BEIRUT/BAITULMAKDIS: Konflik Israel-Hezbollah di Lebanon dikhuatiri akan menjadi tidak terkawal dengan Israel terus membedil selatan Beirut dan mengaku membunuh ketua Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah.
Israel telah melancarkan serangan udara bertubi-tubi di pinggir bandar selatan Beirut, pada awal pagi 28 September, menyusuli serangan besar-besaran ke atas pusat komand Hezbollah yang difahami menyasarkan ketua mereka, Encik Hassan Nasrallah.
Beberapa saksi berkata mereka mendengar lebih 20 serangan udara berasingan pada dinihari 28 September.
Beribu-ribu rakyat Lebanon, yang terpaksa meninggalkan kediaman mereka di pinggir bandar selatan, mula berkumpul di dataran, taman dan kaki lima di pusat bandar Beirut dan kawasan tepi laut.
Serangan hebat turut menggegarkan selatan Beirut pada 27 September juga, lapor Reuters.
Terdahulu, agensi berita Iran, Tasnim, melaporkan Encik Nasrallah selamat.
Namun, tentera Israel berkata pada 28 September bahawa Encik Nasrallah telah dibunuh dalam serangan di Israel pada 27 September.
Hezbollah turut mengeluarkan kenyataan pada hari yang sama, untuk menyatakan Encik Nasrallah telah meninggal dunia.
Serangan terbaru berlaku beberapa jam selepas Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 27 September, bahawa negaranya berhak untuk meneruskan kempen itu.
Semasa Encik Netanyahu menghampiri podium untuk berucap, beberapa delegasi meninggalkan dewan, sementara beberapa penyokong memberi sorakan.
Encik Netanyahu telah memendekkan lawatannya ke New York untuk pulang ke Israel.
Selama hampir setahun Israel berperang dengan Hezbollah di Lebanon, serangan pada 27 September itu merupakan yang paling besar di Beirut, dan juga yang paling teruk sejak perang 2006.
Kementerian Kesihatan Lebanon, mengesahkan enam orang terkorban manakala 91 lagi cedera dalam serangan awal pada 27 September.
Namun angka kecederaan keseluruhan dijangka lebih tinggi, dengan angka kematian akibat serangan terkini belum dikeluarkan.
Menurut pihak berkuasa, lebih 700 orang terbunuh dalam serangan sepanjang minggu lalu.
Stesen televisyen Al-Manar, milik Hezbollah, melaporkan tujuh bangunan telah musnah. Sumber keselamatan di Lebanon, berkata Israel menyasarkan kawasan di mana pegawai tertinggi Hezbollah, biasanya berpangkalan.
Siaran langsung Al-Manar, menunjukkan pasukan mencari dan menyelamat meredah konkrit dan logam, dengan wartawan berkata serangan itu meninggalkan beberapa kawah besar dan merosakkan banyak bangunan di sekitarnya.
Beberapa jam menyusuli itu, tentera Israel memberitahu penduduk di bahagian pinggir selatan Beirut agar berpindah, kerana ia akan menyasarkan tapak penyimpanan senjata, yang didakwa berada di bawah perumahan orang awam.
Bedilan minggu ini telah menyebabkan kira-kira 100,000 orang kehilangan tempat tinggal, meningkatkan jumlah keseluruhan orang yang menjadi pelarian akibat konflik ini kepada lebih 200,000.
Serangan terbaru ini telah meningkatkan kebimbangan bahawa konflik itu boleh meruncing di luar kawalan, membabitkan Amerika Syarikat, serta Iran, penyokong utama Hezbollah, ke dalam konflik itu.
Iran yang mengatakan serangan itu melepasi “garisan merah”, menuduh Israel menggunakan bom ‘bunker-busting’ buatan Amerika dalam serangan pada 27 September, yang mampu meletupkan kubu pertahanan bawah tanah.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, berkata Amerika tidak dimaklumkan mengenai serangan itu terlebih dahulu.
Di Perhimpunan Agung PBB minggu ini, serangan itu mencetuskan kebimbangan beberapa negara, termasuk Perancis, yang dengan Amerika telah mencadangkan gencatan senjata selama 21 hari.
“Ini mesti ditamatkan segera,” kata Duta Perancis, Encik Nicolas de Riviere, pada mesyuarat Majlis Keselamatan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg