Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sepanyol lancar operasi pemulihan bencana terbesar, jumlah kematian cecah 214

Nov 3, 2024 | 3:24 PM
Banjir kilat di Valencia, timur Sepanyol, meragut ratusan nyawa dan memusnahkan harta benda penduduk.
Banjir kilat di Valencia, timur Sepanyol, meragut ratusan nyawa dan memusnahkan harta benda penduduk. - Foto AFP

VALENCIA (Sepanyol): Banjir kilat paling dahsyat dalam sejarah moden Sepanyol telah mengorbankan sekurang-kurangnya 214 orang dan puluhan masih hilang selepas empat hari hujan lebat melanda wilayah timur Valencia, kata Perdana Menteri Pedro Sanchez pada 2 November.

Dalam satu kenyataan di televisyen, Encik Sanchez berkata pemerintah telah mengerahkan lagi 5,000 tentera untuk membantu dalam misi mencari mangsa dan pembersihan – penambahan kepada 2,500 askar yang telah ditempatkan sebelum ini.

“Ia adalah operasi terbesar oleh Angkatan Tentera di Sepanyol pada masa aman,” kata Encik Sanchez. “Pemerintah akan menggerakkan semua sumber yang diperlukan.”

Pihak berkuasa wilayah Valencia berkata pada malam 2 November bahawa jumlah kematian di wilayah itu ialah 211 orang, ditambah dua dari Castilla La Mancha dan seorang di Andalusia, lapor Reuters.

Tragedi itu sudah menjadi bencana berkaitan banjir terburuk di Eropah sejak 1967 apabila sekurang-kurangnya 500 orang maut di Portugal.

Harapan untuk mencari mangsa terselamat dipertingkat apabila anggota penyelamat menemui seorang wanita dalam keadaan hidup selepas tiga hari terperangkap di tempat letak kereta di Montcada, Valencia. Penduduk menepuk tangan apabila ketua perlindungan awam, Encik Martin Perez, mengumumkan berita itu.

Sukarelawan berpusu-pusu ke pusat Kota Seni dan Sains Valencia pada 2 November untuk pembersihan yang diselaras buat pertama kali, anjuran pihak berkuasa wilayah. Tempat itu telah dijadikan pusat utama untuk operasi tersebut.

Di pinggir bandar Picanya di Valencia, seorang pemilik kedai, Cik Emilia, 74 tahun, memberitahu Reuters: “Kami rasa dipinggirkan, terdapat ramai orang yang memerlukan bantuan. Ia bukan sahaja rumah saya, tetapi semua rumah dan kami terpaksa membuang perabot... membuang segala-galanya.

“Bila bantuan akan datang untuk kami mempunyai peti ais dan mesin basuh? Kerana kami tidak boleh mencuci pakaian dan kami pun tidak boleh mandi.”

Seorang jururawat, Cik Maria Jose Gilabert, 52 tahun, yang juga tinggal di Picanya, berkata: “Kami sangat kecewa kerana tiada banyak harapan yang dapat dilihat di sini pada masa ini, bukan kerana mereka tidak datang untuk membantu, mereka datang dari seluruh Sepanyol, tetapi kerana ia akan mengambil masa yang lama sebelum kawasan ini boleh didiami semula.”

Ribut tersebut mencetuskan amaran cuaca buruk berterusan di Kepulauan Balearic, Catalonia dan Valencia, di mana hujan dijangka berterusan pada hujung minggu.

Para saintis berkata kejadian cuaca ekstrem menjadi lebih kerap di Eropah, dan di tempat lain, disebabkan oleh perubahan iklim.

Pakar meteorologi berpendapat bahawa pemanasan Mediterranean, yang meningkatkan penyejatan air, memainkan peranan penting dalam menjadikan hujan lebat lebih buruk lagi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg