Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bekalan kuasa mula pulih susulan gangguan besar di Sepanyol, Portugal

Apr 29, 2025 | 11:41 AM
Spain, Portugal, electricity, elektrik, power, train station, stesen kereta api
Para penumpang kereta api berbaring di atas lantai ketika mereka bersiap untuk bermalam di stesen Cordoba menyusuli bekalan kuasa terputus di Sepanyol dan Portugal pada 28 April 2025. - Foto AFP

MADRID/LISBON: Bekalan elektrik mula kembali ke bahagian semenanjung Iberia pada 28 April selepas gangguan besar menyebabkan beberapa bahagian Sepanyol dan Portugal lumpuh.

Gangguan tersebut menjejas jadual penerbangan, pengangkutan awam dan memaksa beberapa hospital menangguhkan operasi rutin.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol mengisytiharkan darurat nasional dan pemerintah dari kedua-dua negara mengadakan mesyuarat Kabinet tergempar ketika pegawai cuba mengenal pasti punca bekalan elektrik terputus, bermula sekitar 10.33 pagi GMT (6.33 petang waktu Singapura).

Gangguan pada skala sedemikian sangat jarang berlaku di Eropah.

Pegawai berkata sebab pemadaman masih tidak jelas, dengan Perdana Menteri Portugal, Encik Luis Montenegro, berkata “tiada petunjuk” serangan siber adalah puncanya.

Di Sepanyol, kuasa mula kembali ke Basque dan kawasan Barcelona pada awal petang dan ke bahagian ibu kota Madrid pada malam 28 April.

Bekalan elektrik juga beransur-ansur kembali ke pelbagai majlis perbandaran di Portugal lewat pada 28 April, termasuk pusat bandar Lisbon.

“Kami masih belum mempunyai maklumat muktamad mengenai punca sebenar pemotongan bekalan elektrik ini,” kata Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, dalam ucapan kepada rakyat negara itu.

Beliau turut menambah bahawa tiada sebarang petunjuk wujudnya ancaman keselamatan.

Kementerian Dalam Negeri Sepanyol pula memaklumkan bahawa darurat nasional akan diisytiharkan di kawasan-kawasan yang memohonnya.

Setakat ini, wilayah Madrid, Andalusia dan Extremadura telah memohon agar pemerintah pusat mengambil alih urusan ketenteraman awam serta fungsi-fungsi lain berkaitan.

Di Portugal, pengedar elektrik REN berkata ia telah memulihkan bekalan elektrik di loji hidroelektrik dan termoelektrik, dan mengutamakan penyambungan semula bekalan ke hospital dan pengangkutan.

Ada kemungkinan pemadaman itu disebabkan oleh “ayunan yang sangat besar dalam voltan elektrik, pertama dalam sistem Sepanyol, yang kemudiannya merebak ke sistem Portugal”, kata anggota lembaga REN, Encik Joao Conceicao, kepada pemberita.

Hospital di Madrid dan Catalonia di Sepanyol menggantung semua rawatan perubatan rutin tetapi masih merawat pesakit kritikal, menggunakan penjana sandaran.

Beberapa kilang penapisan minyak Sepanyol telah ditutup dan beberapa perniagaan runcit di kedua-dua negara, termasuk rangkaian runcit Lidl dan gergasi perabot Ikea, terpaksa menghentikan sementara perniagaan.

Polis Portugal berkata lampu isyarat terjejas di seluruh negara dan sistem kereta api bawah tanah ditutup di Lisbon dan Porto, manakala perkhidmatan kereta api di kedua-dua negara telah dibatalkan.

Sebahagian daripada Perancis juga mengalami gangguan seketika.

RTE, pengendali grid Perancis, berkata ia telah menambah bekalan kuasa ke beberapa bahagian utara Sepanyol selepas gangguan berlaku. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg