Topik diikuti
Pergi ke BHkuBayang Al-Qaeda masih menghantui Afghanistan 25 tahun selepas 9/11
Bayang Al-Qaeda masih menghantui Afghanistan 25 tahun selepas 9/11
KABUL: Dua puluh lima tahun selepas Al-Qaeda merancang serangan 11 September 2001 dari Afghanistan, persoalan lama kembali menghantui negara itu: adakah Afghanistan sekali lagi menjadi tempat berlindung kumpulan militan yang boleh mengancam keselamatan dunia?
Taleban, yang kembali berkuasa pada 2021 selepas dua dekad berperang dengan Amerika Syarikat dan sekutunya, menegaskan jawapannya adalah tidak.
Mereka mahu dunia melihat Afghanistan hari ini sebagai sebuah negara yang berbeza – perang sudah berakhir, jalan raya lebih selamat, kegiatan ekonomi mula berkembang dan pemerintah Taleban mahu menjalin hubungan dengan negara lain.
Menteri Luar Afghanistan, Encik Amir Khan Muttaqi, baru-baru ini mengisytiharkan bahawa “bab peperangan sudah berakhir”.
Namun, di sebalik gambaran Afghanistan yang lebih aman itu, terdapat realiti yang lebih rumit.
Al-Qaeda masih berada di Afghanistan.
Ribuan anggota kumpulan militan lain juga dipercayai beroperasi di negara itu.
Lebih membimbangkan, dunia luar kini mempunyai maklumat yang jauh lebih terhad mengenai kegiatan mereka selepas pengunduran tentera Amerika pada 2021.
Keadaan itu menghidupkan semula kebimbangan yang mempunyai persamaan dengan tempoh sebelum 9/11.
Ketika itu, pemimpin Taleban, Mullah Muhammad Omar, turut memberi jaminan bahawa Osama bin Laden tidak menggunakan bumi Afghanistan untuk melancarkan serangan terhadap negara lain.
Beberapa bulan kemudian, Al-Qaeda melancarkan serangan 9/11 yang meragut hampir 3,000 nyawa di Amerika.
Ini tidak bermakna Afghanistan hari ini berada dalam keadaan sama seperti 2001.
Ancaman militan jauh lebih kecil dan Al-Qaeda tidak lagi mempunyai pemimpin berpengaruh seperti bin Laden.
Namun persamaan tertentu sukar diketepikan: Taleban kembali memerintah, Al-Qaeda masih berada di negara itu dan kemampuan dunia luar memantau apa yang berlaku di Afghanistan semakin terbatas.
Inilah paradoks Afghanistan 25 tahun selepas 9/11.
Bagi kebanyakan rakyat Afghanistan, keselamatan dalam kehidupan seharian sebenarnya bertambah baik.
Bunyi tembakan semakin jarang kedengaran, perjalanan di banyak jalan raya lebih selamat dan orang awam tidak lagi berdepan ancaman serangan dron atau pertempuran antara Taleban dengan tentera asing seperti dahulu.
Kabul juga berubah.
Restoran baru dibuka, pelaburan dalam sektor perlombongan digalakkan dan Taliban semakin aktif berhubung dengan diplomat serta negara serantau.
Taleban menggunakan perubahan itu untuk menunjukkan bahawa mereka kini sebuah pemerintah yang mampu menjamin kestabilan.
Namun keamanan dalam negeri tidak semestinya bermakna Afghanistan tidak lagi menjadi sumber ancaman keselamatan kepada negara lain.
Menurut anggaran pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), antara 15,000 dengan 20,000 anggota militan daripada kira-kira 20 kumpulan kini berada di Afghanistan.
Russia menganggarkan jumlah itu mungkin mencecah 23,000 orang.
Al-Qaeda sendiri dipercayai hanya mempunyai beberapa puluh anggota.
Namun, sebahagian daripada mereka dikatakan hidup bebas di Kabul.
Menurut kumpulan pemantau PBB, pihak berkuasa Afghanistan juga mengeluarkan kad pengenalan negara kepada kepemimpinan cabang Al-Qaeda di Asia Selatan.
Kumpulan paling besar pula ialah Tehrik-e-Taleban Pakistan (TTP), atau Taleban Pakistan, yang mempunyai ribuan anggota dan menggunakan kawasan sempadan Afghanistan-Pakistan untuk melancarkan serangan terhadap pasukan keselamatan Pakistan.
Peningkatan serangan di Pakistan sejak Taleban kembali berkuasa pada 2021 memperlihatkan bagaimana masalah keselamatan Afghanistan boleh melimpah keluar merentasi sempadannya.
Pada masa sama, ribuan anggota ISIS dipercayai bergerak di kawasan pergunungan di sepanjang sempadan Afghanistan-Pakistan.
Hubungan Taleban dengan ISIS-K, cabang serantau kumpulan ISIS, bagaimanapun berbeza sama sekali daripada hubungannya dengan Al-Qaeda.
Taleban memerangi ISIS-K dengan keras.
Kedua-duanya bermusuhan kerana ISIS-K menganggap Taleban terlalu bertolak ansur terhadap golongan minoriti agama dan sanggup berurusan dengan masyarakat antarabangsa.
ISIS-K bertanggungjawab terhadap serangan di Lapangan Terbang Kabul ketika pengunduran Amerika pada Ogos 2021 yang membunuh 13 anggota tentera Amerika dan lebih 170 rakyat Afghanistan.
Taleban sejak itu melancarkan operasi terhadap kumpulan tersebut. Pakar menilai ISIS-K kini tidak lagi mempunyai kemampuan seperti dahulu untuk melakukan serangan besar-besaran di Afghanistan.
Hubungan Taleban dengan Al-Qaeda pula jauh lebih rumit.
Al-Qaeda berdiri bersama Taleban sepanjang pemberontakan selama 20 tahun menentang Amerika dan pemerintah Afghanistan yang disokong Washington. Kini setelah Taleban kembali berkuasa, hubungan lama itu belum diputuskan sepenuhnya.
Anggota Al-Qaeda dipercayai masih berada di Kabul dan sepanjang sempadan Pakistan, dengan sebahagian mereka dikatakan membantu melatih Taleban Pakistan.
Kematian pengganti bin Laden, Ayman al-Zawahiri, dalam serangan dron Amerika di Kabul pada 2022 turut menimbulkan persoalan besar mengenai jaminan Taleban bahawa mereka tidak melindungi Al-Qaeda.
Hakikat bahawa Zawahiri ditemui di tengah-tengah Kabul menunjukkan sekurang-kurangnya sebahagian rangkaian Al-Qaeda masih mempunyai ruang untuk beroperasi selepas Taleban kembali berkuasa.
Bagaimanapun, ancaman Al-Qaeda hari ini tidak boleh disamakan dengan kedudukannya sebelum 9/11.
Pegawai antipengganasan Amerika menyifatkan ancaman Al-Qaeda dari Afghanistan berada pada tahap terendah dalam beberapa dekad. Ia tidak lagi mempunyai puluhan ribu pejuang atau prasarana latihan seperti pada 1990-an.
Persoalan sebenar ialah sama ada keadaan itu akan kekal.
Taleban mempunyai sebab kukuh untuk menghalang Afghanistan daripada sekali lagi digunakan bagi merancang serangan antarabangsa. Mereka sudah mengetahui akibatnya – serangan 9/11 membawa kepada pencerobohan Amerika yang menggulingkan pemerintah Taleban pertama dan mencetuskan perang selama dua dekad.
Tetapi Taleban juga berdepan dilema.
Banyak kumpulan militan hari ini mempunyai hubungan sejarah, ideologi dan peribadi dengan mereka. Mengusir kumpulan tersebut boleh mencetuskan perpecahan dalam TalibTaleban sendiri dan mendorong pejuang yang tidak berpuas hati menyertai kumpulan lebih radikal.
Masalah paling jelas ialah Taleban Pakistan.
Anggotanya pernah berjuang bersama Taleban Afghanistan menentang tentera Amerika. Kini mereka mengharapkan sokongan Kabul dalam perjuangan mereka menentang Islamabad.
Pakistan semakin hilang sabar.
Selepas berdepan serangan berterusan daripada Taleban Pakistan, tentera Pakistan melancarkan puluhan serangan udara ke atas sasaran di Afghanistan tahun ini, termasuk di Kabul.
Ketegangan itu menunjukkan bagaimana kehadiran kumpulan militan akhirnya boleh menggugat kestabilan yang cuba ditonjolkan Taleban.
Pada masa sama, kumpulan penentang Taleban mula meningkatkan serangan.
Tiga kumpulan yang dipimpin bekas anggota pasukan keselamatan Afghanistan mendakwa melancarkan lebih 50 serangan terhadap pegawai, pusat pemeriksaan dan bangunan Taleban sejak Julai.
Serangan itu belum cukup kuat untuk menggugat pemerintahan Taleban, tetapi ia mencabar dakwaan bahawa Afghanistan sudah meninggalkan peperangan sepenuhnya.
Selepas 25 tahun, perbezaan paling penting mungkin ialah Afghanistan tidak lagi menjadi pusat gerakan militan antarabangsa seperti menjelang 9/11.
Tetapi pengajaran 2001 juga menjelaskan mengapa dunia masih berhati-hati.
Ancaman terbesar bukan semata-mata jumlah anggota Al-Qaeda yang berada di Afghanistan hari ini, tetapi apa yang boleh berlaku jika kumpulan militan sekali lagi diberikan masa, ruang dan perlindungan untuk membina kekuatan.
Taleban mungkin telah memenangi perang dan kembali menguasai Afghanistan.
Namun, selagi Al-Qaeda dan ribuan anggota kumpulan militan lain masih mempunyai tempat di negara itu, Kabul akan terus berdepan kesukaran meyakinkan dunia bahawa sejarah 9/11 tidak akan berulang. - Agensi berita
