Topik diikuti
Pergi ke BHkuHarapan temui mangsa hidup semakin tipis selepas gempa Venezuela ragut 2,300 nyawa
Harapan temui mangsa hidup semakin tipis selepas gempa Venezuela ragut 2,300 nyawa
Presiden isytihar tujuh hari berkabung selepas jumlah kematian terus meningkat
Harapan temui mangsa hidup semakin tipis selepas gempa Venezuela ragut 2,300 nyawa
LA GUAIRA (Venezuela): Harapan untuk menemui lebih ramai mangsa terselamat semakin pudar ketika Venezuela memasuki minggu pertama selepas dua gempa bumi kuat meragut hampir 2,300 nyawa, sementara ribuan penduduk yang selamat kini berdepan kekurangan makanan, air bersih dan tempat berteduh.
Presiden sementara Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, mengisytiharkan tujuh hari berkabung selepas jumlah kematian terus meningkat.
“Jiwa negara ini hancur akibat kehilangan nyawa yang begitu besar,” katanya.
Presiden Perhimpunan Nasional, Encik Jorge Rodriguez, berkata pada 1 Julai bahawa angka korban meningkat kepada 2,295 orang, manakala lebih 11,000 lagi cedera.
Hampir 13,000 penduduk pula kehilangan tempat tinggal.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sekitar 50,000 orang masih hilang.
Bandar La Guaira, di utara Caracas, antara kawasan paling teruk terjejas.
Banyak bangunan yang runtuh kini ditanda dengan huruf ‘D’, merujuk kepada ‘deceased’ atau meninggal dunia, selepas pasukan penyelamat selesai memeriksa kawasan itu tanpa menemui tanda kehidupan.
“Tiada masa boleh dibazirkan di tempat yang tiada lagi harapan menemui orang masih hidup,” kata Encik Javier Rodes, penyelaras pasukan penyelamat Sepanyol, yang menggunakan anjing pengesan bernama Nala untuk mencari mangsa di bawah runtuhan.
Namun masih ada kisah luar biasa.
Pada 30 Jun, seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui masih hidup enam hari selepas gempa paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad.
Di Catia La Mar, kawasan pesisir yang hampir musnah sepenuhnya, ratusan penyelamat dari Venezuela, Chile, Amerika Syarikat, Portugal, Costa Rica, El Salvador dan Mexico masih berusaha menyelamatkan Encik Hernan Gil, 43 tahun, seorang pengawal keselamatan yang terperangkap dalam pondoknya di bawah runtuhan bangunan tujuh tingkat.
Menjelang lewat 1 Julai, pasukan penyelamat dilaporkan berada kurang satu meter dari kedudukannya.
“Ia benar-benar satu keajaiban,” kata isterinya, Cik Gusbimar Gonzalez.
Gempa berkembar bermagnitud 7.2 dan 7.5 itu memusnahkan banyak kawasan kejiranan di Venezuela, sebuah negara kaya minyak yang selama bertahun-tahun bergelut dengan krisis ekonomi, prasarana uzur dan sistem kesihatan yang lemah.
Ketua Komand Selatan Amerika Syarikat, Jeneral Francis Donovan, berkata sekitar 2,000 anggota Amerika kini membantu operasi kecemasan di Venezuela.
Namun, di sebalik kehadiran pasukan antarabangsa, ramai penduduk tempatan meluahkan kemarahan terhadap kelewatan bantuan pemerintah.
Tumpuan kini beralih daripada operasi mencari dan menyelamat kepada usaha memastikan mangsa terselamat mendapat makanan, air dan perlindungan.
“Mereka mengagihkan bekalan di sini, tetapi kadangkala orang hampir berbunuhan kerana makanan,” kata Cik Daniela Armas, 18 tahun, seorang peniaga di La Guaira.
“Ia seperti sabung ayam.”
Kes kecurian dan rompakan turut dilaporkan semakin berleluasa.
Pada 1 Julai, empat pegawai polis ditahan selepas penduduk mendakwa mereka mencuri barang berharga daripada runtuhan.
Ketua misi Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi di Venezuela, Cik Lia Poggio, menyifatkan keadaan sebagai “amat kritikal”.
Barisan menunggu bantuan semakin panjang setiap hari. Ramai mangsa kini bergantung kepada sukarelawan dan sumbangan orang awam.
“Saya rasa bersalah setiap kali makan, kerana saya tahu ada orang lain yang langsung tiada makanan,” kata Cik Aysmar Lopez, yang menghantar makanan dimasak sendiri ke beberapa pusat perlindungan.
Program Makanan Sedunia pada 30 Jun merayu dana AS$50 juta ($64.7 juta) bagi memberi makan kepada kira-kira 500,000 orang selama tiga bulan.
Kebimbangan turut meningkat mengenai risiko penularan penyakit.
Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Encik Christian Lindmeier, berkata sistem kesihatan Venezuela kini berada di bawah “tekanan melampau”.
Menurutnya, risiko wabak penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin, termasuk campak dan difteria, semakin meningkat berikutan kadar vaksinasi yang rendah sebelum gempa.
Penilaian awal data satelit Pentadbiran Penerbangan dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) Amerika Syarikat pula menganggarkan hampir 58,870 bangunan rosak atau musnah akibat gempa tersebut.
Bagi keluarga mangsa yang masih hilang, penantian semakin perit.
Di Caraballeda, Encik Jose Rafael berdiri di celah runtuhan tempat anaknya dipercayai tertimbus.
“Tiada lagi harapan untuk menemui sesiapa di sini, sama ada hidup mahupun sudah meninggal dunia,” katanya. – Agensi berita.
