ISLAMABAD: Pakistan melancarkan operasi darat dan serangan udara di sepanjang sempadan Afghanistan pada Ahad, mengorbankan sekurang-kurangnya 29 militan, ketika pemerintah Taliban Afghanistan mendakwa puluhan orang awam turut terbunuh dalam serangan berkenaan.

Ketegangan terbaru itu sekali lagi memburukkan hubungan antara dua negara jiran yang sudah lama bergolak susulan isu keselamatan dan dakwaan perlindungan terhadap kumpulan militan.

Menteri Penerangan Pakistan, Encik Attaullah Tarar, berkata operasi berkenaan menyasarkan kumpulan Jamaat-ul-Ahrar, iaitu cabang Tehrik-e-Taliban Pakistan (TTP), yang dipersalahkan atas serangan maut terhadap kem pasukan separa tentera Rangers di Karachi minggu lalu.

Menurut beliau, empat militan terbunuh dalam operasi darat di kawasan sempadan, manakala 25 lagi maut dalam serangan udara yang menyasarkan tiga lokasi di wilayah Paktia, Paktika dan Kunar di Afghanistan.

“Tiga sasaran berjaya dimusnahkan menerusi serangan tepat, selain sejumlah besar senjata dan peluru turut dimusnahkan,” katanya menerusi hantaran di platform X.

Pakistan mendakwa operasi itu dilancarkan sebagai tindak balas terhadap “beberapa insiden keganasan” yang berlaku baru-baru ini di negara itu.

Pada 26 Jun lalu, sekumpulan penyerang bersenjata dan pengebom menyerang kem Rangers di Karachi, menyebabkan tiga anggota pasukan separa tentera terbunuh dan empat lagi cedera.

Tentera Pakistan berkata seorang warga Afghanistan yang dipercayai terbabit dalam serangan itu sudah ditahan.

Islamabad sejak sekian lama menuduh Kabul melindungi kumpulan militan yang melancarkan serangan di Pakistan, khususnya TTP yang aktif menjalankan kempen bersenjata terhadap pemerintah Pakistan.

Bagaimanapun, Taliban Afghanistan berulang kali menafikan dakwaan itu dan menegaskan isu militan adalah masalah dalaman Pakistan.

Jurucakap Taliban Afghanistan, Encik Zabihullah Mujahid, mengecam tindakan ketenteraan Pakistan dan mendakwa puluhan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh atau cedera dalam serangan udara tersebut.

“Serangan ini menyebabkan puluhan orang awam terbunuh dan cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak. Kami mengutuk keras tindakan agresif pengecut ini dan menganggapnya sebagai satu jenayah serta kekejaman,” katanya.

Pemerintah Taliban turut mendakwa serangan udara Pakistan menyasarkan kawasan awam di beberapa wilayah timur Afghanistan.

Pertikaian antara kedua-dua negara semakin memuncak sejak Taliban kembali berkuasa di Kabul pada 2021.

Hubungan Islamabad dan Kabul menjadi semakin tegang susulan peningkatan serangan rentas sempadan dan pertelingkahan mengenai kehadiran kumpulan militan di kawasan sempadan.

Pada Februari lalu, kedua-dua negara terlibat dalam konflik bersenjata selama beberapa minggu yang mengorbankan ratusan nyawa serta memaksa puluhan ribu penduduk berpindah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Konflik itu menyaksikan pertempuran sengit di sempadan selain serangan udara Pakistan ke atas beberapa bandar Afghanistan termasuk Kabul dan Kandahar, lokasi pemimpin tertinggi Taliban berpangkalan.

Walaupun kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata pada Mac lalu, serangan kecil-kecilan terus berlaku sejak itu. - Agensi berita