 hari dan dilanjutkan lagi selama 90 hari dengan kelulusan Dewan Nasional yang dikuasai parti Cik Rodríguez.

Dewan Nasional juga boleh mengisytiharkan kekosongan tetap jawatan presiden dan mengadakan pilihan raya mengejut.

Dalam perkembangan lain, tragedi gempa turut mengorbankan seorang rakyat Venezuela yang baru dihantar pulang dari Amerika beberapa jam sebelum bencana berlaku.

Encik Daniel Alejandro Núñez Ramírez, 28 tahun, tiba di Venezuela dalam penerbangan deportasi membawa lebih 100 rakyat Venezuela yang diusir dari Amerika.

Ibunya, Cik Oswadeliz Nunez, berkata anaknya memohon suaka di Amerika sejak 2022 dan menetap di Florida sebelum ditahan pihak imigresen pada Mei lalu.

Menurutnya, Encik Daniel dihantar ke sebuah hotel di La Guaira yang dijadikan pusat tahanan sementara selepas tiba di Venezuela.

“Kemudian bumi mula bergegar,” katanya.

Kebanyakan daripada 146 individu yang dihantar pulang dan ditempatkan di hotel itu dipercayai tertimbus dalam runtuhan bangunan.

Pada 29 Jun lalu, Cik Oswadeliz menerima panggilan meminta beliau mengambil mayat anaknya di rumah mayat La Guaira.

“Anak saya bukan penjenayah. Kenapa mereka melayan orang yang tiada rekod jenayah seperti penjenayah?” katanya sambil memegang bekas berisi abu mayat anaknya.

Beliau percaya anaknya mungkin masih hidup jika dibenarkan pulang terus ke Caracas dan bukannya ditempatkan di pusat tahanan di La Guaira.

“Saya tidak mahu kematian ini dibiarkan begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, Amerika terus meningkatkan penglibatan dalam operasi bantuan dan pembinaan semula Venezuela selepas penggulingan Maduro awal tahun ini.

Washington dilaporkan menyalurkan lebih AS$300 juta (S$405 juta) dan mengerahkan kira-kira 900 anggota tentera untuk membantu operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan.

Cik Rodríguez turut memuji Encik Trump dan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, kerana sentiasa memberikan perhatian dan bantuan kepada Venezuela sepanjang krisis itu.

Namun beberapa pertubuhan hak asasi manusia menggesa pemantauan ketat terhadap penggunaan dana bantuan tersebut bagi memastikan ia benar-benar digunakan untuk membantu rakyat Venezuela yang terjejas. - Agensi berita