Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa jam selepas cubaan bunuh, Trump tiba di Milwaukee

Jul 15, 2024 | 1:31 PM
Pesawat yang membawa bekas Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Milwaukee Mitchell, di Milwaukee, pada 14 Julai dan Encik Trump memberi isyarat ketika tiba sehari selepas beliau terselamat daripada cubaan membunuhnya pada perhimpunan di Butler, Pennsylvania.
Pesawat yang membawa bekas Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Milwaukee Mitchell, di Milwaukee, pada 14 Julai dan Encik Trump memberi isyarat ketika tiba sehari selepas beliau terselamat daripada cubaan membunuhnya pada perhimpunan di Butler, Pennsylvania. - Foto REUTERS

MILWAUKEE: Kurang dari 24 jam selepas menjadi sasaran cubaan bunuh pada satu acara kempen di Butler, Pennsylvani, calon pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) Encik Donald Trump tiba di Milwaukee, Wisconsin, untuk Konvensyen Kebangsaan Parti Republikan pada Ahad, 14 Julai.

Pesawat Encik Trump mendarat sehari sebelum acara empat hari itu bermula, disambut ribuan penyokong dalam kalangan ahli Parti Republikan. Encik Trump pada Sabtu, 13 Julai mengesahkan terkena tembakan pada telinga kanannya dan beliau dalam keadaan baik.

Encik Trump berkeras mahu meneruskan rancangannya untuk menghadiri konvensyen berkenaan walaupun selepas insiden tembakan pada Sabtu, 13 Julai di satu perhimpunan di Pennsylvania.

“Tiba di Milwaukee bersama @realdonaldtrump,” kata anak lelakinya Eric Trump dalam satu catatan di platform X beserta video dari kokpit ketika pesawat calon presiden dari Republikan itu yang dipanggil ‘Trump Force One’ mendarat.

Beberapa individu turut dilihat turun daripada pesawat berkenaan di lapangan terbang terbabit di bandar Wisconsin.

Bekas presiden Amerika itu pada mulanya memaklumkan dalam hantaran media sosialnya beliau akan menangguhkan lawatannya disebabkan percubaan membunuh itu. Bagaimanapun, beliau kemudiannya memutuskan untuk “tidak membenarkan penembak” itu memaksanya melakukan perubahan jadual.

Insiden terbabit menyebabkan seorang individu maut, manakala dua yang lain cedera. Encik Trump sendiri mengalami kecederaan pada bahagian telinganya.

“Saya tidak boleh membenarkan seorang ‘penembak’, atau pembunuh untuk memaksa saya mengubah jadual saya, atau apa-apa lagi,” kata calon Presiden Republikan itu pada awal Ahad, 14 Julai di rangkaian Truth Social.

“Saya akan pergi ke Milwaukee, seperti yang dijadualkan, pada jam 3.30 petang hari ini (14 Julai),” tulisnya sambil menambah bahawa beliau memilih untuk tidak menangguhkan perjalanannya ke Wisconsin.

Republikan dijangka mengesahkan Encik Trump sebagai calon mereka untuk mencabar penyandang Demokrat, Joe Biden, untuk Rumah Putih pada November. Encik Trump juga dijangka mengumumkan gandingannya untuk calon naib presiden, pada Isnin, 15 Julai.

Beliau secara rasmi menerima pencalonan pada Khamis, 11 Julai dalam ucapan yang akan diikuti oleh berjuta-juta, menutup konvensyen dengan menyambut “zaman keemasan baharu untuk Amerika,” menurut kempennya. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg