Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesawat Azerbaijan yang terhempas di Kazakhstan didakwa ditembak jatuh Russia

Dec 27, 2024 | 10:24 AM
Lubang besar pada bahagian ekor pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan pada 25 Disember mencetuskan spekulasi bahawa pesawat itu mungkin telah ditembak jatuh.
Lubang besar pada bahagian ekor pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan pada 25 Disember mencetuskan spekulasi bahawa pesawat itu mungkin telah ditembak jatuh. - Foto REUTERS

BAKU: Pertahanan udara Russia dilaporkan menembak jatuh sebuah pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan, mengorbankan 38 nyawa.

Hasil siasatan awal Azerbaijan yang diperoleh daripada empat sumber memaklumkan perkara itu kepada Reuters pada 26 Disember.

Namun siasatan Kazakhstan masih belum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan pertahanan udara Russia telah menembak jatuh pesawat itu yang terhempas di Kazakhstan pada Rabu, kata Pendakwa Raya Pengangkutan Wilayah Mangystau, Encik Abylaibek Ordabaev, pada 26 Disember.

Pesawat jenis Embraer penerbangan J2-8243 itu terhempas berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan pada 25 Disember, selepas menyimpang dari kawasan selatan Russia di mana Moscow kerap menggunakan sistem pertahanan udaranya untuk menangkis serangan dron Ukraine.

Pesawat itu terhempas di pantai bertentangan Laut Kaspia selepas apa yang didakwa oleh badan pemerhati penerbangan Russia sebelum ini berpunca daripada perlanggaran pesawat dengan sekumpulan burung.

Menurut siasatan awal Azerbaijan, pesawat tersebut terkena sistem pertahanan udara Pantsir-S Russia. Sumber menyatakan bahawa komunikasi pesawat turut terganggu oleh sistem perang elektronik semasa menghampiri Grozny.

Seorang sumber menyebut: “Tiada bukti ia dilakukan dengan sengaja. Namun, Baku mengharapkan pihak Russia tampil mengakui bahawa pesawat Azerbaijan ditembak jatuh oleh sistem mereka.” Tiga sumber lain mengesahkan dapatan awal ini.

Walaupun pihak Kementerian Pertahanan Russia belum memberikan komen, kenyataan dari Canada menyeru siasatan terbuka dan telus.

“Kami amat prihatin dengan laporan ini. Russia perlu menerima hasil siasatan tersebut,” ujar Kementerian Luar Canada dalam kenyataan di platform X.

Rakaman video dari penumpang sebelum pesawat terhempas menunjukkan suasana panik, dengan topeng oksigen tergantung dan penumpang memakai jaket keselamatan. Selepas nahas, mangsa yang cedera kelihatan keluar dari pesawat dengan keadaan berlumuran darah dan pelbagai kecederaan.

Seramai 29 orang bagaimanapun dilaporkan terselamat dalam tragedi itu.

Gambar bangkai pesawat menunjukkan kerosakan yang konsisten dengan serpihan peluru pada bahagian ekor pesawat.

Firma keselamatan penerbangan, Osprey Flight Solutions, mengeluarkan kenyataan bahawa bukti ini menunjukkan kemungkinan pesawat telah terkena tembakan anti-pesawat.

Kawasan ruang udara di selatan Russia sering digunakan untuk melancarkan sistem pertahanan udara terhadap serangan dron Ukraine.

Pada hari yang sama, Kementerian Pertahanan Russia melaporkan menembak jatuh 59 dron Ukraine di beberapa kawasan. Gangguan itu dipercayai membabitkan penerbangan pesawat Azerbaijan itu.

Data awam menunjukkan pesawat mengalami gangguan GPS sepanjang penerbangannya di barat daya Russia. Sistem elektronik canggih Russia yang digunakan untuk mengelirukan dron dipercayai turut mengganggu sistem navigasi pesawat komersial.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan perkara ini, Timbalan Perdana Menteri Kazakhstan, Encik Qanat Bozymbaev, menyatakan beliau tidak dapat mengesahkan dakwaan bahawa pertahanan udara Russia terlibat.

Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, pula mengingatkan bahawa membuat spekulasi sebelum keputusan hasil siasatan rasmi adalah langkah yang tidak wajar. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg