Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Beberapa syarikat batalkan penerbangan ke Russia selepas nahas pesawat Azerbaijan

Dec 29, 2024 | 12:51 PM
Pakar kecemasan dilihat di tapak nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran bandar Aktau di barat Kazakhstan.
Pakar kecemasan dilihat di tapak nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran bandar Aktau di barat Kazakhstan. - Foto AFP

MOSCOW: Beberapa syarikat penerbangan antarabangsa berkata ia telah menggantung penerbangan ke bandar-bandar Russia, menyusuli pengumuman pakar negara-negara Barat dan Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa kemalangan pesawat Azerbaijan Airlines baru-baru ini mungkin disebabkan peluru berpandu anti-pesawat Russia.

Buat masa ini, Moscow enggan mengulas laporan yang mendakwa pesawat itu mungkin telah ditembak jatuh secara tidak sengaja oleh pertahanan udara Russia.

Russia mendakwa Grozny, ibu kota Chechnya tempat pesawat itu sepatutnya mendarat, sedang diserang oleh dron Ukraine pada hari kejadian.

Pesawat itu terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan pada 25 Disember, mengorbankan 38 penumpang daripada 67 yang berada di dalam pesawat tersebut.

Turkmenistan Airlines – syarikat penerbangan kebangsaan negara Asia Tengah yang terpencil – adalah syarikat penerbangan terbaru yang mengumumkan pembatalan penerbangan ke Russia pada 28 Disember.

Ia berkata “penerbangan biasa antara Ashgabat-Moscow-Ashgabat dibatalkan dari 30 Disember 2024 hingga 31 Januari 2025”, tanpa memberikan sebarang penjelasan.

Keputusan itu dibuat selepas syarikat penerbangan Amiriah Arab Bersatu (UAE), flydubai, menggantung penerbangan antara Dubai dan bandar-bandar selatan Russia, Mineralnye Vody dan Sochi, yang dijadualkan antara 27 Disember hingga 3 Januari.

Qazaq Air dari Kazakhstan juga telah menggantung penerbangannya ke bandar Yekaterinburg di Urals, Russia, sehingga penghujung Januari.

Pesawat Azerbaijan Airlines jenis Embraer 190, terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan barat, di pantai Laut Caspian.

Pesawat itu sedang dalam penerbangan antara ibu kota Azerbaijan, Baku, dan bandar Grozny di Russia.

Selama beberapa hari, beberapa pakar Barat tidak menolak kemungkinan tragedi itu disebabkan oleh peluru berpandu anti-pesawat Russia.

Menurut siasatan awal, Menteri Pengangkutan Azerbaijan berkata pada 27 Disember bahawa nahas itu mengalami “gangguan luar”.

Kenyataan dari Azerbaijan yang merujuk siasatan kejadian itu menunjukkan bahawa pesawat itu telah disasarkan di udara.

Pada 27 Disember, jurucakap Rumah Putih, Encik John Kirby, berkata Washington mempunyai “petunjuk” bahawa Russia mungkin bertanggungjawab, tanpa memberikan butiran lanjut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg